Sunday, December 28, 2008

AUKU 1971 - (pindaan 2008), relevan atau mansuh?

AUKU 1971 sering dijadikan topik perbualan hangat dikalangan masyarakat terutamanya warga kampus. Ada yang berpendapat AUKU 1971 perlu diteruskan kewujudannya dan tidak kurang pula yang ingin memansuhkannya. Namun sejauh mana pemahaman kita terhadap AUKU 1971 ini yang secara dasarnya memberikan kebaikan kepada seluruh masyarakat kampus.

AUKU 1971 dilihat kekal relevan sebagai landasan hidup kepada mahasiswa. AUKU merupakan "peraturan" hidup yang perlu dipatuhi oleh masyarakat kampus seperti mana peraturan-peraturan lain yang diwujudkan sebagai garis panduan kepada masyarakat. Dalam sesebuah keluarga pun, ibubapa meletakkan peraturan-peraturan tertentu, namun ianya masih dibantah oleh anak-anak. Apatah lagi AUKU 1971 yang melibatkan sasaran yang ramai, sudah tentu banyak ketidakpuasan hati yang timbul dikalangan warga yang mengikutinya.

Walaubagaimanapun, perlu kita fahami mengapa AUKU ini kekal diwujudkan dan penting kepada masyarakat kampus. AUKU sebagai panduan hidup warga kampus agar dapat hidup dengan selamat dan sentosa disamping menyediakan saluran dan ruang untuk warga kampus melaksanakan tugas masing-masing.

Namun, terdapat pihak yang mempertikaikan kewujudan dan pengekalan AUKU 1971 terutamanya seksyen 15 walaupun selepas pindaan 2008. Secara dasarnya, seksyen 15 menjadi sesuatu yang diperdebatkan mengenai mahasiswa yang masih tidak boleh menjadi ahli dalam sebarang parti politik, sebarang pertubuhan yang tidak sah dan yang tidak dibenarkan oleh Menteri dan Naib Canselor. Saya melihat bantahan pihak-pihak tertentu mengenai AUKU terutamanya seksyen 15 ini aialah kerana:

- seksyen 15 tidak benarkan pelajar bergiat aktif dalam parti politik atau menjadi ahli dalam parti politik
- AUKU melarang mana-mana ahli politik masuk ke kampus kecuali membincangkan hal-hal berkaitan akademik
- AUKU kononnya masih menyekat kebebasan mahasiswa

Ternyata seksyen 15 masih tidak boleh diterima oleh pihak-pihak tertentu. Namun, kita harus sedar, kepentingan seksyen 15 yang menjadi faktor penting kepada kehidupan kampus yang lebih sentosa dalam semangat perkauman yang jitu. Ini kerana keadaan politik kini belum membenarkan untuk pelajar boleh bergiat aktif secara langsung dalam parti-parti politik disebabkan:

- parti-parti politik di Malaysia kini yang begitu kuat semangat berasaskan kaumnya. Kita khuatir, apabila mahasiswa dibenarkan menjadi ahli dalam mana-mana parti politik, sudah tentu akan bertambah lagi jurang dikalangan mahasiswa dan usaha mencapai perpaduan jitu di dalam kampus tidak akan berjaya dilaksanakan
- apabila mahasiswa bergiat aktif dalam mana-mana parti politik, kita khuatir mahasiswa akan memiliki perasaan taksub terhadap parti yang mereka anggotai. Ini akan mewujudkan ketidaksefahaman di kalangan mahasiswa.
- sebilangan mahasiswa yang tidak sanggup berkorban untuk kepentingan mahasiswa secara keseluruhannya.
- mengganggu masa belajar mahasiswa

Kita perlu berdiri sebagai seorang mahasiswa yang berpendirian neutral(bebas). Kita perlu memfokuskan kepada perjuangan memartabatkan mahasiswa dan bukannya membantu memperjuangkan sesuatu institusi yang tidak berkaitan dengan mahasiswa.

AUKU 1971 terutama pindaan seksyen 15 masih kekal relevan kewujudannya untuk kebaikan pelajar dan memberi peluang kepada mahasiswa untuk mencapai kecemerlangan institusi kampus.

Walaubagaimanapun, kita sedar pelaksanaan AUKU 1971 itu perlu adil dan praktikal seperti teorinya. Apa yang perlu dilakukan oleh mahasiswa ialah mengutamakan kehidupan sebagai seorang mahasiswa dan elakkan diri daripada pengaruh dan anasir yang tidak baik agar fokus perjuangan mahasiswa itu tidak terabai

Friday, December 26, 2008

Pendirian MPP 2008/2009 mengenai hiburan di kampus tercinta, UMS

Assalamualaikum...
Terpanggil saya untuk berkongsi kepada seluruh mahasiswa mengenai pendirian MPP 2008/2009 mengenai hiburan di kampus. Berikut ialah garis panduan yang telah kami sepakati bersama (MPP 2008/2009) dan akan dibentangkan kepada pihak pentadbiran dalam masa terdekat ini. Harapan saya, rakan-rakan mahasiswa dapat memberikan respon dan cadangan:

CADANGAN GARIS PANDUAN HIBURAN DAN PERSEMBAHAN

Secara dasarnya, Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2008/ 2009 menggalakkan sebarang bentuk persembahan yang berkaitan dengan pelajar Universiti.

Walaubagaimanapun, sekiranya mana-mana pihak ingin mengadakan persembahan di dalam sesuatu program atau aktiviti, garis panduan berikut perlu diambil perhatian:

1. Tarian

i. Meminimumkan sesuatu persembahan tarian yang melibatkan sentuhan melibatkan gender
ii. Pakaian yang digunakan semasa persembahan mestilah sopan, tidak seksi, tidak sendat, tidak menampakkan bentuk badan bagi perempuan dan sopan dan tidak memakai seluar pendek bagi lelaki kecuali pakaian tradisional yang relevan
iii. Persembahan mestilah menampakkan ciri-ciri kreatif dan matang sebagai lambang mahasiswa yang unggul dan berintelektual tinggi

2. Nyanyian

i. Boleh melibatkan duet (berpasangan) tetapi tidak bersentuhan
ii. Jika melibatkan tarian, garis panduan tarian perlu diikuti
iii. Isi nyanyian hendaklah tidak kasar maksudnya dan tidak berbentuk pemujaan
iv. Pakaian yang digunakan semasa persembahan mestilah sopan, tidak seksi, tidak sendat, tidak menampakkan bentuk badan bagi perempuan dan sopan dan tidak memakai seluar pendek bagi lelaki kecuali pakaian tradisional yang relevan
v. Persembahan mestilah menampakkan ciri-ciri kreatif dan matang sebagai lambang mahasiswa yang unggul dan berintelektual tinggi

3. Konsert

i. Konsert ditukarkan kepada konsep Orkestra yang lebih menampakkan ciri-ciri profesional
ii. Sebarang konsert yang ingin diadakan yang bukan di bawah PMUMS perlu dimaklumkan terlebih dahulu kepada pihak PMUMS untuk mendapat respon pelajar
iii. Pihak PMUMS berhak memulau sebarang konsert/aktiviti/program yang tidak selari dengan dasar PMUMS dan tidak dimaklumkan kepada PMUMS
iv. Seperti juga perkara (1) dan (2), pihak penganjur perlu mengikuti garis panduan tersebut


4. Battle of the band


i. Penganjuran battle of the band perlu menghormati tatasusila mahasiswa dengan tidak membenarkan peserta dalam battle of the band melakukan sesuatu yang di luar sikap seorang mahasiswa seperti menjerit yang keterlaluan, melakukan aksi kurang sopan seperti membuka baju.

ii. Penganjuran Battle of the Band diminimumkan



Walaubagaimanapun, pihak PMUMS amat mengalu-alukan sebarang persembahan yang bercorakkan kebudayaan yang mendatangkan manfaat kepada mahasiswa baik dari sudut tarian, nyanyian dan sebagainya. Pihak PMUMS ingin mengembangkan dan menerapkan lagi kebudayaan di kalangan warga kampus.

Sekiranya mana-mana pihak tidak mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan, pihak PMUMS berhak untuk memulau penganjuran sesuatu aktiviti tersebut. Pihak PMUMS akan meneliti sebarang keputusan yang ingin dibuat berkenaan sesuatu persembahan demi menjaga hubungan baik dengan semua pihak. Kerjasama dari semua pihak amat diharapkan dalam merencana dasar PMUMS demi memartabatkan mahasiswa UMS di arena global.

Wednesday, December 17, 2008

Pengajaran & Pembelajaran Sains & Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) perlukan penelitian menyeluruh.

Saya tertarik dengan hasil yang diperolehi daripada Persidangan Meja Bulat PPSMI yang merumuskan 7 pilihan untuk dipertimbangkan kerajaan mengenai masa depan PPSMI. 7 pilihan yang diberikan mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Pihak kerajaan perlu membuat keputusan yang tepat berkenaan hal ini yang sebenarnya amat penting bagi memantapkan sistem pendidikan negara pada masa akan datang. Kerajaan perlu mengenepikan faktor politik dengan melihat perkara ini secara natural demi kebaikan semua. Jika dilihat kepada senario yang berlaku di sekolah-sekolah bandar dan luar bandar sekarang, kita akan mendapati terdapat perbezaan besar mengenai tahap penguasaan Bahasa Inggeris. Sudah sememangnya penguasaan Bahasa Inggeris dikalangan murid-murid sekolah di bandar adalah baik berbanding dengan luar bandar. Kita juga mengetahui subjek Sains dan Matematik bukanlah subjek kesukaan sebilangan besar murid. Sudah pasti, apabila dijumlahkan bilangan murid yang lemah matapelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris, angkanya adalah besar. Kebanyakan murid pun, jika Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Melayu, mereka masih sukar untuk menguasainya.
Persoalan yang timbul mengenai PPSMI ini ialah adakah murid-murid akan menguasai kedua-dua subjek Sains dan Matematik yang diajar dalam Bahasa Inggeris atau murid-murid hanya sekadar menumpang untuk belajar Bahasa Inggeris dalam kedua-dua subjek ini. Inilah sebenarnya implikasi yang timbul berkenaan PPSMI. Kesan dan hasil pengajaran bagi subjek Sains dan Matematik tidak tertumpu kerana murid-murid akan cuba memfokuskan terhadap penguasaan Bahasa Inggeris terlebih dahulu. Ini akan mendatangkan kesan tidak baik dalam jangka masa panjang kepada sistem pendidikan negara. Kita lihat sahaja murid-murid di luar bandar yang mana tahap penguasaan subjek Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik mereka adalah lemah. Jika subjek ini diajar bersama, sudah tentulah golongan murid seperti ini akan jauh ketinggalan. Walaubagaimanapun, kita tidak boleh menolak secara total kepentingan Bahasa Inggeris pada zaman ini. Penguasaan terhadapnya amat penting terutamanya dalam sektor ekonomi dan perdagangan. Namun, jangan pula kepentingan Bahasa Inggeris mengatasi kepentingan yang lain yang lebih penting lagi.
Sebagai cadangan, subjek Sains dan Matematik perlu diajar dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Ibunda di sekolah rendah dan dua alternatif pilihan di sekolah menengah (tingkatan 1-5) iaitu menggunakan dwibahasa dalam pengajaran Sains dan Matematik ATAU terpulang kepada sekolah untuk menentukannya(bergantung kepada keupayaan keseluruhan murid) DAN mewajibkan PPSMI di peringkat pra universiti. Ini dapat mewujudkan kelangsungan pembelajaran bagi subjek Sains dan Matematik dengan mempertingkatkan penguasaan terhadap kedua-dua subjek ini dan dapat diselarikan dengan kepentingan dan penguasaan Bahasa Inggeris tanpa meminggirkan Bahasa Melayu.

Tuesday, December 2, 2008

Pro Aspirasi @ Pro Mahasiswa

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Sudah lama sebenarnya saya ingin memberikan pendapat dan mengulas berkenaan isu pro aspirasi @ pro mahasiswa ATAU pro aspirasi VS pro mahasiswa.
Rakan-rakan mahasiswa yang dihormati sekalian,
Saya secara peribadi amat kecewa jika ada dikalangan kita yang cuba mengeksploitasi dan mambuat provokasi mengenai 2 'pro' ini. Saya menegaskan bahawa, keadaan ini tidak sepatutnya menwujudkan jurang di antara mahasiswa. Umum mengetahui, bulan Januari tahun depan, Universiti-Universiti yang dianggap 'panas' akan mengadakan pilihanraya kampus. Sudah pasti 2 'pro' ini akan bermatian-matian untuk menawan kabinet MPP di Universiti masing-masing.
Walau siapa pun yang menang, sepatutnya seorang ahli MPP itu patut bersifat NEUTRAL dalam semua aspek terutamanya aspek politik. NEUTRAL bagi pemimpin mahasiswa di kampus bermaksud dalam segala aspek, MPP tidak akan dipengaruhi dan memihak kepada mana-mana pihak secara terus. MPP perlu melihat 'relevan'nya sesuatu isu atau keputusan yang hendak dibuat dan tidak boleh menolak secara total mana-mana idea yang dikemukakan oleh mana-mana pihak.
Walaubagaimanapun, satu perkara perlu difikirkan untuk dipertimbangkan. Kita adalah mahasiswa yang bernaung di sebuah Universiti. Sesebuah Universiti itu pula digerakkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi yang diketuai oleh Menteri Pengajian Tinggi. Menteri ini merupakan wakil kabinet daripada KERAJAAN yang memerintah. DAN sesuatu KERAJAAN adalah MANDAT yang diberikan oleh rakyat. Sebagai seorang pemimpin mahasiswa yang matang, kita perlu menghormati keputusan rakyat dengan menghormati dasar dan polisi yang dibawa oleh KERAJAAN. Ini sepatutnya tidak boleh dipertikaikan. Kita perlu menyokong dasar KERAJAAN selagi tidak bertentangan dengan prinsip. Kalau tidak bersetuju pun dengan mana-mana dasar, kita tidak boleh melakukan sesuatu tindakan yang tidak matang. Kita mesti mengikuti saluran-saluran yang betul untuk menyampaikan sesuatu kepada pihak pemerintah. Diplomasi, perbincangan dan sebagainya, semua ini akan menjadikan kita sebagai pemimpin pelajar yang berwawasan.
Kita memperjuangkan hak sebagai seorang mahasiswa. Perjuangan mahasiswa mesti menjadi keutamaan kita. Kita jangan menyimpang untuk memperjuangkan ideologi mana-mana pihak kerana ianya akan merugikan kita. Saya tidak mempertikaikan perbezaan ideologi politik dikalangan kita tetapi saya pertikaikan perjuangan yang nampak mengagungkan sesuatu ideologi politik tertentu. Sebenarnya tindakan ini sudah keluar daripada perjuangan kita dalam memartabatkan mahasiswa.
Kita perlu memfokuskan kepada kepentingan mahasiswa 100%. Dengan membuat keputusan WIN-WIN SITUATION(menang-menang), kita akan dapat menjaga perasaan dan kepentingan semua pihak. Jangan sesekali kita meletakkan kepentingan mahasiswa di tempat ke-2 dan kita pula perlu menjalinkan hubungan baik dengan pihak pentadbiran.
Amat sukar sebenarnya untuk kita melakukan anjakan perubahan jika sekiranya wujud jurang di antara mahasiswa. Pelbagai faktor yang boleh menjarakkan hubungan di antara mahasiswa dan faktor majornya ialah PRO ASPIRASI VS PRO MAHASISWA. Saya seru kepada semua mahasiswa untuk kita tinggalkan 'PRO ASPIRASI VS PRO MAHASISWA' atas nama dan istilah sahaja. Mari kita sama-sama berjuang demi kepentingan mahasiswa yang akhirnya akan menjadikan negara kita yang tercinta ini menjadi sebuah negara yang dikagumi. Walauapapun fahaman kita, kita perlu bersatu atas satu 'perjuangan memartabatkan mahasiswa'. Sudah lama sebenarnya pengaruh mahasiswa berkubur disebabkan tindakan sesetengah mahasiswa sendiri yang bertindak tanpa memikirkan rasional sesuatu perkara. Sama-samalah kita mengembalikan pengaruh, kepercayaan, kekuatan dan keunggulan mahasiswa di mata masyarakat. Bertindaklah secara matang demi kebaikan ummah, bangsa, agama dan negara Malaysia kita yang tercinta.

Caj PTPTN 1% bermula 1 Januari

Sebagaimana yang kita tahu, caj perkhidmatan PTPTN telah diturunkan pada kadar 1% daripada 3% sebelum ini. Kadar baru ini akan bermula pada 1 Januari 2009. Sebagaimana perbincangan dengan CEO PTPTN, Encik Yunos Ghani, pelajar semasa yang mendapat PTPTN layak untuk menerima kadar baru tersebut. Para pelajar perlu menandatangani borang perjanjian AKAD yang baru yang akan diberikan oleh pihak PTPTN dalam masa yang terdekat. Para pelajar juga diminta untuk 'update' alamat semasa kepada pihak PTPTN untuk memudahkan urusan. Kepada para pelajar yang sudah bergraduan yang masih mempunyai hutang kepada PTPTN, anda juga layak untuk menikmati kadar 1% tersebut dengan prosedur yang sama seperti pelajar semasa iaitu dengan mengisi borang perjanjian AKAD yang baru. Anda juga disaran 'update' alamat semasa anda kepada pihak PTPTN.
Untuk pengetahuan rakan-rakan pelajar juga, semasa perjumpaan bersama pihak PTPTN yang dihadiri oleh CEO PTPTN(Encik Yunos Ghani) dan Pengerusi PTPTN(Dato' Dr. Shahrum), pihak MPP ada mengemukakan cadangan untuk pemotongan wang pendahuluan PTPTN sebanyak RM1500 dilakukan secara ansuran iaitu 3 semester(1 semester RM500). Walaubagaimanapun, pihak PTPTN akan memperhalusi cadangan ini kerana khuatir ianya akan mendatangkan masalah seperti pelajar yang gagal diberhentikan(GB) sebelum sempat membayar wang pendahuluan tersebut dan sebagainya. Kita mengharapkan cadangan ini dapat dipertimbangkan demi menjamin kebajikan pelajar yang lebih baik. Pihak MPP akan terus 'update' mengenai perkara ini.