Tuesday, February 24, 2009

MAHASISWA DAN KEPIMPINAN DALAM MELAHIRKAN BAKAL PEMIMPIN NEGARA YANG BERKUALITI

Tidak dapat dinafikan, masyarakat kini ada yang melabel mahasiswa sebagai ‘lesu’. Ini disebabkan mahasiswa kini kurang peka terhadap isu-isu luar kampus seperti soal berkaitan politik semasa, ekonomi, sosial dan sebagainya. Mahasiswa terlalu memfokuskan kepada hal ehwal akademik semata-mata hingga melupakan isu-isu dan keadaan yang berlaku di persekitaran.
Sudah semestinya tujuan hakiki mahasiswa melanjutkan pelajaran ke menara gading ialah untuk menggapai kecemerlangan akademik dengan memperoleh PNGK sebaik mungkin. Namun, para mahasiswa harus sedar akan beberapa perkara yang perlu diambil perhatian serius bagi mewujudkan mahasiswa unggul yang seimbang dari segala aspek kerana mahasiswalah yang akan menjadi faktor utama kejayaan pembentukkan modal insan kelas pertama yang diidamkan oleh Y.A.B Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi.
Antara perkara terpenting yang perlu dipertimbangkan oleh semua mahasiswa ialah kepimpinan. Mahu atau tidak, mahasiswa akan menjadi pemimpin pada masa akan datang tidak kira pemimpin peringkat negara, negeri, organisasi tertentu atau setidak-tidaknya pemimpin kepada sesebuah keluarga. Mahasiswa kini perlu memiliki ciri-ciri seorang pemimpin yang baik.
Penterjemahan definisi kepimpinan bersifat subjektif. Orang akan menilai daripada aspek yang pelbagai. Ada kalanya nilaian itu positif dan ada kalanya negatif. Mahasiswa tidak perlu khuatir mahupun takut untuk berdepan dengan sebarang cabaran di hadapan untuk memperbaiki kualiti kepimpinan diri. Kepimpinan perlu dipelajari. Pepatah Inggeris ‘leaders are not born, leaders are made’. Mahasiswa perlu ke hadapan untuk menjadi pemimpin di Universiti masing-masing. Mahasiswa perlu tonjolkan pribadi berkualiti dan kredibiliti dalam mengangkat nama universiti-universiti di Malaysia.
Mahasiswa perlu terjemahkan kepimpinan dengan mengikuti aktiviti-aktiviti berbentuk kemahasiswaan, akademik, kebudayaan, kemasyarakatan dan hiburan. Mahasiswa perlu tonjolkan aktiviti tersebut selari dengan adab ketimuran dan berlandaskan pegangan agama yang tulen. Melalui penglibatan mahasiswa di dalam aktiviti-aktiviti ini, ciri-ciri kepimpinan akan dapat ditingkatkan kualitinya dan sekali gus mampu membawa mahasiswa mencapai status mahasiswa unggul.
Apabila membicarakan konsep mahasiswa dan kepimpinan, kita tidak boleh pisahkan ia dengan politik mahasiswa. Mahasiswa tidak boleh terkebelakang dalam bidang politik. Namun konsep politik bagaimana harus mahasiswa tonjolkan. Adakah politik yang dipengaruhi secara total oleh politik luar yang jika kita nilai sebagai seorang mahasiswa yang berintelektual tinggi, politik negara kini perlukan penambahbaikan. Sememangnya mahasiswa perlu tonjolkan politik yang berkualiti dan tinggi profesionalnya. Kita tidak menolak politik Malaysia itu sendiri perlu dijadikan contoh oleh mahasiswa dalam usaha kita menambahkan kualiti politik Malaysia namun mahasiswa tidak boleh menerimanya secara total.
Mahasiswa perlu mempertimbangkan relevannya sesuatu perkara. Segala perkara yang diterima perlulah dilihat sebagai sesuatu yang memihak kepada mahasiswa. Pertimbangan dalam membuat sesuatu keputusan perlu mengambil kira konsep ‘win-win situation’. Sesuatu isu yang timbul perlunya kebijaksanaan mahasiswa untuk menyelesaikannya. Tipsnya, kita letakkan kepentingan mahasiswa di tempat tertinggi dan jangan sama sekali menidakkan hak dan kepentingan pihak-pihak lain.
Dalam kita memperkatakan mengenai politik, sebagai mahasiswa yang bertindak dan sepatutnya bersifat bebas, kita perlu berpendirian secara ‘neutral’ dalam politik. Mahasiswa sepatutnya tidak menyebelahi mana-mana pihak secara total. Mahasiswa perlu memilih mana-mana yang baik yang datang daripada mana-mana pihak dan menolak mana-mana idea yang tidak baik. Pendirian mahasiswa perlu teguh.
Namun, definisi ‘neutral’ kita sebagai mahasiswa harus berlandaskan prinsip hormat kepada pemimpin. Mahasiswa perlu hormat kepada pentadbiran universiti yang diketuai oleh Naib Canselor, mahasiswa perlu hormat kepada kementerian pengajian tinggi di bawah Y.B Dato’ Seri Mohd Khaled Nordin dan mahasiswa perlu menghormati kepimpinan negara semasa di bawah pimpinan Y.A.B Datuk Seri Abdullah Badawi.
Sebagai mahasiswa yang rasional, kita perlu tampil sebagai seorang ‘mahasiswa alternatif’ yang menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan universiti dan negara secara keseluruhannya. Kita jangan asyik tampil membantah mengenai sesuatu isu berbangkit dengan mengatakan tidak, tidak dan tidak tanpa memberikan sumbangan idea dan cadangan kepada penambahbaikan. Sampai bila kita ingin berada di kepompok lama. Kita perlu keluar dan mencipta status mahasiswa unggul. Jadilah mahasiswa yang berguna kepada agama, negara dan bangsa.
Satu lagi isu yang perlu difahami oleh mahasiswa ialah AUKU 1971 pindaan 2008. Atas kapasiti sebagai Presiden MPP UMS yang juga merupakan anak kelahiran Sabah, saya suka membincangkan isu ini berdasarkan sudut menyeluruh dan suasana di UMS dan Sabah. AUKU 1971 pindaan 2008 sebenarnya kurang difahami sebaiknya oleh mahasiswa. Jika membicarakan mengenai AUKU sudah tentu perkara 15 yang menjadi perbualan wajib dan meninggalkan perkara-perkara lain yang lebih penting sebenarnya.
Kami di MPP UMS menyambut baik AUKU 1971 pindaan 2008 dan menyokong pindaan tersebut terutamanya perkara 15. Di UMS, mahasiswa hidup dengan penuh toleransi dan tinggi kesepaduannya. Tidak keterlaluan jika sekiranya kami meletakkan perpaduan mahasiswa di UMS adalah antara yang terbaik di kalangan IPTA/S. Ia sangat berkait rapat dengan sistem yang diikuti di UMS dan di Sabah itu sendiri.
Berhubung dengan penetapan bahawa mahasiswa tidak boleh menjadi ahli kepada parti-parti politik, pertubuhan-pertubuhan haram daripada segi undang-undang dan mana-mana persatuan yang menjejaskan kesentosaan hidup di kampus. Parti politik di Malaysia adalah berlandaskan kumpulan-kumpulan tertentu iaitu berteraskan perkauman ‘racially based parties’. Walaupun ada beberapa parti politik yang mendakwa memperjuangkan semua kumpulan namun hasilnya tetap sama iaitu membesarkan lagi jarak hubungan antara kaum di Malaysia.
Jika sekiranya mahasiswa dibenarkan menjadi ahli dalam mana-mana parti politik dan bergiat aktif, sudah tentu jurang pemisahan di antara mahasiswa semakin besar dan sifat mementingkan parti atau lebih tepat lagi sifat mementingkan kaum akan semakin menebal. Kita lihat sahaja situasi politik di luar. Sesama kumpulan sudah menampakkan perpecahan. Kita tidak mahu ia berlaku di universiti. Biarlah kita sebagai mahasiswa sendiri yang mencipta cara hidup yang lebih baik dan berkualiti hingga dapat dijadikan contoh oleh masyarakat luar. Kita perlu kekalkan keharmonian hidup di kampus. Jangan biarkan diri kita mudah diprovokasikan oleh mana-mana pihak yang berkepentingan. Kita harus berpendirian sebagai mahasiswa yang berintelektual tinggi.
Kita tidak menolak untuk meminta pihak kerajaan membenarkan mahasiswa terlibat secara aktif dalam politik tetapi kita tunggulah dahulu situasi politik Malaysia membenarkan kita mengaplikasikannya. Kita tunggulah dahulu politik Malaysia berada di tahap profesionalisme yang tinggi yang tidak akan mengambil kesempatan atas kesempitan terutamanya kepada mahasiswa yang berdarah muda

3 comments:

Anonymous said...

betul betul betul......
mahasiswa ums lesu shingga tidak peka kpada isu2 semasa..
mengapa begitu??????????????
1.syok dendiri mgejar cita2 shigga mgabaikan tuntutan semasa
2.memntigkan diri sendiri
3.menganggap org lain boleh mengambil tgjwb ini padahal ianya tgungjwb bsama
4.suka mgkritik tp tidak tampil dgn idea baru
5.tidak berminat mgikuti aktiviti yang di anjurkan mpp
6.dan yg paling penting kurang nya minat membaca di klgan pelajar.
7.tujuan masuk U cuma utk menuntut ilmu.
yg paling rasa terkilan di klgan kwn sya sendiri menganggap semua itu tdk penting krana tujuan mereka ke sini hya utk mnuntut ilmu dan mgejar cita2
betapa mereka tidak sedar akan perlunya kepada kemajuan kmahiran2lain atau softskill dan bukan hnya kemajuan ilmu semata mata.....
respon kepada situasi politik negara kita pada hari ini..
parti politik kita pada hari ini lebih mementingkan kuasa dan bukan memperjuang manisfeto2 mereka yg dijanjikan smasa PRU....
melihat kpada masa dpan
negara kita mugkin akan mgalami pertukaran tampuk pemerintahan..
dan kita bakal pemimpin harus mengikuti perkembangan politik ngara kita scara lgsung dan tdk lgsung...jgn jdikan auku sbagai alasan kita tdk perlu ambil tahu tetapi jadikan alasan aku pemimpin masa hdpan dan aku perlu tahu...
wallahualam........hoo

Anonymous said...

Kita mempunyai pendapat dan cara yang berbeza tetapi matlamat yang sama.
Saya menjemput saudara Azrul untuk mengunjungi blog saya dan meluangkan masa membaca beberapa post saya seperti:

1.http://izaanazyan.blogspot.com/2008/08/pelajar-zaman-sekarang.html

2.http://izaanazyan.blogspot.com/2008/11/ptptn.html

3.http://izaanazyan.blogspot.com/2008/11/dilema-seorang-pelajar.html

4.http://izaanazyan.blogspot.com/2008/11/di-sebalik-kehinaan-tersembunyi-sesuatu.html

5.http://izaanazyan.blogspot.com/2008/12/sains-dan-matematik-dalam-inggeris.html

6.http://izaanazyan.blogspot.com/2008/12/kelajuan-ferrari-dan-basikal-tua.html

7.http://izaanazyan.blogspot.com/2009/01/menjawap-persoalan-yang-ditanya.html

8.http://izaanazyan.blogspot.com/2009/01/selamatkan-mereka.html

9.http://izaanazyan.blogspot.com/2009/02/penindasan-yang-berlaku.html

10.http://izaanazyan.blogspot.com/2009/02/anonymous.html

Sekian. Terima kasih.
Hidup Mahasiswa!!

Anonymous said...

Semuanya kena balik pada dasar dan asasnya iaitu diri mahasiswa/i itu sendiri.Program MPP banyak, tapi..sejauh manakah adil and telusnya pemilihan ajk-ajk untuk setiap programnya??Ada yang terkena lalu malas lagi nak masuk campur hal-hal kepimpinan ne.So, susah juga nak tunding jari kat sesiapa kan?Fikir-fikirkanlah...