Friday, April 24, 2009

Khutbah Jumaat - 24 April 2009

MENGINSAFI PERBICARAAN DI MAHSYAR


Muslimim yang dirahmati Allah,

Saya menyeru diri saya dan sidang jemaah sekalian, marilah kita bertakwa kepada Allah S.W.T dengan sebenar-benar takwa, dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala tegahannya, mudah-mudahan kita akan berbahagia di dunia dan di akhirat. Tajuk khutbah hari ini ialah: "Menginsafi perbicaraan di mahsyar ".

Di kesempatan ini, mimbar jumaat ingin mengingatkan kita semua akan gambaran kehidupan abadi yang bakal kita semua tempuhi iaitu kehidupan di padang Mahsyar. Hari akhirat ialah hari dimana semua manusia dibangkitkan semula selepas mati dan dihimpunkan di suatu tempat yang dipanggil "Padang Mahsyar" untuk menghadapi perbicaraan atau timbangan amalan yang dikerjakan semasa hidup di dunia dahulu dan seterusnya ditentukan samada ia menjadi penghuni syurga atau penghuni neraka. Dasar akidah ini amat penting dihayati kerana ia dapat membimbing kehidupan kita di jalan yang diredhai Allah.

Muslimim yang dirahmati Allah,

Di zaman moden yang serba mencabar ini kita merasa amat bimbang kerana perilaku dikalangan sesetengah umat islam jauh terkeluar daripada syariat islam. Diantaranya ada yang mengutamakan dunia dan tidak pedulikan nasib di akhirat. Demi keseronokkan dunia, nafsu syahwat dipertuhankan. Ada yang secara terang melakukan kezaliman, penyelewengan, pecah amanah, penipuan dan sebagainya. Ajaran dan panduan syariat tidak dijadikan pegangan dan amalan dalam kegiatan harian. Fenomena kerosakan akhlak di pelbagai peringkat masyarakat seperti penagihan dadah, arak, judi, zina, pergaulan bebas, hiburan liar dan sebagainya didapati meningkat dari masa kesemasa. Keadaan ini terjadi sesungguhnya kerana keyakinan dan pegangan kepada dasar akidah tentang kehidupan akhirat dikalangan kita tidak diutamakan.

Terdapat banyak sekali gambaran-gambaran yang disebut oleh Allah Taala didalam Al-Quran tentang dahsyatnya suasana apabila terjadi hari kiamat nanti. Al-Quran secara jelas dan tegas mewajibkan kita meyakini bahawa hari kiamat pasti dan tetap akan berlaku walaupun tidak diketahui bilakah masa dan ketikanya.

Kedahsyatan yang digambarkan sangatlah menggerunkan sehingga menjadikan seseorang kelihatan terpinga-pinga dan kebingungan. Ada yang kelihatan seperti orang mabuk walaupun sebenarnya Mereka bukanlah mabuk. Ibu-ibu yang sedang mengendong pula akan terus keguguran kerana ketakutan. Begitu juga anak-anak yang sedang menyusu akan tercampak dari pelukan ibunya dan dilupakan begitu sahaja oleh ibunya. Banyak lagi peristiwa dahsyat yang lain yang digambarkan oleh Allah S.W.T untuk renungan kita diantaranya melalui Surah At-takwir ayat 1-3:

Maksudnya: " Apabila matahari dilingkari cahayanya ( dan hilang lenyap ), apabila bintang-bintang gugur berselerakan dan apabila gunung-ganang diterbangkan ke angkasa ( setelah dihancurkan menjadi debu ). "

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Digambarkan juga suasana yang hiruk-pikuk dan kucar-kacir yang menyelubungi manusia ketika berada "dibumi al-mahsyar " yang masing-masing sibuk dengan hal masing-masing. Ada yang berjalan seperti biasa dan ada yang berjalan dalam keadaan terbalik dengan kepala di bawah dan kaki ke atas, ada yang merangkak-rangkak dan bermacam-macam lagi dalam suasana panas cahaya matahari yang berada hanya sejengkal di atas kepala manusia pada masa itu. Ada sesetengah manusia ditenggelami dengan peluh yang banyak dan berbau busuk, bergantung kepada tahap amalan masing-masing.

Dalam sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Ibni Ammar Radiallahuanhuma bahwa Rasul Allah S.A.W memberitahu yang manusia akan dibangkitkan kembali antuk bertemu dengan Allah pada hari kiamat sebagaimana keadaan mereka ketika dilahirkan dari perut ibunya telanjang bulat. Siti Aisyah Radiallahuanha bertanya: Lelaki dan perempuan berkumpul sama ya Rasul Allah?. Jawab Rasul Allah S.A.W: Ya!. Siti Aisyah berkata: Alangkah malunya, kemaluanku dapat dilihat setengah daripada setengah yang lain. Rasul Allah S.A.W menepuk bahu Aisyah dengan bersabda: Kesibukkan manusia pada saat itu tidak memungkinkan akan melihat itu, kebanyakkan pandangan mereka pada saat itu mengarah ke langit, berdiri selama empat puluh tahun tidak makan dan tidak minum, ada yang berpeluh sampai ke tumit, betis, perut dan ke mulut kerana lamanya berdiri. Kemudian berdiri para malaikat mengelilingi Arash lalu Allah menyuruh menyeru NAMA fulan bin fulan. Maka semua yang hadir melihat orang yang dipanggil untuk mengadap Allah S.W.T dan apabila ia sudah mengadap Allah, lalu dipanggil orang-orang yang pernah dianiaya dan dizaliminya untuk diberikan kebaikannya kepada orang tersebut kerana pada saat tersebut tidak ada pembayaran dengan emas atau perak. Semua orang yang pernah dianiaya dan dizalimi menagih kebaikan darinya sehingga habis kebaikannya, lalu diambil dosa-dosa orang yang dianiaya dan dizalimi tersebut untuk dipikulnya. Kemudian setelah selesai semuanya maka diperintahkan Allah kembalilah ketempatmu ke Neraka HAWIYAH kerana pada hari ini tidak ada penganiayaan. Sesungguhnya Allah amat segera perhitungannya dan pembalasannya. "

Muslimim yang dirahmati Allah,

Dalam sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Abi Barzatal Aslami bahwa Rasul Allah S.A.W bersabda:



Maksudnya: " Tidak berganjak kaki seorang hamba sehingga ditanya kepada-Nya tentang umurnya digunakan untuk apa sampai akhir hayatnya. Dan ilmunya apa ia pergunakan (apakah diamalkan atau tidak), dan hartanya dari mana ia dapat dan kemana ia belanjakan, dan badannya untuk apa ia pergunakan “ (Sunan Darimi)


Sidang Jumaat yang berbahagia,

Keyakinan kepada hari kiamat akan memberi kesan yang sangat mendalam ke dalam jiwa setiap orang islam dalam usaha mencapai matlamat kehidupan yaitu mendapat kecemerlangan di dunia dan kebahagiaan di akhirat. Dengan meyakini bahawa pada hari kiamat kita tetap akan dihimpunkan di padang Mahsyar untuk dibicarakan dimahkamah Rabbul Jalil di atas segala tindak tanduk dan amalan yang kita lakukan semasa hidup di dunia dan akan menerima pembalasan yang setimpal dan adil saksama dari Allah. Oleh itu bersegeralah kita mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah S.W.T dengan sentiasa mentaati semua perintah Allah serta meninggalkan segala larangannya yang merangkumi seluruh aspek kehidupan yang merangkumi dasar perjuangan, perancangan termasuk cara berfikir, cara bertindak dan cara mencapai sesuatu tujuan dan matlamat. Marilah kita warnakan seluruh aktiviti kehidupan kita dengan sistem hidup yang digariskan oleh Allah S.W.T dan sekaligus meninggalkan segala bentuk fahaman dan amalan akhliah yang bercanggah dengan syariat Allah.
Maksudnya: " Setelah berlaku demikian maka ( manusia akan diberikan tempatnya menurut amal masing-masing ), adapun orang yang berat timbangan amal baiknya, maka ia berada dalam kehidupan yang senang lenang. Sebaliknya orang yang ringan timbangan amal baiknya, maka tempat kembalinya ialah HAWIYAH. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia HAWIYAH itu? (HAWIYAH itu ialah) api yang panas membakar. "
( Surah Al-Zalzalah ;ayat 6-11 )



اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ لَهُ مَا فِى السَّمَوَاتِ وَمَا فِى الأَرْضِ وَلَهُ الْحَمْدُ فِى الآخِرَةِ وَهُوَ الْحَكِيْمُ الْخَبِيْرُ. أَشْهَدُ أَنْ لآ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ! اِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.


Sidang Jemaah yang berbahagia,


Sekali lagi saya berpesan, marilah sama-sama kita meningkatkan usaha untuk lebih bertakwa kepada Allah SWT kerana sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling tinggi ketaqwaannya. Bertaqwalah dengan ikhlas dengan menepati kehendak-Nya, semoga kita peroleh keberkatan hidup di dunia dan di akhirat.

Saya juga ingin mengingatkan dan menyeru kepada semua terutamanya sahabat-sahabat mahasiswa sekalian untuk kita meletakkan tekad menjadi seorang mahasiswa yang berguna kepada kedua ibubapa kita, kepada agama, bangsa, negara dan UMS yang tercinta. Sama-sama kita mendoakan semoga kita sentiasa berada di bawah payung rahmat dan redha Allah Taala.

1 comment:

Khazinatul Asrar said...

HUhuhu..
mengingatkan diri yg eslalu alpa..
kadang terlupa tujuan belajar...
lupa tujuan dilahirkan di dunia ini...
lupa untuk memperhambakan diri pada pencipta..
kadang tiada rasa takut padaNya..
lupa yg setiap hari malaikat maut sentiasa memandang kita...