Tuesday, December 14, 2010

Pendidikan di Sabah

(kertas kerja ini saya bentangkan dihadapan Y.A.B Timbalan Perdana Menteri merangkap menteri pelajaran pada Jun 2009. Turut hadir beberapa menteri cabinet, Ketua Pengarah Pelajaran, Ketua Polis Negara, beberapa CEO Syarikat, NGO dan para pimpinan mahasiswa kebangsaan)

PEMERKASAAN MUTU DAN KUALITI PENDIDIKAN SEKOLAH-SEKOLAH LUAR BANDAR, NEGERI SABAH


ABSTRAK


Kertas kerja ini bertujuan membincangkan cabaran yang dihadapi dan langkah-langkah ke arah pemerkasaan mutu dan kualiti pendidikan sekolah-sekolah luar bandar di negeri Sabah. Penentuan kategori luar bandar dibuat berdasarkan kedudukan geografi dan kawasan pembangunan atau perbandaran Negeri Sabah yang mana ia terbahagi kepada empat kategori iaitu Pulau, Pesisir laut dan sungai, Pergunungan dan Pedalaman Dalam. Dapatan kajian menunjukkan, sehingga Januari 2008 terdapat 1,271 buah sekolah di negeri Sabah. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,002 buah daripadanya merupakan sekolah luar bandar masing-masing 882 sekolah rendah dan 120 sekolah menengah. Sejumlah 497 buah sekolah dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM). Berdasarkan penyelidikan dan tinjauan Pusat Kajian Pendidikan Luar Bandar (PKPLB), terdapat beberapa cabaran yang dihadapi oleh sekolah-sekolah luar Bandar yang merangkumi aspek profesionalisme guru dan pengurusan sekolah, penempatan guru terlatih, infrastruktur dan kemudahan asas sekolah, dan tahap literasi dan kemiskinan dalam kalangan murid luar bandar juga dilihat sebagai faktor penyumbang permasalahan pendidikan di luar bandar. Diharapkan perbincangan yang dijalankan ini dapat memberikan manfaat kepada semua pihak dalam usaha memperkasakan mutu dan kualiti pendidikan sekolah-sekolah luar bandar, Negeri Sabah.


1.0 PENDAHULUAN

Falsafah Pendidikan Negara telah menggariskan bahawa pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi jasmani, emosi, dan rohani berlandaskan kepercayaan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Sistem pendidikan yang berkualiti dilihat mampu meningkatkan taraf hidup dan kualiti masyarakat serta membentuk modal insan minda kelas pertama yang boleh bersaing di persada antarabangsa.

Berdasarkan strategi perlaksanaan yang ke tujuh dalam Dasar Pendidikan Negara, kerajaan berhasrat untuk mendemokrasikan pendidikan dari segi peluang dan mutu dengan mengagihkan peruntukan secara adil dan memberi perhatian khas kepada kumpulan yang kurang bernasib baik, kawasan luar bandar atau pedalaman. Sehubungan dengan itu, kertas kerja ini akan membincangkan tiga kata kunci utama iaitu realiti, cabaran dan langkah pemerkasaan dengan memberi fokus kepada pendidikan sekolah luar bandar di Sabah. Kawasan- kawasan luar Bandar di Sabah dibahagikan kepada empat ketegori iaitu Pulau, Pesisir laut dan sungai, Pergunungan, Pedalaman Dalam. Penentuan kategori luar bandar dibuat berdasarkan kedudukan geografi dan kawasan pembangunan atau perbandaran negeri Sabah berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Sabah (JPNS) bagi tahun 2007.

Sehingga Januari 2008 terdapat sebanyak 1,271 buah sekolah di negeri Sabah. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,002 buah daripadanya merupakan sekolah luar bandar masing-masing 882 sekolah rendah dan 120 sekolah menengah. Sejumlah 497 buah sekolah dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM). Diperingkat sekolah rendah, terdapat 11,274 kelas beroperasi menampung seramai 290,927 orang murid manakala, diperingkat menengah seramai 193,539 orang pelajar ditempatkan di 5,837 buah kelas. Seramai 21,864 orang guru dan 2,970 orang kakitangan sokongan bertugas di sekolah rendah seluruh Sabah. Di peringkat sekolah menengah, operasinya dijayakan oleh seramai 12,869 guru dan 2,190 kakitangan bukan akademik. Berdasarkan perangkaan tersebut, dapat disimpulkan bahawa nisbah guru kepada murid di Sabah ialah 1:13 diperingkat sekolah rendah dan 1:15 di peringkat sekolah menengah (KPM, 2008).

2.0 ISU DAN PERMASALAHAN

2.1. PROFESIONALISME GURU DAN PENGURUSAN SEKOLAH

Berdasarkan maklumat daripada Pusat Kajian Pendidikan Luar Bandar (PKPLB) terhadap 12 sekolah rendah luar bandar (2 buah sekolah di kawasan pulau, sebuah di kawasan pesisir, sebuah di kawasan pergunungan, 7 buah sekolah di kawasan pedalaman dalam dan sebuah sekolah terpinggir) 100% guru besar sekolah terbabit hanya memiliki kelulusan akademik peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan majoritinya dilantik berdasarkan pengalaman mengajar antara 5 hingga 24 tahun dengan pengalaman pentadbiran antara 2 hingga 17 tahun. Bilangan guru yang berkhidmat di sekolah tersebut ialah antara 4 hingga 28 orang guru. Jumlah tersebut dianggap sudah mencukupi bagi menampung beban tugas pengajaran guru di sekolah terbabit. Walau bagaimanapun, aspek kompetensi guru di sekolah luar bandar masih menjadi isu pokok memandangkan daripada seramai 183 orang guru yang bertugas di 12 sekolah terabit, hanya 17% guru memiliki ijazah sarjana muda, 30% guru lulusan diploma dan 13% orang guru lulusan STPM manakala selebihnya iaitu 40% orang guru hanya memiliki kelulusan SPM atau lebih rendah. Selain itu, peratusan guru yang mengajar di luar bidang atau kemampuan juga masih tinggi iaitu antara 32% hingga 91%.
Dari segi kakitangan sokongan, 66.6% sekolah memiliki seorang kerani manakala selebihnya memiliki dua orang kerani. Lokasi sekolah yang jauh, berisiko tinggi, ketiadaan alat perhubungan seperti telefon dan faks serta ketidaksampaian penghantaran surat terus ke sekolah menyebabkan sebilangan besar kerani sekolah terpaksa bertugas di pejabat pelajaran daerah atau gabungan terdekat bagi memudahkan pengurusan berkaitan penyampaian maklumat dan pentadbiran termasuk gaji kakitangan. Kaedah tersebut merupakan langkah penyelesaian terbaik bagi mengelakkan sekolah di kawasan luar bandar terpinggir dari sebarang maklumat seperti pekeliling, aktiviti dan arahan yang dikeluarkan oleh pihak atasan. Pada masa sama, langkah tersebut juga menimbulkan pelbagai masalah termasuk aduan beberapa guru besar tentang kelewatan maklumat dan kegagalan kerani untuk melaporkan diri apabila diperlukan contohnya semasa mesyuarat dan aktiviti yang dilaksanakan di premis sekolah luar bandar.

2.2 INFRASTRUKTUR DAN KEMUDAHAN ASAS SEKOLAH

Secara keseluruhan, Sabah masih ketinggalan dalam aspek pendidikan khususnya di kawasan luar bandar. Daripada sejumlah 1,064 sekolah rendah di negeri Sabah, 497 buah masing-masing 465 Sekolah Kebangsaan, 30 Sekolah Jenis Kebangsaan dan 2 Sekolah Kebangsaan khas merupakan Sekolah Kurang Murid (SKM). Usaha membangunkan pendidikan Sabah khususnya di kawasan luar bandar memerlukan peruntukan sebanyak RM83 bilion. Walau bagaimanapun, di bawah Rancangan Malaysia Ke Sembilan, hanya RM3.43 bilion telah diluluskan bagi Kementerian Pelajaran Malaysia untuk melaksanakan 3,904 projek. Walaupun perkembangan semasa di sekolah luar bandar amat menggalakkan, keperluan semasa sistem pendidikan kebangsaan menyebabkan masih terdapat jurang ketara di antara sekolah bandar dan luar bandar. Berdasarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) masih banyak cabaran yang perlu diatasi. Tinjauan awal di sekolah berkenaan jelas membuktikan keperluan mendesak dari segi pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas sekolah.

Dapatan kajian menunjukkan masih terdapat sekolah yang tidak dilengkapi kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air bersih. Sejumlah 91.7% sekolah tidak dilengkapi bekalan elektrik 24 jam dan tiada asrama pelajar. Sebanyak 6 buah sekolah menggunakan generator manakala, 4 buah sekolah menggunakan solar hibrid manakala sebuah sekolah tidak memiliki bekalan elektrik. Bekalan air bersih di sekolah terlibat agak memuaskan dari segi peratusannya, tetapi sumber bekalan masih diragui memandangkan masih terdapat 3 buah sekolah yang bergantung sepenuhnya kepada tadahan tangki manakala 2 buah sekolah memperoleh bekalan air graviti yang diusahakan oleh penduduk tempatan.

Masalah penyampaian maklumat masih sukar diatasi kerana 83.3% sekolah tidak mempunyai mesin faksimili 75 % tiada telefon. Isu rumah guru meskipun agak rendah masih dipersoal dari segi penyelenggaraan dan kualiti bahan binaan dengan rumah guru di 4 buah sekolah memerlukan penyelenggaraan segera. Penyediaan kemudahan kantin sekolah juga masih di tahap sederhana. Hanya 6 buah sekolah memiliki kantin sekolah tetapi empat darinya dalam keadaan uzur atau diusahakan secara tidak sah. Masalah ketiadaan pondok keselamatan (41.7%) masih perlu tindakan segera bagi meningkatkan tahap keselamatan sekolah sekali gus mewujudkan iklim pengajaran dan pembelajaran yang lebih kondusif.

Pembinaan lebih banyak blok kelas juga agak mendesak. Pengenalan pelbagai mata pelajaran baru bagi memperluas literasi komputer, pengajaran dan pembelajaran berbantu komputer dan memupuk insan celik IT dan komputer, masih sukar untuk direalisasikan oleh sekolah luar bandar. Daripada 12 buah sekolah yang dilawati PKPLB, 66.7% sekolah tidak memiliki makmal komputer dan makmal sains malah, struktur dan kelengkapan bilik sains di 2 buah sekolah amat uzur dan tidak boleh digunakan. Pemantauan terhadap penggunaan alat bantu mengajar (ABM) khususnya peralatan elektrik perlu dipergiat. Tinjauan mendapati ada sekolah yang tidak menggunakan ABM tersebut walaupun telah dibekalkan dua tahun sebelum tinjauan atas alasan ketiadaan guru mahir ICT dan sebagainya. Kebanyakkan peralatan tersebut hanya disimpan distor peralatan sekolah. Senario ini jelas menjadi satu pembaziran besar wang negara dan merupakan salah satu penyebab keciciran murid luar bandar dari segi pendidikan Sains dan ICT.

2.3 PENEMPATAN GURU TERLATIH

Mengikut laporan perangkaan dalam EMIS sehingga 31 Oktober 2007 negeri Sabah mempunyai seramai 21499 guru yang sedang bertugas di 1064 buah sekolah rendah, manakala seramai 12311 guru sedang bertugas di 205 buah sekolah menengah negeri Sabah. Daripada kedua-dua jumlah tersebut seramai 1165 guru adalah Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang mana sebahagian besarnya tertumpu di sekolah rendah.
Daripada jumlah 1165 tersebut 33.13% adalah GSTT bukan siswazah dan keadaan ini juga banyak tertumpu di sekolah rendah. Selain keadaan di atas, pihak JPN Sabah masih menghadapi kesukaran untuk menempatkan guru-guru terlatih dan berpengalaman terutamanya bagi mata pelajaran kritikal seperti Bahasa Inggeris di kawasan luar bandar dan pedalaman. Faktor utama penyebab kepada permasalahan ini ialah ketiadaan rumah guru atau rumah guru yang daif selain daripada keadaan infrastruktur lain seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik yang juga agak daif atau tiada langsung.
Beberapa isu utama dikenal pasti selain yang telah dilaporkan di atas adalah seperti berikut :
i) Isu berkaitan agihan nisbah guru kepada pelajar.
Bilangan pelajar negeri Sabah keseluruhannya adalah seramai 484437 orang dengan sebahagian besarnya tertumpu di sekolah rendah iaitu seramai 289822 orang murid (sumber EMIS seperti 31 Oktober 2007); berbanding dengan penempatan guru di sekolah ini hanya seramai 21499 orang sahaja.
ii) Bekalan guru setempat tidak mencukupi.
Keadaan ini berlaku disebabkan setiap tahun sekurang-kurangnya 1200 permohonan pertukaran guru antara negeri dari Sabah ke semenanjung berlaku. Impak daripada keadaan ini ialah wujudnya masalah dimana JPN Sabah akan sentiasa kekurangan guru yang layak untuk mengisi jawatan naik pangkat, sebagai contoh ke DG44. Turnover rates yang tinggi ini juga menyebabkan JPN Sabah akan sentiasa kekurangan guru-guru yang berpengalaman.
iii). Penempatan guru baru terlatih (GSST) dan memenuhi opsyen
Bilangan guru baru terlatih (GSST) yang ditempatkan ke negeri Sabah oleh KPM kurang memenuhi keperluan JPN dari segi opsyen. Wujud ketidakselarasan (mismatch) antara bilangan opsyen yang diperlukan dengan yang dibekalkan oleh pihak KPM.
iv) Kekurangan guru terlatih di SJKC Cina
Keadaan penempatan guru terlatih berbahasa Cina di SJKC Sabah agak kekurangan menyebabkan pihak sekolah ini meletakkan sehingga 50 murid dalam sesetengah kelas. Ini pula membawa kepada persekitaran bilik darjah yang sesak dan tidak selesa. Keadaan yang sama berlaku di sekolah menengah di mana setakat ini terdapat 24 kekurangan guru Bahasa Cina. Keadaan menjadi bertambah kritikal dengan ketiadaan pengambilan baru guru Bahasa Cina oleh pihak kementerian.

2.4 KADAR LITERASI DAN KEMISKINAN MURID

The World Education Report (1993) menyenaraikan Malaysia sebagai salah satu negara yang rendah kadar celik huruf dalam kalangan rakyatnya (78.4%) berbanding negara Asia Tenggara lain seperti Singapura (100%), Indonesia (81.6%), Thailand (93%) dan Filipina (89.7%). Pada tahun 1996, UNESCO melaporkan rakyat Malaysia yang berumur 10 tahun ke atas adalah celik huruf namun, secara purata setiap individu hanya membaca 2 buah buku dalam setahun. Kadar celik huruf pada tahun sama dalam kalangan penduduk luar bandar di Sabah dan Sarawak dilaporkan masih rendah pada kadar 79%. Celik huruf penting untuk membasmi kemiskinan, mengurangkan kematian kanak-kanak, menghalang pertumbuhan populasi, mencapai kesaksamaan jantina dan memastikan pembangunan lestari, keamanan dan keharmonian. Tumpuan kepada penambahbaikan pendidikan daripada segi capaian, ekuiti dan kualiti, khasnya bagi golongan kanak-kanak yang terpinggir di Malaysia perlu terus diperkasa. Wakil UNICEF ke Malaysia, Youssouf Oomar semasa berucap sempena Hari Literasi Antarabangsa 2007 berkata "Kanak-kanak yang boleh membaca dan menulis boleh diajar. Kanak-kanak yang boleh diajar boleh diperkasa untuk menuntut hak mereka, mengubah kehidupan mereka, memajukan masyarakat mereka dan mempengaruhi takdir mereka (Halimah Badioze Zaman, 1995)”.

Sabah masih kekal negeri termiskin di Malaysia dan majoriti penduduk miskinnya tinggal di kawasan luar bandar. Justeru, pendidikan dilihat mampu menjadi “senjata” dalam usaha kerajaan menghapuskan kemiskinan tegar menjelang 2010. Di seluruh negara, akibat kemiskinan, kekurangan infrastruktur dan sikap masyarakat yang tidak mementingkan pendidikan khususnya dalam kalangan penduduk luar bandar, secara purata 83,000 orang murid di seluruh negara dikhuatiri tercicir dari sistem pendidikan. Antara usaha untuk mengurangkan jumlah keciciran tersebut, RM185.47 juta di bawah Tabung Amanah Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP) telah diluluskan di bawah RMK-9 untuk negeri Sabah (RMK-9, 2006). Di bawah skim KWAMP, setiap murid yang layak diberikan bantuan berjumlah antara RM150 hingga RM350. Ini bermakna, dianggarkan masih terdapat 600 ribu murid miskin di negeri Sabah.

3.0 CADANGAN PENYELESAIAN

Harapan dan masa depan pendidikan murid sekolah luar bandar adalah bergantung kepada banyak perkara yang sukar diselesaikan sekiranya tidak dipantau oleh pihak yang bertanggungjawab secara sistematik dan komprehensif. Sebagai langkah ke arah pemerkasaan mutu dan kualiti pendidikan luar bandar terdapat beberapa saranan dan syor kepada kementerian dan pihak yang terbabit. Antara cadangan pemerkasaan adalah seperti berikut:

3.1 INFRASTRUKTUR DAN KEMUDAHAN ASAS

Peruntukan RMK-9 yang melibatkan berbilion ringgit untuk keperluan pendidikan luar bandar perlu diagihkan secara adil dan dapat dilihat kesan pembangunan infrastruktur sekolah luar bandar secara menyeluruh. Begitu juga dengan Koridor Pembangunan Sabah adalah diharapkan dapat dimanfaatkan untuk pembangunan pendidikan di luar bandar negeri Sabah, bukan hanya memfokus kepada aspek ekonomi. Masalah kemudahan asas ini dilihat sebagai masalah utama yang perlu diselesaikan bagi merapatkan jurang pendidikan di kawasan bandar dan luar bandar. Ini kerana, masih terdapat ramai guru yang komited cenderung untuk berkhidmat di kawasan bandar kerana mempunyai kemudahan asas yang lengkap dan selesa. Di Sabah masih terdapat sekolah yang guru dan pelajarnya terpaksa berjalan kaki lebih dari dua jam untuk sampai ke kawasan sekolah kerana di kawasan terbabit para pelajar dan guru kerana kemudahan jalan yang daif.

3.2 PROFESIONALISME GURU DAN PENGURUSAN SEKOLAH

Bagi tujuan merealisasikan teras kelima PIPP iaitu usaha memartabatkan profession keguruan pihak kementerian perlu menyusun langkah yang komprehensif dan sistematik. Guru perlu mempunyai sikap dan penampilan diri seorang pendidik yang berwibawa. Pemantauan dan bimbingan berterusan perlu dilaksanakan secara sistematik dan berterusan dari pihak yang bertanggungjawab, sama ada oleh pihak kementerian, kerajaan negeri serta badan bertanggungjawab di peringkat daerah. Pihak KPM harus menyelaraskan pengambilan bakal guru antara JPN dengan BPG serta dengan IPTA/IPTS, agar dapat memenuhi keperluan sebenar JPN dari segi keperluan opsyen. Pengurusan penghantaran Surat Tawaran Perlantikan guru baru perlu lebih selaras dan cekap. Dicadangkan agar surat tersebut diedarkan kepada guru-guru baru semasa taklimat penempatan di sekolah baru. Penganjuran bengkel dan kursus dalam perkhidmatan serta bayaran insentif yang bertujuan untuk meningkatkan minat guru berkhidmat di kawasan luar bandar tidak akan membawa sebarang impak positif tanpa pemantauan, bimbingan dan penilaian komprehensif. Jika ini berlanjutan, misi untuk melahirkan modal insan kelas pertama menerusi pendidikan sekolah bakal menjadi sia-sia.

3.3. PROGRAM INTEGRASI ANTARA PIMPINAN PELAJAR

Program integrasi antara pimpinan-pimpinan pelajar Intitutusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta dilihat sebagi salah satu program yang dapat membantu merapatkan jurang pendidikan di kawasan bandar dan luar bandar. Para pimpinan pelajar perlu bekerjasama mengadakan program bakti siswa, khidmat masyarakat dan seumpamanya dan lebih menekankan aspek akademik dan motivasi di kawasan luar bandar. Program berbentuk pengajaran dari pelajar IPTA/S mungkin akan memberikan impak yang lebih berkesan memandangkan pelajar IPTA sebagai abang dan kakak dapat memberikan motivasi kepada adik-adik di sekolah tersebut. Namun usaha ini perlulah dilakukan secara berterusan dan konsisten supaya lebih berkesan.

3.4 PERKEMBANGAN KOGNITIF, LITERASI DAN STATUS PEMAKANAN

Isu pendididkan seperti keciciran, kemiskinan, buta huruf, dan keperluan makanan berkhasiat serta seimbang dalam kalangan murid sekolah perlu diberi perhatian serius seperti masalah sosial yang lain. Guru perlu memainkan peranan dalam membantu masalah buta huruf, dan keperluan makanan seimbang untuk membantu perkembangan kognitif dan fizikal yang sihat. Program KIA2M dan Rancangan Makanan Tambahan tidak akan berjaya sekiranya guru dan pentadbir tidak memberi kerjasama, perhatian dan pemantauan dalam melaksanakan program tersebut. Usaha membangunkan pendidikan luar bandar merupakan tanggungjawab bersama bermula dari latihan perguruan. Pihak IPG atau IPTA seharusnya menyediakan guru yang berkompetensi dan berdedikasi dengan komitmen yang tinggi untuk melayakkan mereka bertugas di sekolah luar bandar dan mendapat insentif bulanan yang telah ditentukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

4.0 PENUTUP

Secara umumnya, walaupun pelbagai pihak telah berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan pelbagai aktiviti dan program pendidikan, namun masih banyak yang perlu diperbaiki dan dimantapkan supaya sistem dan institusi pendidikan khususnya pendidikan di luar bandar dapat membangunkan modal insan yang memiliki daya saing yang tinggi dan berwibawa. Pendidikan di sekolah luar bandar Sabah secara umumnya telah mengorak langkah ke arah pembangunan. Namun, secara realitinya sekolah di pedalaman, pulau, pesisir dan pergunungan masih ketinggalan sama ada dari segi akademik, infrastruktur, kuantiti, kualiti guru serta kualiti pendidikan guru. Oleh itu, semua pihak harus berganding bahu demi memastikan masalah jurang pendidikan pelajar kawasan bandar dan luar bandar dapat diatasi dengan langkah-langkah yang efisyen dan berkesan.

Wednesday, November 10, 2010

Penempatan Guru Baru Bermasalah

Proses pengambilan guru baru yang dilakukan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia perlu ada penambahbaikan. Keadaannya sekarang sangat merugikan pihak KPM dan calon guru itu sendiri. Bermula dengan isu temuduga yang nampak kurang berkesan sistemnya hinggakan ada calon guru yang menuntut bidang pendidikan di Universiti-universiti terpaksa mengambil temuduga lebih daripada 2 kali malahan ada yang terpaksa menduduki temuduga sebanyak 4 kali. Lebih mengecewakan lagi, ada calon yang memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan oleh pihak KPM untuk lulus temuduga turut gagal melepasi temuduga. Ada diantara mereka aktif berpersatuan di Universiti dan dalam masa yang sama memperolehi PNGK lebih daripada 3.00. Adakah pihak KPM meletakkan temuduga sebagai syarat penting untuk menjadi seorang guru? Mengapa masih ada calon guru yang terpaksa menunggu lama hingga bertahun-tahun untuk menjadi guru? Saya menuntut agar pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dapat meneliti perkara ini dan memperbaikinya pada masa hadapan. Saya juga menuntut agar diteliti semula sistem temuduga yang hanya merugikan pihak KPM dan calon guru dan pihak KPM dapat mempercepatkan penempatan guru baru terutamanya graduan daripada Universiti.

Sunday, October 31, 2010

BN atau PAKATAN PAKYAT atau UMNO+ PAS

Kerajaan BN sering dibuat tuduhan bermacam-macam. Sedangkan, pihak yang menuduh belum pasti dapat membina negara Malaysia dalam tempoh lebih 50 tahun. Tapi ini bukan persoalan pokok yang saya ingin bincangkan.

Saya seorang yang melihat kepada realistiknya sesuatu perkara. Dari sudut perjuangannya, saya hanya berminat dengan perjuangan tulus ikhas yang ditunjukkan oleh UMNO dan PAS. Parti lain terutamanya PKR amat jauh daripada fikiran saya. Saya selalu berfikir, UMNO dan PAS sering mengutarakan perjuangan negara Islam. Namun realistiknya, dalam barisan dan pakatan masing2, amat mustahil untuk melihat perkara ini menjadi realiti. UMNO yang menjadi tunjang kepada BN terpaksa memberikan toleransi yang tinggi kepada rakan2 BN yang banyaknya diwakili oleh orang bukan Islam seperti MCA, MIC, PPP, GERAKAN, PBS, PBRS dan banyak lagi. PAS pula terpaksa berhadapan dengan PKR dan DAP yang amat keras menentang kewujudan konsep negara Islam. PKR terlalu ingin cepat berkuasa hingga membayangkan Tim. Perdana Menteri akan ada wakil daripada kaum bukan Melayu, DAP pula sudah terkenal dengan ideologinya yang memang tidak sehaluan dengan PAS dan PKR. Walaupun dalam perjuangan luar mereka nampak macam bersatu terutamanya ketika kempen pilihanraya.

Saya amat hairan dengan rakan2 saya di pihak PAS yang begitu semangat membantu kemenangan PKR atau DAP utk menang dalam satu2 pilihanraya sedangkan mereka sedar perjuangan mereka dan misi mereka tidak akan terlaksana walaupun pakatan mereka memerintah. Bahkan sekarang pun, DAP merupakan parti pembangkang yang mempunyai wakil rakyat teramai di parlimen dan trend pengundi cina memang memihak mereka yang sekaligus memungkinkan mereka akan terus berjaya pada masa akan datang.

Saya sedar, jika saya mengatakan UMNO+PAS amat mustahil terlaksana. Saya pun bukanlah orang yang menyokong perkara tersebut 100% tapi konsep ini harus dijadikan contoh utk melihat Malaysia menjadi negara Islam yang tulen.

Friday, October 22, 2010

Cabaran Pembentukan Kerajaan Islam Malaysia

Siapa yang tidak mahu terbentuknya sebuah negara Islam di Malaysia sepertimana kerajaan Islam Madinah. Ciri-cirinya tampak sama. Nabi Muhammad berjaya menyatupadukan pelbagai kaum dan agama di Madinah dengan cemerlang. Begitu juga halnya di Malaysia, kerajaan dulunya mampu menyatukan kepelbagaian bangsa dan agama untuk menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Namun, adakah ia sama atau menghampiri ciri-ciri kerajaan Islam Madinah?

Mari sama-sama kita turuti sejarah dan realitinya.

Majoritinya, masyarakat Islam mendiami tanah Malaysia diikuti masyarakat Cina, India dan pribumi Sabah dan Sarawak. Pembentukan Malaysia sememangnya didasari kesepakatan para pemimpinnya. Asasnya, UMNO pendokong usaha mewujudkan sebuah kerajaan Islam. Asalnya, ramai ahli UMNO merupakan bijak pandai Islam yang kemudiannya keluar membentuk PAS. Mungkin disebabkan inilah, usaha ini sedikit terbantut.

Walaubagaimanapun, hingga sekarang kita masih dapat melihat usaha ini berterusan, cuma ia masih perlahan.

Walaupun lebih 50 tahun memimpin Malaysia, kita belum nampak hasil total kerajaan Islam Malaysia ini wujud. Kenapa? Adakah kerana keterbukaan dan toleransi yang terpaksa dilakukan demi kelangsungan keharmonian dan berkongsi bersama masyarakat bukan Islam yang lainnya?

Di satu pihak pula, memang nampak momentumnya. Mereka menjelmakan Kelantan sebagai modul. Namun,jika dilihat, di Kelantan, kurangnya masuk campur masyarakat bahkan pemimpin bukan Islam terhadap idea ini kerana memang mereka kuasa mutlak di sana. Bagaimana pula jika ia diimplementasi oleh mereka jika mereka berjaya menguasai pusat nanti? Pimpinan DAP keras menolak. PKR seolah-olah membisu. Belum ada kesepakatan. Mungkin jika disamakan tempoh 50 tahun lebih memerintah pun belum tentu ia akan menjadi satu kenyataan walaupun sekarang ia dijadikan agenda.

Mengapa kerajaan kin belum dapat menjelmakannya? Adakah jika pihak penentang memerintah mereka dapat jelmakannya?

Saya yakin kita semua ingin melihat suasana pemerintahan bercorak Islam yang total. Kita juga patut bersyukur kerana sekarang pun, pemerintah masih lagi meletakkan Islam sebagai ad-din walaupun tidak menyeluruh. Sama-sama kita doakan agar impian ini menjadi realiti

Wednesday, October 20, 2010

Bahana Bai'ah

Bai’ah sememangnya tidak asing dalam Islam bahkan sejarah banyak menceritakan tentang bai’ah yang membawa kepada kesatuan dan semangat perjuangan dalam jemaah Islam dulu. Namun sekarang ia telah sedikit berubah. Pada zaman sekarang pun bai’ah digunakan dalam proses pelantikan para pemimpin Negara termasuk Perdana Menteri, Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua menteri bahkan untuk menjadi ahli dalam sesuatu persatuan atau parti pun perkara ini sudah menjadi kebiasaan.
Namun, sejauh mana bai’ah sekarang membawa kepada kesatuan yang menyeluruh dan selamanya seperti zaman dulunya? Isunya, mengapa ada segelintir masyarakat yang menjadi begitu taksub dengan bai’ah? Mengapa ada yang sanggup memaksa individu-individu tertentu melakukan sesuatu bai’ah tanpa kerelaan?
Perjanjian atau bai’ah dalam perkahwinan mengajak sesebuah pasangan untuk hidup saling berkorban. Bai’ah dalam berpersatuan dan kepartian pula mengajak ahlinya setia. Namun, adakah bai’ah ini menghalalkan permusuhan? Nah, inilah perkara yang berlaku sekarang. Apabila salah seorang ahli mengkhianati bai’ah, dia akan disisihkan bahkan dicaci. Perkara ini amat jauh daripada anjuran Islam. Saya punya pengalaman, saya tidak cakap kosong apatah lagi bohong. Semangat seperti ini mesti dibuang jauh-jauh agar kita dapat lihat bangsa dan agama kita maju.

Friday, May 14, 2010

Puisi utk guru

kalau seorang guru mengajar sambil duduk, murid belajar sambil mengantuk
kalau seorg guru mrngajar sambil berlakon, murid belajar dengan tekun
kalau seorg guru mengajar tanpa alat, murid belajar dengan ralat
kalau seorg guru mengajar byk ckp, ada murid bertambah gagap
kalau seorg guru mengajar tanpa menilai, x kan tahu murid bodoh dan pandai
kalau seorg guru menjadi pemudahcara, ramai murid berbicara
kalau seorg guru berbicara, dikenang murid sepanjang masa

Tuesday, May 4, 2010

Guru baru posting tanpa gaji 3 bulan

isu Guru Baru 3 bulan posting tanpa gaji telah saya suarakan kepada KPT dan KPM. Sememangnya, perkara ini sangat perlu mendapat perhatian pihak tertentu. Wang sangat perlu utk guru baru lbh2 lg mereka2 yg akan posting ke pedalaman sekaligus dapat memberikan suntikan awal dan semangat berkobar2 utk mengajar

Monday, April 26, 2010

Hanya Sebagai Perkongsian

Minta maaf, saya terpanggil mahu ulas isu politik. Harap para pembaca dpt telaah dgn baik dan bg komen sebaiknya. Tentang keputusan PRK Hulu Selangor yang dimenangi BN. Saya kurang bersetuju bila ada sesetengah pihak yg tidak menerima kekalahan dengan hati yang terbuka dan berlapang dada. Macam2 kenyataan, beli undi la, itu la ini la. Saya fikir cara ini hanya akan membuatkan rakyat muak. Kalau kalah terimalah secara profesional. Rakyat ada fikiran, mereka melihat apa yg org lain buat. Profesional menerima kekalahan akan membuatkan rakyat tertarik hati dan InsyaAllah kelak akan menjadi juga. Tp kalau setiap kali kalah, alasan rasuah la, hundi hantu la, habis la. Nda sampai mana juga tu. X jauh bah tu PUTRAJAYA. tp mahu pergi sana mesti la cara terhormat, profesional. Maka, tidak kira apa SIDEnya, kalau keputusan tidak memihak kepada 'mereka', terimalah dengan hati terbuka dan buatlah penambahbaikan terhadap kerja. InsyaAllah, kita blh praktikkan bukan shj dlm politik, tp juga utk semua bidang yg kita ceburi.

Thursday, April 1, 2010

Contoh data peribadi utk borang posting

Semua pelajar SPPS thn akhir mesti menghantar data ke pihak SPPS. Ubah ke btk landscape. rujuk www.anakmudasabahunggul.blogspot.com utk contoh data. Emailkan mengikut kos HT06 – sppstesl@gmail.com. HT16 - sppssains@gmail.com. HT17 - sppssosial@gmail.com. HT18 - sppsekonomi@gmail.com... hantar sblm 30 April 2010. Pihak SPPS akan hntr kpd pihak KPM secara pukal. Anda juga dibolehkan mengisi borang secara online di laman web KPM.

Data yg perlu ada, buat dlm btk exxel (landscape)

BIL. UNI. NAMA NO K/P JANTINA WARGANEGARA KELULUSAN BM SPM BI SPM MAJOR MINOR PENAJA ALAMAT SURAT MENYURAT PENEMPATAN (kosongkan) TARAF PERKAHWINAN TARIKH LAPOR DIRI SEKOLAH (kosongkan) NO. TEL. PNGK TERTINGGI PNGK TERKINI

Friday, February 19, 2010

Mahasiswa - krisis mencari halatuju perjuangan

Semua orang mengatakan mahasiswa memiliki aura tersendiri. Dewasa ini, isu berkaitan mahasiswa semakin mendapat tempat. Dengan adanya platform seperti suara siswa dan bermacam2 lagi, mahasiswa kini sudah menunjukkan kekuatan yang dicari. Namun sejauh mana mahasiswa itu benar2 memahami perjuangan mereka. Ada bermacam2 kumpulan mahasiswa yang bergerak memperjuangkan ideologi2 masing2. Bolehlah diklasifikasikan kepada 2 kumpulan besar iaitu Pro-Mahasiswa dan Pro-Aspirasi. Apa dia Pro-Mahasiswa dan Pro-Aspirasi tu? Saya yakin, tidak ramai dikalangan ahli kedua2 kumpulan ini faham dan tahu hala tuju perjuangan. Masing2 menunjukkan kecemerlangan masing2. Tidak pedas juga jika dikatakan, masing2 menunjukkan keangkuhan masing2. Tidak mahu mengaku kalah dan salah. Itulah prinsip yang selalu kelihatan.

Kita tahu, mereka yang menganggotai kumpulan2 ini adalah golongan mahasiswa, muda mudi yang sememangnya jiwa mereka sangat kental dan keras. Ada yang bergerak secara halus dan ada yang sangat keras. Masing2 punya cara masing2.

Namun, apakah mahasiswa ini yakin perjuangan mereka itu adalah yang dimahukan oleh mahasiswa lainnya? Kenapa perlu wujud provokasi diantara kedua2nya. kenapa setiap program yang dianjurkan oleh mana2 kumpulan, ahli dalam kumpulan shj yang memberi komitmen dan tanpa melibatkan yang lainnya. kenapa perlu timbulkan fitnah dan perkara2 yang kurang molek?

Walaubagaimanapun, saya sangat kagum dengan kemunculan semangat keberanian di kalangan mahasiswa dalam memperjuangkan idologi mahasiswa. Namun, jangan terperangkap dalam memilih perjuangan. Jadilah mahasiswa yang rendah diri, bersikap rasional dan profesional. Walauapapun kumpulan kita, kita harus bersatu dalam membantu Universiti menjadi sebuah institusi cemerlang yang dikagumi masyarakat luar.

Saturday, February 6, 2010

Anak Sabah; ke mana halatujunya?

Sebagai salah seorang anak Sabah, saya sangat bertuah kerana kita hidup dalam keamanan yang tulen dan harmoni. Namun, anak Sabah sendiri perlu kehadapan dari semua aspek terutamanya skop modal insan. Ke mana anak mudanya? Inilah persoalan yang perlu diteliti oleh kita semua.

Baru-baru ini saya mengikuti satu program di Kuala Lumpur, saya berjumpa dengan seorang sahabat mantan MPP UiTM Shah Alam. Dia kebetulan mengambil jurusan pendidikan, sama seperti saya. Apa yang memeranjatkan saya, dia mengatakan tempat dia menjalani Latihan Mengajar di salah sebuah sekolah di Klang, ramai pelajarnya adalah orang Sabah. Mulanya saya sangat bangga tetapi apabila dia mengatakan para pelajar ini seperti terbiar, keluarga entah ke mana, akademik sedikit kurang menonjol, saya mula berfikir. Apa yang jadi kepada mereka? Ke mana keluarga mereka? Ke mana mereka selepas ini?

Apa pun yang terjadi, kita tidak perlu menyalahi mana-mana pihak. Kita perbetulkan semua yang salah. Itu baru satu kes yang berlaku di luar Sabah. Belum lagi kita lihat perkara yang berlaku di Sabah. Akan kita bincangkan nanti. Kita terutamanya anak Sabah mesti membela nasib anak negeri kita walau dimana mereka berada.

Melihat kepada keadaan ini, saya mengajak semua sahabat2 terutamanya mahasiswa UMS dan mahasiswa Sabah untuk bersama2 terjun menyelami masalah ini. Saya akan berusaha merealisasikan kewujudan Gabungan Mahasiswa Malaysia Sabah (GMMS) sebagai platform kepada kita mencapai impian dan hasrat murni kita dalam membantu masyarakat. Nantikan kemunculannya.