Sunday, February 13, 2011

Kemenangan Rakyat dan Pengajaran Mesir

Tuntutan rakyat Mesir supaya Presiden Mubarak berundur akhirnya menjadi realiti. Seluruh rakyat Mesir meraikannya. Semua Bandar utama Mesir yang mulanya riuh rendah dengan suara lantang menentang kerajaan Mubarak kini bertukar sorakan kemenangan. Walaupun dengan konsisten hanya akan meletakkan jawatan selepas September 2011, namun dengan kuasa rakyat akhirnya Mubarak senyap-senyap meninggalkan Mesir dan mengumumkan peletakan jawatannya selepas 3 dekad menerajui Mesir.

Apa yang berlaku di Mesir sebenarnya bertitik tolak dengan kebangkitan rakyat di Negara-negara seperti Thailand, Ivory Cost dan akhirnya dikuatkan dengan kelantangan kuasa rakyat di Tunisi yang kini melarat hingga ke Italy,Perancis, Jordan, Haiti, Bahrain, Algeria dan sebagainya.

Sememangnya kuasa rakyatlah yang layak menentukan siapa pemimpin yang sepatutnya menerajui Negara. Berdasarkan demokrasi, pilihanraya menentukan pemimpin dan pemerintah. Tidak boleh disangkal setiap Negara di dunia akan mengalami proses pergolakan dalaman. Demonstrasi, rusuhan, perhimpunan jalanan menjadi trend kini untuk menyatakan sesuatu. Namun wujud juga sekumpulan yang mengamalkan cara aman, mesyuarat untuk menyatakan signal kepada pemerintah.

Namun persoalannya, cara manakah yang berkesan? Demonstrasi atau mesyuarah? Apa yang pasti demonstrasi tampak lebih berkesan mendapatkan hak atau lebih dari itu. Cara mesyuarah tidak menampakkan hasil yang konkrit.

Pergolakan besar yang berlaku kini sangat dipengaruhi oleh perubahan persekitaran dan politik semasa. Bermula dengan tumbangnya Takhsin yang hingga kini sering sahaja wujud rusuhan berantai daripada kumpulan merah dan kuning yang sering bertukar tempat menguasai jalan di Bangkok. Bilangan nyawa melayang sangat banyak dan kerugian sangat besar hinggakan sampai sekarang masyarakat dunia khuatir pergi ke Thailand kerana ketidakstabilan politik ditambah keadaan yang tidak menentu di selatan Negara tersebut serta pertikaian dengan Kemboja. Begitu juga halnya dengan Negara yang mengalami pergolakan. Haiti misalnya, sudahlah baru sahaja mengalami bencana alam yang dasyat, pergolakan sangat menghimpit mereka. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

Di mesir, pergolakan yang mengambil masa 18 hari telah mengorbankan lebih 300 nyawa dan menyebabkan kerugian jutaan malahan billion dolar amerika. Namun kepuasan dan kegembiraan nyata mengatasi segalanya. Walaupun yang pasti, belum tentu rakyat Mesir akan menerima pemerintah baru yang diinginkan mereka. Mungkin sahaja protes tersebut juga aka nada kesinambungannya.

Pada pengamatan kita, situasi ini berbeza-beza. Ada yang berulang dan ada yang berlangsung sempurna. Sekali lagi di Thailand, protes berlarutan hingga kini hingga menimbulkan ketegangan. Kini baju merah pula hendak menampakkan pengaruh mereka. Sudah tentu kerajaan Abhisit tidak senang duduk. Ada juga pergolakan yang berlangsung sempurna. Nepal misalnya, protes rakyat Berjaya memedamkan terus kisah silam yang perit.

Kini, protes sudah melarat dan berjangkit terutamanya di Asia Barat dan Tanah Arab. Negara mana menjadi mangsa selepas ini? Bahrain, Algeria, Jordan, atau mungkin Iran juga mengalami revolusi yang sama. Atau mungkin akan melarat hingga ke Asia Tenggara?

Persoalannya adakah perkara yang sama seharusnya berlaku di Malaysia? Adakah protes rakyat kecilan-kecilan yang berlaku di Malaysia akan bertukar dalam skala besar? Relevankah perkara tersebut terjadi di Malaysia? Apa yang pasti kerajaan harus berlaku adil dan terus menunjukkan komitmen kepada rakyat yang member mandat kepada mereka. Juga tidak mustahil apa yang berlaku di Mesir akan berlaku di Malaysia Negara yang kita cintai. Kepada pemerintah, keadilan, kesaksamaan dan ketelusan rakyat tuntut. Kepada rakyat, jadikan peristiwa di Mesir sebagai pengajaran dan bersikap rasionallah dalam melakukan sesuatu perkara lebih-lebih lagi perkara yang melibatkan kedaulatan dan keamanan Negara.