Saturday, April 4, 2009

Terima Kasih Tun Abdullah - Selamat Maju Jaya Datuk Seri Najib

Jumaat (3hb April 2009) satu lagi lipatan sejarah bagi negara Malaysia yang tercinta apabila tampuk kepimpinan negara bertukar tangan daripada Tun Abdullah kepada Datuk Seri Najib. Tun Abdullah yang juga merupakan mantan PM ke-5 telah berjasa besar kepada bangsa dan negara Malaysia. Ketika beliau mengangkat sumpah pada 31 Oktober 2003 yang kebetulan pada ketika itu merupakan bulan Ramadhan, ramai pihak sudah menduga kredibiliti yang ada pada Tun Abdullah. Sekalung perhargaan kepada Tun dan semoga Allah memberkati kepimpinan hampir 6 tahun Tun menerajui Malaysia.

Kepada Datuk Seri Najib, bertugaslah dan bekerjalah dengan penuh komited, ikhlas, amanah. Selarikanlah dasar yang bakal dibentuk dengan prinsip dan dasar Islam. Pertonjolkan kredibiliti pemimpin Islam yang Unggul. Kami rakyat Malaysia akan sentiasa menyokong dan membantu Datuk Seri Najib dalam membawa Malaysia ke mercu kejayaan.

Monday, March 30, 2009

Penganjuran Festival Filem Malaysia (FFM) di Universiti Malaysia Sabah perlu dikaji semula.

Sebelum mengulas isu ini, saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang telah menyumbang sesuatu yang sangat besar kepada Negara Malaysia yang tercinta. Moga-moga Allah membalas segala jasa baik YAB. Semoga YAB sentiasa dilimpahi rahmat setelah bersara daripada kerajaan.

Mengenai Festival Filem Malaysia (FFM) yang akan dianjurkan di Universiti Malaysia Sabah pada ogos 2009 nanti, saya melihat pihak kerajaan perlu menilai semula secara teliti dengan mengambil kira kehendak pelajar di UMS dan pihak lain. FFM adalah anjuran dan kelolaan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan yang mana menterinya ialah Datuk Seri Safie Apdal yang merupakan anak jati Sabah. Saya melihat beberapa faktor perlu dipertimbangkan oleh pihak kerajaan iaitu:
1. Penganjuran FFM di kampus (UMS) sedikit sebanyak telah menafikan ‘hak akademik’. Penganjuran FFM akan membawa kepada penganjuran-penganjuran aktiviti dan program-program yang berbentuk bukan akademik secara berterusan dan dalam jumlah yang lebih banyak selepas ini. Perkara ini sedikit lari daripada prinsip penubuhan pusat pengajian tinggi yang mana tujuan murninya ialah untuk mengembangkan keintelektualan secara berterusan.
2. Penganjurannya di Dewan Canselor UMS yang mana tujuan utama pembinaannya untuk konvokesyen mahasiswa akan menghilangkan aura konvokesyen tersebut. Penganjuran aktiviti atau program yang lebih besar seperti FFM di Dewan Canselor UMS akan meminimumkan kebanggaan warga UMS terhadap fungsi Dewan Canselor sebagai pusat akademik.
3. Penganjurannya nanti semestinya akan dihadiri oleh ramai artis-artis dan pelakon-pelakon popular. Ini akan menarik ramai orang luar untuk datang ke UMS. Kita khuatir mereka yang datang dan masuk ke kampus (UMS) akan membawa imej yang tidak baik dan mempengaruhi mahasiswa di UMS.

Saya tidak nafikan penganjuran FFM akan mendatangkan kebaikan kepada banyak pihak. Namun, saya menaruh harapan yang besar untuk kerajaan mengkaji semula penganjuran FFM di UMS. Sebagai rakyat Sabah, saya berbesar hati ianya dianjurkan di sini tetapi bagi saya tidak sepatutnya di UMS. Kerajaan sepatutnya mencari tempat alternatif untuk memberikan penganjuran terbaik dari sudut objektif dan keberhasilannya kelak.

Untuk pengetahuan rakan-rakan mahasiswa juga, pihak MPP akan mengadakan ’survey’ bagi mendapatkan pandangan mahasiswa UMS, pensyarah, kakitangan dan staf, dan pihak pentadbiran. Pendirian kita sebagai mahasiswa UMS akan kita terjemahkan setelah kita berjaya mengumpulkan sebanyak mungkin suara dan pendapat warga UMS dalam masa terdekat. Apa yang saya harapkan, semua pihak harus menghormati suara dan pandangan majoriti yang kita akan jadikan asas pendirian kita sebagai mahasiswa UMS

Ulasan isu “Perkhidmatan bas, kakitangan UMS kurang memuaskan”

Saya secara peribadi menganggap tindakan mendedahkan masalah dan isu yang berlaku di UMS kepada pihak luar terutamanya pihak media sebagai langkah yang kurang bijak dan kurang matang. Saya merasakan sebagaiseorang warga UMS kita harus memiliki semangat kekeluargaan yang tinggi. Kita belajar di UMS, kita perlu sayang kepada UMS. Kita perlu cinta UMS. Jangan ’buka bekum di dada’. Kita fikirkan sejenak, sanggupkah seorang ayah mendedahkan kekurangan anaknya kepada orang lain? Tidak sanggup kan. Ah! Macam tu juga lah kita. Kita jangan sekali-kali mendedahkan apa-apa kekurangan yang berlaku di UMS ni kepada pihak luar terutamanya pihak media.

Saya akui ini merupakan salah satu langkah yang boleh diambil tetapi tidak dengan mendedahkan kekurangan tapi dedahkanlah kelebihan UMS. Sepanjang pengetahuan saya, tidak pernah pelajar memuji UMS dengan menghantar artikel di akhhbar-akhbar. Ini perlu diperbetulkan. Nampak sangat kita ini terlalu mencari kekurangan daripada kelebihan. Mana silapnya. Kita perlu matang dan berubah.

Segala masalah perlulah dibawa berbincang dengan pihak-pihak tertentu. Kita masih ada Naib Canselor, TNC dan pentadbiran yang lain. Gunalah saluran ini dahulu baru kita buat sesuatu. Saya setuju jika sekiranya artikel tersebut menyebut tentang kelebihan dan kebaikan UMS dan bukannya kekurangan. Kalau ini berterusan, akan jatuhlah lagi nama UMS.

Saya juga mengambil kesempatan di sini untuk melahirkan kesedihan saya berkenaan kenyataan ’pelajar kecewa’ tersebut yang mengatakan tentang MPP. Amat tidak adil jika pelajar menilai secara tidak teliti terhadap MPP. Dekatlah dengan MPP kalau nak tahu kesengsaraan MPP. Kalau sebelum ni untuk KKIP boleh sampai 2 jam lebih menunggu bas tetapi sekarang tidak. Masa meunggu bas dapat dipendekkan. Begitu juga dengan AB, CD, E dan KF. Bukan niat MPP untuk dinilai sebegitu positif tetapi cukuplah penghargaan sedikit daripada rakan2 pelajar kepada MPP. Sudah-sudahlah menilai MPP kearah negatif. Sokonglah MPP. InsyaAllah MPP akan bekerja secara konsisten demi menjaga kebajikan pelajar.

Banyak sebenarnya perkara yang lebih besar yang dilakukan MPP berbanding isu bas. MPP telah menyediakan tabung kebaikan pelajar untuk membantu pelajar2 yang susah dan mengalami masalah kewangan yang kritikal. Saya kira saya telah melakukan ’road show’ dan bermacam-macam ’talk’ berkenaan perkara ini. Alhamdulillah, setakat ini ramai juga pelajar yang memohon.

Saya minta jasa baik rakan2 sekalian untuk melihat isu ’artikel’ tersebut sebagai isu Universiti dan bukannya isu individu, sayanglah kepada UMS. Jadilah penyumbang kepada kejayaan UMS dan bukan penyumbang kepada keburukan UMS.

Terima kasih

Tuesday, March 24, 2009

Masalah sosial mahasiswa UMS amat membimbangkan

Kali ini saya ingin membawa pemikiran mahasiswa semua kepada satu isu yang dianggap 'biasa' oleh sesetengah mahasiswa iaitu keruntuhan moral dan masalah sosial. Kita di UMS telah mula menularnya penyakit sosial yang amat menyakitkan mata seperti budaya coupling yang amat berleluasa sehingga naik motor lelaki dan perempuan bersama. Lebih2 lagi yang beragama Islam. Perbuatan ini sudah terang lagi bersuluh salahnya. Belum lagi diteliti pemakaian mahasiswa yang semakin hari semakin meniru cara barat. Ya, memang kita patut selari dengan globalisasi dan budaya semasa namun jangan pula kita terjerat. Kini mahasiswa tidak lagi malu memakai baju yang menampakkan pusat, pakaian yang terlalu ketat yang menampakkan potongan tubuh kurniaan Tuhan yang sepatutnya tidak didedahkan sewenang-wenangnya. Tidak lagi diperhatikan tulisan/lukisan/gambar pada pakaian yang tidak menggambarkan langsung ciri2 seorang mahasiswa. Tidak ramai sebenarnya mahasiswa yang sebegini namun bilangan sedikit inilah yang akan memberi kesan langsung kepada pengaruh mahasiswa keseluruhannya. Berbicara pula mengenai seluar pendek, skirt dan lain2 semua itu terpulang kepada mahasiswa yang berpendidikan tinggi. Kalau mahasiswa memikirkan panggunaan seluar pendek itu rasional dan relevan di Universiti gunalah, kalau fikir skirt yang pendek dan singkat itu tidak salah pakailah. Sekarang juga mahasiswa kita sudah ramai yang mewarnakan rambut. Isu ini mungkin sensitif namun sedarlah ianya salah.

Satu lagi isu yang mungkin sudah biasa didengari oleh kita semua iaitu isu maksiat. Ramai pihak yang memaklumkan kepada saya bahawa mahasiswa UMS sering kali 'check-in' di hotel2 di KK BERDUA. Ini amat mengecewakan kita. Ini juga merupakan satu pembawaan yang akan meghancurkan nama baik UMS. Ayuhlah mahasiswa sekalian, sedarlah kita setiap masa, jadilah mahasiswa yang berpendirian rasional dan matang. Jauhi segala budaya negatif. Sumbanglah sesuatu yang positif kepada UMS dan Malaysia.

Thursday, March 19, 2009

ANUGERAH PENSYARAH CEMERLANG (APeC SESI 2008/2009)

Kepada semua palajar UMS;

APeC masih sedang berlangsung hingga 3 April ini. Kepada pelajar yg belum mbuat pencalonan sila berbuat demikian dgn mengisi borang APeC melalui:

http://smp2.ums.edu.my/apec/

Diingatkan bhw HANYA SEORANG PENSYARAH (Tidak Termasuk Profesor Dan Pemegang Jawatan Dekan/Pengarah) boleh dicalonkan

Pensyarah yang hendak dicalonkan hendaklah yang pernah atau sedang mengajar saudara/i tidak kira samada ketika berada di Tahun 1, 2 atau sekarang termasuk pensyarah dari Sekolah lain/PPIB serta Institut

Pencalonan adalah rahsia. Kerjasama anda amat diperlukan. Terima kasih

Spotcheck

Assalamualaikum dan salam perpaduan

Saya ingin mengulas isu spotcheck mega yang dijalankan baru2 ini di Kolej Kediaman Indah Permai.

Saya secara jujurnya amat tersepit mengenai perkara ini. Sememangnya, peranan kami sebagai MPP ialah untuk memperjuangkan nasib para pelajar. Di sudut yang lain pula, kita sebagai pelajar harus akur dan patuh terhadap peraturan2 yang telah ditetapkan oleh Universiti. Ianya mudah, kita ikut apa2 yang baik kpd kita sebagai pelajar. Contohnya, memastikan rumah @ bilik dalam keadaan yang bersih dan terbaik setiap masa, memiliki lesen peralatan elektrik yang dibenarkan, memiliki stiker kenderaan dan memasuki kampus @ kolej kediaman sebelum jam 11 malam.

Mungkin ramai rakan2 yang terlupa akan perkara ini, dan saya amat mengharapkan agar para pelajar ikhlas mengikuti peraturan ini.

Namun, semua peraturan yang ditetapkan ini boleh dilepasi dengan kebenaran2 tertentu. Seperti contoh para pelajar yang terpaksa berada di kampus sehingga jam 11 malam dan terpaksa balik ke kolej (IP) selepas jam 11, perlu meminta penyelaras program untuk memohon berada diluar kampus melepasi masa 11 malam. Ini semuanya ada tujuan dan objektif yang cukup besar.

Berbalik kepada isu spotcheck, perkara ini dilakukan bukan tujuan untuk mencarikesalahan para pelajar. Jauh lebih dari itu sebenarnya, pihak terlibat (Seksyen Perumahan dan Perkhidmatan Pelajar HEP dengan kerjasama semua felo kolej2 kediaman) ingin merungkai beberapa kekusutan dan kesulitan yang dialami sendiri oleh pihak pengurusan. Contohnya, melalui spotcheck tersebut, pihak pengurusan dapat melihat sendiri proses dan gerak kerja yang melibatkan penyelenggaraan kolej kediaman yang lambat. Selain itu juga, pihak pengurusan dapat melihat kelemahan sistem jagaan keselamatan yang ada di UMS ini. Dan lebih penting dari itu, kita jelas dan tahu akan wujudnya warga luar yang menetap dengan selesanya dan 'free of cajnya' di UMS ini. Saya yakin semua pelajar tidak mahu hak kita sebagai pelajar dirampas oleh orang luar.

Melalui spotcheck tersebut juga, pihak pengurusan dapat melihat peranan dan tugas felo. Adakah mereka betul2 menjalankan tugas sebagai seorang felo. Ini sekaligus dapat membuka mata banyak pihak untuk memperbaiki diri masing2.

Walaubagaimanapun, berhubung dengan isu saman yang dikeluarkan atas beberapa sebab seperti bilik berselerak dan tidak bersih, tidak memiliki lesen elektrik, tidak menutup lampu/kipas/air paip, merokok dan lain sebagainya, sebagai seorang pelajar, kita harus mengaku kesalahan yang kita lakukan. Makanya selepas ini kita perlu lebih bersedia setiap masa.

Mengulas pula mengenai isu ketua rumah kolej IP yang juga dikenakan saman kerana tidak memiliki lesen elektrik, wujud sedikit kekeliruan di sini. Setelah berbincang dengan pengurusan, polisi keistimewaan yang diberikan kpd ketua rumah IP tidak termaktub dalam mana2 peraturan @ perlembagaan UMS seperti juga ketua2 bilik di kolej AB, CD, E. Maknanya, ketua rumah IP juga perlu memiliki lesen tersebut. Seperti yang saya nyatakan sebentar tadi, kekeliruan ini wujud disebabkan dasar pengetua IP sebelum ini yang memberikan keistimewaan2 tertentu kpd ketua rumah tanpa merujuk kpd peraturan @ perlembagaan.

Namun untuk kes tersebut kita akan dan telah berbincang untuk ketua2 rumah yang dikenakan saman tidak perlu membayar saman. Namun, mereka perlu memiliki lesen elektrik bermula semester depan dan kita akan membincangkan semula perkara ini dengan pihak pengurusan. Terima Kasih

Tuesday, March 17, 2009

Mahasiswa Menjana Keunggulan Ummah ( 20 Februari 2009M / 24 Safar 1430H – Jumaat )

اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ لَهُ مَا فِى السَّمَوَاتِ وَمَا فِى الأَرْضِ وَلَهُ الْحَمْدُ فِى الآخِرَةِ وَهُوَ الْحَكِيْمُ الْخَبِيْرُ. أَشْهَدُ أَنْ لآ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ! اِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.

Sidang Jumaat Yang Berbahagia,
Marilah sama-sama kita meningkatkan usaha untuk lebih bertakwa kepada Allah SWT kerana sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling tinggi ketaqwaannya. Bertaqwalah dengan ikhlas dengan menepati kehendak-Nya, semoga kita peroleh keberkatan hidup di dunia dan di akhirat.

Mahasiswa sememangnya dipandang tinggi oleh masyarakat keseluruhannya. Mahasiswa akan dijadikan rol-model dalam setiap tindak tanduknya. Mahasiswa akan dinilai daripada segala aspek dan ruang lingkup kehidupan. Tidak dinafikan golongan mahasiswalah yang akan menjadi penyumbang terbesar kepada kejayaan negara pada hari ini bahkan pada masa akan datang. Mimbar mengajak sidang Jumaat sekalian menghayati esei khutbah yang bertajuk “Mahasiswa Menjana Keunggulan Ummah”.

Menurut Profesor Dokter Yusof Al-Qardhawi, seorang sarjana dan pemikir Islam yang tersohor pada masa kini berkata: “Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah daripada kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita pada masa hadapan menjadi sebuah negara yang aman makmur, tetapi jika keadaan adalah sebaliknya, maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku. Berdasarkan pernyataan tersebut, kita terjemahkan belia sebagai mahasiswa dalam konteks suasana kampus. Seorang lagi pemikir dan penyair terkenal dari Mesir, Ahmad Syauqi pernah bermadah yang bermaksud:

“Sesungguhnya sesuatu bangsa itu kuat dan hebat kerana akhlaknya, jika rosak akhlak itu maka bangsa itu akan lenyap dan hilang.”

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian,
Sesungguhnya tanggungjawab besar mahasiswa pada hari ini ialah untuk menjana pembangunan ummah, negara dan Agama. Peranan mahasiswa hari ini bukan tertumpu kepada membina kerjaya di samping melakukan aktiviti-aktiviti untuk memenuhi masa lapang sahaja tetapi sepatutnya turut menyumbang kearah membangun modal insan supaya menjadi satu bangsa yang dihormati dan disegani dipersada dunia. Ianya boleh diterjemahkan dengan penglibatan mahasiswa didalam aktiviti-aktiviti berbentuk akademik dan kemahasiswaan yang berkualiti yang dilihat mampu menjana pemikiran mantap dikalangan mahasiswa.

Dalam usaha meningkatkan intergriti dan kehormatan Islam serta umatnya, maka mahasiswa haruslah bersiap sedia untuk menjadi penggerak utama dalam memacu ummah dan memimpin tamadun dunia selaras dengan tuntutan Islam yang menjadikan umat Islam sebagai umat terbaik yang diciptakan oleh Allah SWT.

Sidang Jumaat Yang Dihormati Sekalian,
Peranan dan sumbangan generasi muda Islam yang membina tamadun Islam memang hebat. Dalam sejarah perkembangan Islam, sejak ia mula bertapak di Mekah sehingga berkembang ke Madinah, golongan muda seperti Saidina Ali Karamallah Wajhah, Saidina Osman Ibni Affan, Abdul Rahman bin Auf, Ibni Zubair, Ibni Abbas dan ramai lagi para sahabat yang menjadi pelopor kepada suatu kebangkitan dan menjadi penggerak kepada arus perdana perubahan masyarakat. Mereka selaku sahabat Rasulullah SAW sentiasa berjuang dan berjihad dalam menegakkan ajaran Allah di muka bumi ini.

Sejarah juga pernah menyaksikan ketangkasan Usamah bin Ziad yang ketika itu berusia lapan belas tahun memimpin satu bala tentera untuk menyerang kerajaan Rom. begitu juga dengan kehebatan Muhammad al-Fateh membuka Kota Istanbul (Konstantinopal) ketika usia beliau 21 tahun.

Peranan golongan muda juga telah disebut di dalam al-Quran di mana kisah Ashabul Kahfi dijadikan contoh sebagai golongan muda yang bersikap berani mempertahankan akidah daripada seorang raja yang zalim. Firman Allah SWT di dalam surah al-Kahfi ayat 13 hingga 14:


Maksudnya: “Kami ceritakan kepadamu (Wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain daripada-Nya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.”

Berdasarkan ayat tadi, mahasiswa perlu mencontohi akhlak, prinsip dan kredibiliti yang dimiliki oleh generasi muda Islam yang lalu didalam menjana keunggulan diri dan ummah keseluruhannya.


Sidang Jumaat Yang Dikasihani Allah Sekalian,
Dalam arus kemodenan dan kemajuan dunia global pada masa ini, mahasiswa menghadapi cabaran yang sangat hebat. Mahasiswa bukan sahaja terdedah kepada masalah penyalahgunaan dadah yang semakin meruncing, tetapi mahasiswa juga semakin diresapi dengan budaya Hedonisme iaitu suka berfoya-foya dan berhibur dengan keterlaluan, terjebak dengan amalan seks bebas, ketagih rokok, berjudi, meminum arak, dan terdedah kepada bahan-bahan lucah serta banyak lagi masalah sosial yang cukup membimbangkan.

Persoalan besar timbul ialah apakah golongan mahasiswa yang mengamalkan gaya hidup tidak sihat, mampu untuk memikul amanah mengurus, mentadbir Agama dan dapat mempertahankan serta menjamin kedaulatan Negara? justeru itu marilah kita terutama ibu bapa dan golongan belia yang bergelar mahasiswa sekalian sama-sama berganding bahu dan bekerjasama untuk membina anak bangsa kita dengan acuan dan cara hidup sihat yang berteraskan ajaran Islam yang suci ini. Ini selaras dengan Firman Allah SWT di dalam surah at-Tahrim ayat 6:

Maksudnya: “Wahai orang-orang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka.”

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian,
Di malaysia, kita mempunyai ramai belia yang bergelar mahasiswa yang amat diyakini mempunyai pelbagai kebolehan dan kepakaran yang baik. Oleh yang demikian mimbar pada hari ini mengajak para mahasiswa Muslim supaya bangkit menjadi penyeru kepada kebaikan iaitu menjadikan gaya hidup sihat yang berteraskan Islam sebagai satu cara hidup. Kita juga perlu mencegah, menghalang dan menghindarkan diri daripada melakukan kemungkaran yang bertentangan dengan syariat Islam.

Dalam usaha mencapai matlamat mahasiswa unggul sebagai cermin masa hadapan negara, maka kita perlu meletakkan diri kita sebagai pencetus, penggerak, penjana dan pembina tamadun Islam yang unggul, dihormati dan disegani oleh masyarakat dunia. Sekiranya mahasiswa mengambil inisiatif untuk melakukan perubahan kearah kebaikan maka akan lahirlah generasi cemerlang dan negara terbilang yang akan menaikkan martabat Agama dan kedaulatan negara di tahap yang tertinggi dan terbaik.

(Surah Ali-Imran ayat : 104)

Bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِيْ وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّيْ وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ, أَقُولُ قَوْلِي هذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ، وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.