Tuesday, March 10, 2009

PPSMI.

Isu PPSMI semakin bertambah ’panas’ sekarang. Rakyat Malaysia sudah mula memperlihatkan pendirian masing-masing setelah pelaksanaannya melangkaui usia 6 tahun. Tunjuk perasaan baru-baru ini telah memberi ’signal’ kepada kerajaan betapa seriusnya rakyat mempersembahkan idea mereka masing-masing. Saya masih ingat dan tertarik dengan hasil yang diperolehi daripada Persidangan Meja Bulat PPSMI yang diadakan tidak lama yang lalu yang merumuskan 7 pilihan untuk dipertimbangkan kerajaan mengenai masa depan PPSMI. 7 pilihan yang diberikan mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Pihak kerajaan perlu membuat keputusan yang tepat berkenaan hal ini yang sebenarnya amat penting bagi memantapkan sistem pendidikan negara pada masa akan datang. Kerajaan perlu mengenepikan faktor politik dengan melihat perkara ini secara neutral demi kebaikan semua. Jika dilihat kepada senario yang berlaku di sekolah-sekolah bandar dan luar bandar sekarang, kita akan mendapati terdapat perbezaan besar mengenai tahap penguasaan Bahasa Inggeris. Sudah sememangnya penguasaan Bahasa Inggeris dikalangan murid-murid sekolah di bandar adalah baik berbanding dengan luar bandar. Kita juga mengetahui subjek Sains dan Matematik bukanlah subjek kesukaan sebilangan besar murid. Sudah pasti, apabila dijumlahkan bilangan murid yang lemah matapelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris, angkanya adalah besar. Kebanyakan murid pun, jika Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Melayu, mereka masih sukar untuk menguasainya.
Persoalan yang timbul mengenai PPSMI ini ialah adakah murid-murid akan menguasai kedua-dua subjek Sains dan Matematik yang diajar dalam Bahasa Inggeris atau murid-murid hanya sekadar menumpang untuk belajar Bahasa Inggeris dalam kedua-dua subjek ini. Inilah sebenarnya implikasi yang timbul berkenaan PPSMI. Kesan dan hasil pengajaran bagi subjek Sains dan Matematik tidak tertumpu kerana murid-murid akan cuba memfokuskan terhadap penguasaan Bahasa Inggeris terlebih dahulu. Ini akan mendatangkan kesan tidak baik dalam jangka masa panjang kepada sistem pendidikan negara. Kita lihat sahaja murid-murid di luar bandar yang mana tahap penguasaan subjek Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik mereka adalah lemah. Jika subjek ini diajar bersama, sudah tentulah golongan murid seperti ini akan jauh ketinggalan. Walaubagaimanapun, kita tidak boleh menolak secara total kepentingan Bahasa Inggeris pada zaman ini. Penguasaan terhadapnya amat penting terutamanya dalam sektor ekonomi dan perdagangan. Namun, jangan pula kepentingan Bahasa Inggeris mengatasi kepentingan yang lain yang lebih penting lagi.
Sebagai cadangan:
1) Subjek Sains dan Matematik perlu diajar dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Ibunda di sekolah rendah dan dua alternatif pilihan di sekolah menengah (tingkatan 1-5) iaitu menggunakan dwibahasa dalam pengajaran Sains dan Matematik ATAU terpulang kepada sekolah untuk menentukannya(bergantung kepada keupayaan keseluruhan murid) DAN mewajibkan PPSMI di peringkat pra universiti.
2) PPSMI perlu diteruskan di Sekolah Bandar yang mempunyai pencapaian akademik yang cemerlang dan memansuhkan PPSMI di Sekolah Luar Bandar yang mempunyai pencapaian akademik yang tidak baik

Namun Kerajaan di bawah Kementerian Pelajaran perlu meneliti sebaiknya potensi setiap sekolah dan kelayakan untuk diteruskan PPSMI di sekolah-sekolah tertentu
Ini dapat mewujudkan kelangsungan pembelajaran bagi subjek Sains dan Matematik dengan mempertingkatkan penguasaan terhadap kedua-dua subjek ini dan dapat diselarikan dengan kepentingan dan penguasaan Bahasa Inggeris tanpa meminggirkan Bahasa Melayu.



AZRUL BIN IBRAHIM
Presiden
Majlis Perwakilan Pelajar
Universiti Malaysia Sabah

4 comments:

Nemo said...

ya ya... maw jugak dorang tu.. kekecohan pun mlampau batas suda.. aih.. pa maw jadi..

Anonymous said...

saya tutor..hal ini sangat penting dan saya sangat mengambil berat,terutamanya murid2 yg saya ajar..

Anonymous said...

Betul tu..ada yg berpendapat kuta sush sikit nak maju n capai kejayaan if ape yg kte blaja tu bukan dalam bhs ibunda..
lihat sejarah balik..kebanyakan sintis2 dulukala yg berjaya bukanlah bangsa iggeris..
bayangkan kalo ibnu sina hidup di zaman ini,di malaysia...adkah dia kan berjaya kalo sume subjek dia kene blaja dlan bhs melayu yg bukan bhs ibundanya???
kite akn lebih fham sesuatu perkara jika di ajar dalam bhs yg kite fham...n kite juga akn mudah tuk kuasai subjek tersebut...

Anonymous said...

tak adil jika terdapatnya cara pengajaran terhadap pelajar bandar dan luar bandar. kita tak mau melihat terdapatnya jurang antara pelajar dari kalangan bandar dan luar bandar ini. kalo sekolah bandar terus dengan BI dalam pengajaran Sains dan Math, mereka akan terus maju, dan begitu juga sebaliknya jika sekolah luar bandar pula terus dengan BM. kalo diteruskan begini, maka x lama lagi penuhla penganggur di luar bandar apabila keutamaan berpihak pada pelajar bandar yg terer2 BI ni.. kita semua perlukan keadilan, bukan memberi ccara yang berbeza. jika sekiranya pelajar luar bandar diajar dalam BM, maka pelajar bandar juga perlu demikian. biar kita jadi seperti Korea, walaupun tak mengambil berat terhadap BI tapi boleh maju dgn bahasa ibunda sendiri.. kita tidak mahu melihat terdapat jurang yang besar antara kelompok pelajar bandar dgn luar bandar sehingga masyarakt luar bandar terpinggir. berikan keadilan dlm setiap pelaksanaan tersebut.