Friday, January 30, 2009

AKTA UNIVERSITI DAN KOLEJ UNIVERSITI 1971 (PINDAAN 2008)

PINDAAN PERKARA 15.

(1) Seseorang pelajar Universiti boleh menjadi ahli mana-mana persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan orang, sama ada atau tidak ia ditubuhkan di bawah manamana undang-undang bertulis, sama ada ia di dalam atau di luar Universiti, dan sama ada ia di dalam atau di luar Malaysia, selain—
(a) mana-mana parti politik, sama ada di dalam atau di luar Malaysia;
(b) mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang menyalahi undang-undang, sama ada di dalam atau di luar Malaysia; atau
(c) mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang telah ditetapkan oleh Menteri, selepas berunding dengan Lembaga, secara bertulis kepada Naib Canselor sebagai tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan pelajar atau Universiti itu.

(2) Suatu pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar Universiti yang ditubuhkan oleh, di bawah atau mengikut Perlembagaan boleh mempunyai apa-apa penggabungan, persekutuan atau urusan lain dengan mana-mana persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan orang, sama ada atau tidak ia ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis, sama ada ia di dalam atau di luar Universiti, dan sama ada ia di dalam atau di luar Malaysia, selain—
(a) mana-mana parti politik, sama ada di dalam atau di luar Malaysia;
(b) mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang menyalahi undang-undang, sama ada di dalam atau di luar Malaysia; atau
(c) mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang telah ditetapkan oleh Menteri, selepas berunding dengan Lembaga, secara bertulis kepada Naib
Canselor sebagai tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan pelajar atau Universiti itu.

(4) Naib Canselor boleh, atas permohonan seseorang pelajar Universiti, mengecualikan pelajar itu daripada peruntukan perenggan (1)(a), tertakluk kepada apa-apa terma dan syarat yang difikirkannya patut.

(5) Tiada seorang pun pelajar Universiti dan tiada pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar Universiti yang ditubuhkan oleh, di bawah atau mengikut Perlembagaan, boleh menyatakan atau melakukan apa-apa jua yang boleh semunasabahnya ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan kepada atau simpati dengan atau bangkangan terhadap—
(a) mana-mana parti politik, sama ada di dalam atau di luar Malaysia;
(b) mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang menyalahi undang-undang, sama ada di dalam atau di luar Malaysia; atau
(c) mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang ditetapkan oleh Menteri di bawah perenggan (1)(c) dan (2)(c) sebagai tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan pelajar atau Universiti itu.

(6) Walau apa pun subseksyen (5), seseorang pelajar Universiti tidak boleh dihalang daripada—
(a) membuat pernyataan mengenai sesuatu perkara akademik yang berhubungan dengan perkara yang pelajar itu terlibat dalam pengajian atau
penyelidikannya; atau
(b) menyatakan sendiri mengenai perkara yang disebut dalam perenggan (a) pada sesuatu seminar, simposium atau majlis seumpamanya yang tidak dianjurkan
atau ditaja oleh mana-mana parti politik, sama ada di dalam atau di luar Malaysia, mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang menyalahi undang-undang, sama ada di dalam atau di luar Malaysia, atau mana-mana pertubuhan, badan
atau kumpulan orang yang ditetapkan oleh Menteridi bawah perenggan (1)(c) dan (2)(c) sebagai tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan pelajar atau Universiti itu.

- mahasiswa UMS perlu tahu adanya AUKU yang menjadi garis panduan hidup di universiti ini -

Tuesday, January 27, 2009

HASIL YANG INGIN DICAPAI OLEH MPP (PMUMS) SEPANJANG SETAHUN SESI PEMERINTAHAN 2008/2009 (REVOLUSI)

01 Penganjuran sebarang program/aktiviti yang lebih terbuka penyertaannya dan keahliannya dengan bermatlamatkan lebih 80% pelajar UMS turut serta secara langsung di dalam sebarang bentuk program/aktiviti. Ini akan memberi peluang kepada para pelajar yang tidak berkesempatan untuk mengikuti sebarang program sebelum ini untuk turut serta mencari pengalaman daripada sesuatu program.

02 Masa menunggu bas dapat diminimumkan:
- Kolej AB dan CD = maksimum masa menunggu ialah 20 minit
- Kolej E = maksimum masa menunggu ialah 15 minit
- Kolej IP dan KF = maksimum masa menunggu ialah 40 minit

03 Kesedaran yang tinggi mengenai sebarang kes seperti culik, rogol, bunuh dan masalah disiplin dan sosial yang mana kesedaran dan nilai setiap mahasiswa perlu dipertingkatkan bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

04 Pelaksanaan pemakaian di kalangan mahasiswa yang lebih sopan, melambangkan keunggulan seorang mahasiswa yang tidak terpengaruh dengan peredaran zaman di samping mengikuti peraturan berpakaian yang ditetapkan oleh UMS.

05 Kesedaran pelajar terhadap AUKU 1971 yang menjadi garis panduan menjadi seorang mahasiswa di Universiti.

06 Kesedaran yang tinggi dikalangan mahasiswa terhadap penggunaan air dan elektrik dengan tidak membazir sekaligus dapat mengurangkan kadar bayaran bil air dan elektrik. Dengan pengurangan tersebut, mahasiswa secara langsung mendapat manfaat dengan peruntukan aktiviti pelajar yang lebih tinggi yang diambil daripada penurunan kos bil-bil tersebut.

07 Mewujudkan suasana hidup yang ceria dan harmoni di dalam kampus dengan penerapan sistem nilai dan hidup yang lebih baik dengan pelaksanaan KEMPEN 3S(senyum,sapa,salam)

08 Kesedaran dan peningkatan etika perpaduan di kalangan pelajar UMS dengan memfokuskan program-program atau tindakan dari akar umbi. Sebagai contoh, pengasingan tempat duduk pelajar di dalam kuliah.

Monday, January 26, 2009

PENGANJURAN RIHANNA LIVE IN KL – KEPUTUSAN KURANG TEPAT

Pada 13 Februari 2009 akan datang, satu konsert RIHANA LIVE IN KL akan diadakan. Konsert tersebut telah mendapat lampu hijau daripada Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Konsert yang dianjurkan oleh Pineapple Concert Sdn Bhd ini dilihat akan mampu menarik ramai peminat untuk menyaksikan sendiri kehebatan penyanyi tersebut.
Saya melihat keputusan kerajaan memberikan lampu hijau untuk penganjuran konsert ini sebagai sesuatu yang kurang tepat. Walaupun pihak penganjur memberikan keyakinan mengenai tatasusila penganjuran seperti syarat pemakaian dan sebagainya, kita masih khuatir akan banyak perkara negatif akan timbul. Misalannya, pergaulan anak muda yang menonton akan menimbulkan masalah sosial ditempat penganjuran. Kita juga khuatir akan banyak botol-botol minuman keras bertempiaran selepas tamat konsert.
Saya juga melihat penganjuran konsert ini akan menarik ramai anak muda untuk datang menyaksikannya. Belum lagi dikira peminat-peminat daripada negara luar Malaysia yang tidak akan melepaskan peluang kehadiran Rihanna ke Malaysia. Sudah pasti kehadiran pelbagai penonton ini akan menyukarkan kawalan terhadap penonton yang akan menyaksikan konsert ini kelak.
Mungkin sebagai alternatif bagi menghalang perkara-perkara negatif daripada berlaku, pihak penganjur perlu melakukan perkara-perkara ini:
1. Mengadakan konsert di tempat yang tertutup(dewan tertutup)
2. Memberikan syarat pemakaian kepada penonton yang hadir(pakaian formal dan profesional)
3. Melarang keras sebarang minuman keras dibawa masuk ketika konsert
Kita mengharapkan agar konsert ini akan berjalan baik tanpa berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini.

Friday, January 16, 2009

MPP berpendirian teguh tidak melakukan Perhimpunan Aman @ Demonstrasi

Saya ingin memberikan respon kepada perhimpunan yang diadakan selepas solat Jumaat tadi. Terkejut juga saya kerana perhimpunan tersebut tidak dimaklumkan kepada MPP terlebih dahulu. Saya kesal kerana ianya seolah-olah membelakangkan MPP dan saya sebagai Presiden.

Segala aktiviti yang dijalankan di kampus UMS perlulah sekurang-kurangnya dimaklumkan kepada saya dan MPP.

Saya menasihati seluruh mahasiswa UMS berhati-hati untuk turut serta dalam sebarang bentuk aktiviti yang dijalankan secara mendadak tanpa pengetahuan MPP.

Saya menyeru seluruh Mahasiswa UMS terus menyokong kempen kemanusiaan Palestin yang sedang dijalankan.

Tuesday, January 13, 2009

2 bulan 17 hari yang penuh cabaran

Rakan-rakan mahasiswa yang dihormati,

Hari ini genaplah 2 bulan 17 hari MPP sesi 2008/2009 menerajui Persatuan Mahasiswa UMS. Masa 2 bulan 17 hari ini sememangnya satu tempoh yang agak mencabar. Hanya tinggal 9 bulan lagi untuk MPP sesi 2008/2009 untuk menonjolkan pengaruh baru dikalangan mahasiswa UMS itu sendiri. Kita mempunyai matlamat murni untuk mengembalikan kepercayaan mahasiswa kepada MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR demi memartabatkan pengaruh baru mahasiswa UMS.

Sedar tidak sedar, banyak perkara yang berlaku sepanjang tempoh kami menerajui MPP. Apabila buka sahaja semester 2 sesi 2008/2009, banyak masalah yang berlaku. Pendaftaran online yang sangat teruk masalahnya yang mengakibatkan PTPTN mahasiswa UMS bermasalah. Terdapat lebih 1600 pelajar yang mempunyai masalah PTPTN. Ini adalah disebabkan masalah sistem yang tidak dapat mengawal kapasiti 15000 pelajar UMS. Melihat masalah pendaftaran online yang menyebabkan masalah yang lain akan timbul, pihak MPP telah berjumpa TNC Akademik untuk menyuarakan masalah ini disamping memberikan cadangan untuk menyelesaikannya. Kita sedar, masalah ini dialami oleh seluruh Universiti namun ianya cuba kita minimumkan di UMS. Hasil pertemuan, kita mencapai beberapa perkara:

- mempercepatkan pengesahan status pelajar kepada PTPTN
- menambahbaik sistem pendaftaran pada masa akan datang dengan memantapkan pengisian sistem
- memastikan masalah status TL tidak berulang pada semester akan datang

Kami juga telah menghubungi pihak PTPTN melalui pegawainya Cik Umi Kalsom(0133562606) dan beberapa perkara telah disepakati:

- Pihak UMS masih tidak menghantar 186 pengesahan pelajar berstatus TL berbanding sebelum ini sebanyak lebih 1600 orang
- wang PTPTN akan disalurkan kepada akaun pelajar bermula 22 Januari 2009 sehingga hujung bulan Januari ini

Kami meminta jasa baik rakan2 mahasiswa untuk terus berhubungan dengan MPP untuk kami mendapatkan maklumat berkenaan masalah PTPTN dan lain2 lagi

Suka saya war-warkan di sini, kejayaan dan hasil yang dilakukan oleh MPP 2008/2009. Sekadar info untuk rakan-rakan tanpa niat yang lain:

- Pintu pagar kecil IP dibuka sehingga jam 9 malam
- Penghantaran dan pengambilan pelajar daripada Airport dan Bastop Inanam

MPP akan terus dan terus berusaha untuk mencapai target dan merealisasikan impian dan hasil yang ingin dicapai sepanjang sesi 2008/2009. Kepada para mahasiswa, sokongan padu daripada anda amat kami harapkan. Tampillah sebagai mahasiswa yang beralternatif dalam menyumbang kepada pembangunan Universiti.

Sunday, January 11, 2009

Misi Kemanusiaan Palestin-UMS

Pihak Majlis Perwakilan Pelajar dalam usaha mengadakan Misi Kemanusiaan Palestin. Antara perkara yang dilakukan ialah;
1) Tabung Kemanusiaan Palestin
2) Tandatangan memorandum - kertas
3) Tandatangan memorandum - kain rentang

Perkara di atas akan dipanjangkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Luar Negeri.

Kami mengharapkan sokongan dan kerjasama seluruh mahasiswa UMS untuk kita tunjukkan sedikit usaha bagi membantah tindakan kejam rejim Israel ini. Kami dalam usaha untuk mengumpulkan sebanyak mungkin tandatangan daripada seluruh warga UMS termasuk pelajar dan pensyarah. Sama-sama kita menyokong usaha murni ini dalam kita menyatakan kemarahan terhadap isu ini.

Saya menasihati agar seluruh mahasiswa UMS tidak terlibat dengan sebarang demonstrasi


Sekian, terima kasih.



MAHASISWA MENJANA KEUNGGULAN UMMAH

Thursday, January 8, 2009

Mahasiswa dibenar sertai demonstrasi kutuk Israel

KUALA LUMPUR 8 Jan. - Pelajar universiti di negara ini dibenar menyertai mana-mana demontrasi membantah tindakan kejam Israel menyerang Palestin manakala pihak universiti pula boleh menganjurkan demontrasi bantahan itu, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Katanya kementerian tidak mempunyai sebarang halangan kepada pelajar dan universiti untuk membuat bantahan seperti itu berikutan pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang diluluskan Parlimen bulan lepas, yang membenarkan pelajar bersekutu dengan atau menjadi anggota sesuatu pertubuhan, persatuan atau organisasi sama ada dalam atau luar negara.

“Pindaan kepada AUKU membenarkan pelajar untuk bergiat dalam aktiviti-aktiviti sebegini rupa, maka tidak ada halangan untuk mereka menyatakan sikap dan pendirian menyertai usaha yang dilakukan.

“Saya percaya dengan kematangan pelajar dan mereka boleh menggunakan kebijaksanaan sendiri (untuk menentukan pendirian mereka),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ’Malaysia Future Leadership’ anjuran CIMB Group and The Wall Street Journal Asia di Universiti Malaya di sini hari ini. - BERNAMA


(RESPON)

Saya melihat perkara ini perlu dilihat daripada perspektif yang lebih luas. Mengapa mahasiswa dibenarkan turut serta berdemonstrasi? Apa rasionalnya?

Saya memikirkan saranan Menteri Pengajian Tinggi ini hanya akan membawa kepada 'kecairan AUKU 1971 pindaan 2008' itu sendiri. Mungkin selepas ini akan lebih banyak PERMINTAAN yang lebih2 daripada pelbagai pihak. Ini juga sebenarnya memperlihatkan AUKU 1971 ini boleh berubah aplikasinya. Akta ini perlu teguh berdiri. Kita khuatir ianya akan dimanipulasikan oelh pihak-pihak tertentu demi kepentingan masing-masing. Kita masih melihat AUKU 1971 relevan dalam menjaga perpaduan dan keharmonian hidup di kampus terutamanya pengaplikasiannya di UMS.

Saya masih tetap pendirian untuk menasihati rakan-rakan agar tidak turut serta di dalam sebarang bentuk demonstrasi