Tuesday, May 19, 2009

Kertas Kerja MPP UMS sempena Konvensyen MPP Kebangsaan

Kertas kerja ini menerangkan berkenaan situasi sebenar pendidikan di Sabah yang memfokus kepada pendidikan luar bandar Sabah. Kebanyakan sumber diperolehi daripada Pusat Pendidikan Luar Bandar dan SPPS. Harapan besar saya, bakal guru akan mampu menterjemahkan masalah dan situasi ini dengan pengorbanan suci dan murni sebagai pendidik tanpa mengira pelbagai masalah.

PEMERKASAAN MUTU DAN KUALITI PENDIDIKAN SEKOLAH-SEKOLAH LUAR BANDAR, NEGERI SABAH


DISEDIAKAN OLEH:
1) AZRUL BIN IBRAHIM - PRESIDEN MPP UMS
(pres@mpp.ums.edu.my)
2) HAFIZA SYAFIKA BINTI MOHD FEKERI – SETIAUSAHA AGUNG MPP UMS
(sec1@mpp.ums.edu.my)



INSTITUSI :
MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR SESI 2008/ 2009
UNIVERSITI MALAYSIA SABAH



ABSTRAK


Kertas kerja ini bertujuan membincangkan cabaran yang dihadapi dan langkah-langkah ke arah pemerkasaan mutu dan kualiti pendidikan sekolah-sekolah luar bandar di negeri Sabah. Penentuan kategori luar bandar dibuat berdasarkan kedudukan geografi dan kawasan pembangunan atau perbandaran Negeri Sabah yang mana ia terbahagi kepada empat kategori iaitu Pulau, Pesisir laut dan sungai, Pergunungan dan Pedalaman Dalam. Dapatan kajian menunjukkan, sehingga Januari 2008 terdapat 1,271 buah sekolah di negeri Sabah. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,002 buah daripadanya merupakan sekolah luar bandar masing-masing 882 sekolah rendah dan 120 sekolah menengah. Sejumlah 497 buah sekolah dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM). Berdasarkan penyelidikan dan tinjauan Pusat Kajian Pendidikan Luar Bandar (PKPLB), terdapat beberapa cabaran yang dihadapi oleh sekolah-sekolah luar Bandar yang merangkumi aspek profesionalisme guru dan pengurusan sekolah, penempatan guru terlatih, infrastruktur dan kemudahan asas sekolah, dan tahap literasi dan kemiskinan dalam kalangan murid luar bandar juga dilihat sebagai faktor penyumbang permasalahan pendidikan di luar bandar. Diharapkan perbincangan yang dijalankan ini dapat memberikan manfaat kepada semua pihak dalam usaha memperkasakan mutu dan kualiti pendidikan sekolah-sekolah luar bandar, Negeri Sabah.


1.0 PENDAHULUAN

Falsafah Pendidikan Negara telah menggariskan bahawa pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi jasmani, emosi, dan rohani berlandaskan kepercayaan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Sistem pendidikan yang berkualiti dilihat mampu meningkatkan taraf hidup dan kualiti masyarakat serta membentuk modal insan minda kelas pertama yang boleh bersaing di persada antarabangsa.

Berdasarkan strategi perlaksanaan yang ke tujuh dalam Dasar Pendidikan Negara, kerajaan berhasrat untuk mendemokrasikan pendidikan dari segi peluang dan mutu dengan mengagihkan peruntukan secara adil dan memberi perhatian khas kepada kumpulan yang kurang bernasib baik, kawasan luar bandar atau pedalaman. Sehubungan dengan itu, kertas kerja ini akan membincangkan tiga kata kunci utama iaitu realiti, cabaran dan langkah pemerkasaan dengan memberi fokus kepada pendidikan sekolah luar bandar di Sabah. Kawasan- kawasan luar Bandar di Sabah dibahagikan kepada empat ketegori iaitu Pulau, Pesisir laut dan sungai, Pergunungan, Pedalaman Dalam. Penentuan kategori luar bandar dibuat berdasarkan kedudukan geografi dan kawasan pembangunan atau perbandaran negeri Sabah berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Sabah (JPNS) bagi tahun 2007.

Sehingga Januari 2008 terdapat sebanyak 1,271 buah sekolah di negeri Sabah. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,002 buah daripadanya merupakan sekolah luar bandar masing-masing 882 sekolah rendah dan 120 sekolah menengah. Sejumlah 497 buah sekolah dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM). Diperingkat sekolah rendah, terdapat 11,274 kelas beroperasi menampung seramai 290,927 orang murid manakala, diperingkat menengah seramai 193,539 orang pelajar ditempatkan di 5,837 buah kelas. Seramai 21,864 orang guru dan 2,970 orang kakitangan sokongan bertugas di sekolah rendah seluruh Sabah. Di peringkat sekolah menengah, operasinya dijayakan oleh seramai 12,869 guru dan 2,190 kakitangan bukan akademik. Berdasarkan perangkaan tersebut, dapat disimpulkan bahawa nisbah guru kepada murid di Sabah ialah 1:13 diperingkat sekolah rendah dan 1:15 di peringkat sekolah menengah (KPM, 2008).

2.0 ISU DAN PERMASALAHAN

2.1. PROFESIONALISME GURU DAN PENGURUSAN SEKOLAH

Berdasarkan maklumat daripada Pusat Kajian Pendidikan Luar Bandar (PKPLB) terhadap 12 sekolah rendah luar bandar (2 buah sekolah di kawasan pulau, sebuah di kawasan pesisir, sebuah di kawasan pergunungan, 7 buah sekolah di kawasan pedalaman dalam dan sebuah sekolah terpinggir) 100% guru besar sekolah terbabit hanya memiliki kelulusan akademik peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan majoritinya dilantik berdasarkan pengalaman mengajar antara 5 hingga 24 tahun dengan pengalaman pentadbiran antara 2 hingga 17 tahun. Bilangan guru yang berkhidmat di sekolah tersebut ialah antara 4 hingga 28 orang guru. Jumlah tersebut dianggap sudah mencukupi bagi menampung beban tugas pengajaran guru di sekolah terbabit. Walau bagaimanapun, aspek kompetensi guru di sekolah luar bandar masih menjadi isu pokok memandangkan daripada seramai 183 orang guru yang bertugas di 12 sekolah terabit, hanya 17% guru memiliki ijazah sarjana muda, 30% guru lulusan diploma dan 13% orang guru lulusan STPM manakala selebihnya iaitu 40% orang guru hanya memiliki kelulusan SPM atau lebih rendah. Selain itu, peratusan guru yang mengajar di luar bidang atau kemampuan juga masih tinggi iaitu antara 32% hingga 91%.
Dari segi kakitangan sokongan, 66.6% sekolah memiliki seorang kerani manakala selebihnya memiliki dua orang kerani. Lokasi sekolah yang jauh, berisiko tinggi, ketiadaan alat perhubungan seperti telefon dan faks serta ketidaksampaian penghantaran surat terus ke sekolah menyebabkan sebilangan besar kerani sekolah terpaksa bertugas di pejabat pelajaran daerah atau gabungan terdekat bagi memudahkan pengurusan berkaitan penyampaian maklumat dan pentadbiran termasuk gaji kakitangan. Kaedah tersebut merupakan langkah penyelesaian terbaik bagi mengelakkan sekolah di kawasan luar bandar terpinggir dari sebarang maklumat seperti pekeliling, aktiviti dan arahan yang dikeluarkan oleh pihak atasan. Pada masa sama, langkah tersebut juga menimbulkan pelbagai masalah termasuk aduan beberapa guru besar tentang kelewatan maklumat dan kegagalan kerani untuk melaporkan diri apabila diperlukan contohnya semasa mesyuarat dan aktiviti yang dilaksanakan di premis sekolah luar bandar.

2.2 INFRASTRUKTUR DAN KEMUDAHAN ASAS SEKOLAH

Secara keseluruhan, Sabah masih ketinggalan dalam aspek pendidikan khususnya di kawasan luar bandar. Daripada sejumlah 1,064 sekolah rendah di negeri Sabah, 497 buah masing-masing 465 Sekolah Kebangsaan, 30 Sekolah Jenis Kebangsaan dan 2 Sekolah Kebangsaan khas merupakan Sekolah Kurang Murid (SKM). Usaha membangunkan pendidikan Sabah khususnya di kawasan luar bandar memerlukan peruntukan sebanyak RM83 bilion. Walau bagaimanapun, di bawah Rancangan Malaysia Ke Sembilan, hanya RM3.43 bilion telah diluluskan bagi Kementerian Pelajaran Malaysia untuk melaksanakan 3,904 projek. Walaupun perkembangan semasa di sekolah luar bandar amat menggalakkan, keperluan semasa sistem pendidikan kebangsaan menyebabkan masih terdapat jurang ketara di antara sekolah bandar dan luar bandar. Berdasarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) masih banyak cabaran yang perlu diatasi. Tinjauan awal di sekolah berkenaan jelas membuktikan keperluan mendesak dari segi pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas sekolah.

Dapatan kajian menunjukkan masih terdapat sekolah yang tidak dilengkapi kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air bersih. Sejumlah 91.7% sekolah tidak dilengkapi bekalan elektrik 24 jam dan tiada asrama pelajar. Sebanyak 6 buah sekolah menggunakan generator manakala, 4 buah sekolah menggunakan solar hibrid manakala sebuah sekolah tidak memiliki bekalan elektrik. Bekalan air bersih di sekolah terlibat agak memuaskan dari segi peratusannya, tetapi sumber bekalan masih diragui memandangkan masih terdapat 3 buah sekolah yang bergantung sepenuhnya kepada tadahan tangki manakala 2 buah sekolah memperoleh bekalan air graviti yang diusahakan oleh penduduk tempatan.

Masalah penyampaian maklumat masih sukar diatasi kerana 83.3% sekolah tidak mempunyai mesin faksimili 75 % tiada telefon. Isu rumah guru meskipun agak rendah masih dipersoal dari segi penyelenggaraan dan kualiti bahan binaan dengan rumah guru di 4 buah sekolah memerlukan penyelenggaraan segera. Penyediaan kemudahan kantin sekolah juga masih di tahap sederhana. Hanya 6 buah sekolah memiliki kantin sekolah tetapi empat darinya dalam keadaan uzur atau diusahakan secara tidak sah. Masalah ketiadaan pondok keselamatan (41.7%) masih perlu tindakan segera bagi meningkatkan tahap keselamatan sekolah sekali gus mewujudkan iklim pengajaran dan pembelajaran yang lebih kondusif.

Pembinaan lebih banyak blok kelas juga agak mendesak. Pengenalan pelbagai mata pelajaran baru bagi memperluas literasi komputer, pengajaran dan pembelajaran berbantu komputer dan memupuk insan celik IT dan komputer, masih sukar untuk direalisasikan oleh sekolah luar bandar. Daripada 12 buah sekolah yang dilawati PKPLB, 66.7% sekolah tidak memiliki makmal komputer dan makmal sains malah, struktur dan kelengkapan bilik sains di 2 buah sekolah amat uzur dan tidak boleh digunakan. Pemantauan terhadap penggunaan alat bantu mengajar (ABM) khususnya peralatan elektrik perlu dipergiat. Tinjauan mendapati ada sekolah yang tidak menggunakan ABM tersebut walaupun telah dibekalkan dua tahun sebelum tinjauan atas alasan ketiadaan guru mahir ICT dan sebagainya. Kebanyakkan peralatan tersebut hanya disimpan distor peralatan sekolah. Senario ini jelas menjadi satu pembaziran besar wang negara dan merupakan salah satu penyebab keciciran murid luar bandar dari segi pendidikan Sains dan ICT.

2.3 PENEMPATAN GURU TERLATIH

Mengikut laporan perangkaan dalam EMIS sehingga 31 Oktober 2007 negeri Sabah mempunyai seramai 21499 guru yang sedang bertugas di 1064 buah sekolah rendah, manakala seramai 12311 guru sedang bertugas di 205 buah sekolah menengah negeri Sabah. Daripada kedua-dua jumlah tersebut seramai 1165 guru adalah Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang mana sebahagian besarnya tertumpu di sekolah rendah.
Daripada jumlah 1165 tersebut 33.13% adalah GSTT bukan siswazah dan keadaan ini juga banyak tertumpu di sekolah rendah. Selain keadaan di atas, pihak JPN Sabah masih menghadapi kesukaran untuk menempatkan guru-guru terlatih dan berpengalaman terutamanya bagi mata pelajaran kritikal seperti Bahasa Inggeris di kawasan luar bandar dan pedalaman. Faktor utama penyebab kepada permasalahan ini ialah ketiadaan rumah guru atau rumah guru yang daif selain daripada keadaan infrastruktur lain seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik yang juga agak daif atau tiada langsung.
Beberapa isu utama dikenal pasti selain yang telah dilaporkan di atas adalah seperti berikut :
i) Isu berkaitan agihan nisbah guru kepada pelajar.
Bilangan pelajar negeri Sabah keseluruhannya adalah seramai 484437 orang dengan sebahagian besarnya tertumpu di sekolah rendah iaitu seramai 289822 orang murid (sumber EMIS seperti 31 Oktober 2007); berbanding dengan penempatan guru di sekolah ini hanya seramai 21499 orang sahaja.
ii) Bekalan guru setempat tidak mencukupi.
Keadaan ini berlaku disebabkan setiap tahun sekurang-kurangnya 1200 permohonan pertukaran guru antara negeri dari Sabah ke semenanjung berlaku. Impak daripada keadaan ini ialah wujudnya masalah dimana JPN Sabah akan sentiasa kekurangan guru yang layak untuk mengisi jawatan naik pangkat, sebagai contoh ke DG44. Turnover rates yang tinggi ini juga menyebabkan JPN Sabah akan sentiasa kekurangan guru-guru yang berpengalaman.
iii). Penempatan guru baru terlatih (GSST) dan memenuhi opsyen
Bilangan guru baru terlatih (GSST) yang ditempatkan ke negeri Sabah oleh KPM kurang memenuhi keperluan JPN dari segi opsyen. Wujud ketidakselarasan (mismatch) antara bilangan opsyen yang diperlukan dengan yang dibekalkan oleh pihak KPM.
iv) Kekurangan guru terlatih di SJKC Cina
Keadaan penempatan guru terlatih berbahasa Cina di SJKC Sabah agak kekurangan menyebabkan pihak sekolah ini meletakkan sehingga 50 murid dalam sesetengah kelas. Ini pula membawa kepada persekitaran bilik darjah yang sesak dan tidak selesa. Keadaan yang sama berlaku di sekolah menengah di mana setakat ini terdapat 24 kekurangan guru Bahasa Cina. Keadaan menjadi bertambah kritikal dengan ketiadaan pengambilan baru guru Bahasa Cina oleh pihak kementerian.

2.4 KADAR LITERASI DAN KEMISKINAN MURID

The World Education Report (1993) menyenaraikan Malaysia sebagai salah satu negara yang rendah kadar celik huruf dalam kalangan rakyatnya (78.4%) berbanding negara Asia Tenggara lain seperti Singapura (100%), Indonesia (81.6%), Thailand (93%) dan Filipina (89.7%). Pada tahun 1996, UNESCO melaporkan rakyat Malaysia yang berumur 10 tahun ke atas adalah celik huruf namun, secara purata setiap individu hanya membaca 2 buah buku dalam setahun. Kadar celik huruf pada tahun sama dalam kalangan penduduk luar bandar di Sabah dan Sarawak dilaporkan masih rendah pada kadar 79%. Celik huruf penting untuk membasmi kemiskinan, mengurangkan kematian kanak-kanak, menghalang pertumbuhan populasi, mencapai kesaksamaan jantina dan memastikan pembangunan lestari, keamanan dan keharmonian. Tumpuan kepada penambahbaikan pendidikan daripada segi capaian, ekuiti dan kualiti, khasnya bagi golongan kanak-kanak yang terpinggir di Malaysia perlu terus diperkasa. Wakil UNICEF ke Malaysia, Youssouf Oomar semasa berucap sempena Hari Literasi Antarabangsa 2007 berkata "Kanak-kanak yang boleh membaca dan menulis boleh diajar. Kanak-kanak yang boleh diajar boleh diperkasa untuk menuntut hak mereka, mengubah kehidupan mereka, memajukan masyarakat mereka dan mempengaruhi takdir mereka (Halimah Badioze Zaman, 1995)”.

Sabah masih kekal negeri termiskin di Malaysia dan majoriti penduduk miskinnya tinggal di kawasan luar bandar. Justeru, pendidikan dilihat mampu menjadi “senjata” dalam usaha kerajaan menghapuskan kemiskinan tegar menjelang 2010. Di seluruh negara, akibat kemiskinan, kekurangan infrastruktur dan sikap masyarakat yang tidak mementingkan pendidikan khususnya dalam kalangan penduduk luar bandar, secara purata 83,000 orang murid di seluruh negara dikhuatiri tercicir dari sistem pendidikan. Antara usaha untuk mengurangkan jumlah keciciran tersebut, RM185.47 juta di bawah Tabung Amanah Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP) telah diluluskan di bawah RMK-9 untuk negeri Sabah (RMK-9, 2006). Di bawah skim KWAMP, setiap murid yang layak diberikan bantuan berjumlah antara RM150 hingga RM350. Ini bermakna, dianggarkan masih terdapat 600 ribu murid miskin di negeri Sabah.

3.0 CADANGAN PENYELESAIAN

Harapan dan masa depan pendidikan murid sekolah luar bandar adalah bergantung kepada banyak perkara yang sukar diselesaikan sekiranya tidak dipantau oleh pihak yang bertanggungjawab secara sistematik dan komprehensif. Sebagai langkah ke arah pemerkasaan mutu dan kualiti pendidikan luar bandar terdapat beberapa saranan dan syor kepada kementerian dan pihak yang terbabit. Antara cadangan pemerkasaan adalah seperti berikut:

3.1 INFRASTRUKTUR DAN KEMUDAHAN ASAS

Peruntukan RMK-9 yang melibatkan berbilion ringgit untuk keperluan pendidikan luar bandar perlu diagihkan secara adil dan dapat dilihat kesan pembangunan infrastruktur sekolah luar bandar secara menyeluruh. Begitu juga dengan Koridor Pembangunan Sabah adalah diharapkan dapat dimanfaatkan untuk pembangunan pendidikan di luar bandar negeri Sabah, bukan hanya memfokus kepada aspek ekonomi. Masalah kemudahan asas ini dilihat sebagai masalah utama yang perlu diselesaikan bagi merapatkan jurang pendidikan di kawasan bandar dan luar bandar. Ini kerana, masih terdapat ramai guru yang komited cenderung untuk berkhidmat di kawasan bandar kerana mempunyai kemudahan asas yang lengkap dan selesa. Di Sabah masih terdapat sekolah yang guru dan pelajarnya terpaksa berjalan kaki lebih dari dua jam untuk sampai ke kawasan sekolah kerana di kawasan terbabit para pelajar dan guru kerana kemudahan jalan yang daif.

3.2 PROFESIONALISME GURU DAN PENGURUSAN SEKOLAH

Bagi tujuan merealisasikan teras kelima PIPP iaitu usaha memartabatkan profession keguruan pihak kementerian perlu menyusun langkah yang komprehensif dan sistematik. Guru perlu mempunyai sikap dan penampilan diri seorang pendidik yang berwibawa. Pemantauan dan bimbingan berterusan perlu dilaksanakan secara sistematik dan berterusan dari pihak yang bertanggungjawab, sama ada oleh pihak kementerian, kerajaan negeri serta badan bertanggungjawab di peringkat daerah. Pihak KPM harus menyelaraskan pengambilan bakal guru antara JPN dengan BPG serta dengan IPTA/IPTS, agar dapat memenuhi keperluan sebenar JPN dari segi keperluan opsyen. Pengurusan penghantaran Surat Tawaran Perlantikan guru baru perlu lebih selaras dan cekap. Dicadangkan agar surat tersebut diedarkan kepada guru-guru baru semasa taklimat penempatan di sekolah baru. Penganjuran bengkel dan kursus dalam perkhidmatan serta bayaran insentif yang bertujuan untuk meningkatkan minat guru berkhidmat di kawasan luar bandar tidak akan membawa sebarang impak positif tanpa pemantauan, bimbingan dan penilaian komprehensif. Jika ini berlanjutan, misi untuk melahirkan modal insan kelas pertama menerusi pendidikan sekolah bakal menjadi sia-sia.

3.3. PROGRAM INTEGRASI ANTARA PIMPINAN PELAJAR

Program integrasi antara pimpinan-pimpinan pelajar Intitutusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta dilihat sebagi salah satu program yang dapat membantu merapatkan jurang pendidikan di kawasan bandar dan luar bandar. Para pimpinan pelajar perlu bekerjasama mengadakan program bakti siswa, khidmat masyarakat dan seumpamanya dan lebih menekankan aspek akademik dan motivasi di kawasan luar bandar. Program berbentuk pengajaran dari pelajar IPTA/S mungkin akan memberikan impak yang lebih berkesan memandangkan pelajar IPTA sebagai abang dan kakak dapat memberikan motivasi kepada adik-adik di sekolah tersebut. Namun usaha ini perlulah dilakukan secara berterusan dan konsisten supaya lebih berkesan.

3.4 PERKEMBANGAN KOGNITIF, LITERASI DAN STATUS PEMAKANAN

Isu pendididkan seperti keciciran, kemiskinan, buta huruf, dan keperluan makanan berkhasiat serta seimbang dalam kalangan murid sekolah perlu diberi perhatian serius seperti masalah sosial yang lain. Guru perlu memainkan peranan dalam membantu masalah buta huruf, dan keperluan makanan seimbang untuk membantu perkembangan kognitif dan fizikal yang sihat. Program KIA2M dan Rancangan Makanan Tambahan tidak akan berjaya sekiranya guru dan pentadbir tidak memberi kerjasama, perhatian dan pemantauan dalam melaksanakan program tersebut. Usaha membangunkan pendidikan luar bandar merupakan tanggungjawab bersama bermula dari latihan perguruan. Pihak IPG atau IPTA seharusnya menyediakan guru yang berkompetensi dan berdedikasi dengan komitmen yang tinggi untuk melayakkan mereka bertugas di sekolah luar bandar dan mendapat insentif bulanan yang telah ditentukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

4.0 PENUTUP

Secara umumnya, walaupun pelbagai pihak telah berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan pelbagai aktiviti dan program pendidikan, namun masih banyak yang perlu diperbaiki dan dimantapkan supaya sistem dan institusi pendidikan khususnya pendidikan di luar bandar dapat membangunkan modal insan yang memiliki daya saing yang tinggi dan berwibawa. Pendidikan di sekolah luar bandar Sabah secara umumnya telah mengorak langkah ke arah pembangunan. Namun, secara realitinya sekolah di pedalaman, pulau, pesisir dan pergunungan masih ketinggalan sama ada dari segi akademik, infrastruktur, kuantiti, kualiti guru serta kualiti pendidikan guru. Oleh itu, semua pihak harus berganding bahu demi memastikan masalah jurang pendidikan pelajar kawasan bandar dan luar bandar dapat diatasi dengan langkah-langkah yang efisyen dan berkesan.



Bibliografi

Jabatan Muzium Sabah. (1992). Warisan Sabah: Pengenalan Ringkas Sejarah dan Warisan Sabah. Kota Kinabalu.

Jabatan Penerangan Malaysia. Sistem Pendidikan Malaysia Diiktiraf. (atas talian) http://www.penerangan.gov.my/. Dicetak pada 9 November 2008.

Kementerian Pelajaran Malaysia. (2008). Risalah Maklumat Asas Pendidikan Januari 2008.

Rancangan Malaysia Ke Sembilan. (2006). Unit Perancang Ekonomi. Jabatan Perdana Menteri: Putrajaya.

Unit Maklumat JPNS. (2007). Sekolah-Sekolah Negeri Sabah Mengikut Lokasi. Tidak diterbitkan.

1 comment:

Anonymous said...

tahniah ats kertas kerja yang dibentangkan...
terpegun saya melihat abg azrul dalam video rakaman yang saya tonton...

tiada dvd ke untuk sluruh pljr UMS tonton??
video nya ada d lmn web UTHM... tp x bleh download la...

akhir kata, u r da best!! keep it up...