Sunday, June 3, 2012

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyiasat Pendatang Asing Tanpa Izin Di Sabah – antara polimik dan realiti Rakyat Sabah berasa lega akhirnya kerajaan bersetuju menubuhkan RCI bagi menyiasat pendatang asing tanpa izin di Sabah. Perkara ini sejak sekian lama diminta oleh rakyat dan pemimpin Sabah. Bukan apa, PATI di Sabah ni semakin tahun semakin ramai, mereka membina rumah dan ‘perkampungan’ di sini. Ada banyak sebab kenapa isu PATI ini perlu diselesaikan secepat mungkin. Daripada masalah sosial, peluang ekonomi penduduk tempatan hingga kepada kemakmuran rakyat Sabah sendiri. Kalau kita lihat, PATI ini mendominasi ‘jalan2’ di Sabah, mereka menjual rokok secara haram, menjual ikan di tepi jalan, melakukan banyak jenayah lagi. Setahu saya, ada dikalangan mereka ini yang menjadi kaya-raya, memiliki kereta mewah, rumah banglo dan duit yang banyak. Macam mana mereka mendapat harta sebanyak itu? Jalan di sekitar Pasar Filipin di Kota Kinabalu memang dimonopoli mereka, menjual rokok dan bermacam lagi aktiviti dilakukan mereka. Sampaikan rasa takut pula melihat ‘kekuatan mereka’. Begitu juga dibanyak tempat di Sabah, mereka seakan-akan menguasai kota/Bandar/kawasan tersebut, selain KK, Tawau, Sandakan, LD, Kinarut di Papar dan beberapa tempat lagi. Banyak juga masalah sosial yang melibatkan mereka, mencuri, bergaduh, minum arak dan merogol. Sebenarnya ada juga anak tempatan melakukan masalah sosial, tapi fokus saya di sini ialah berkenaan PATI. Hingga anak tempatan sendiri merasa takut akan kewujudan mereka, ini sesuatu yang tidak betul dan harus diselesaikan. Di sudut lain, ada juga pihak yang melabel isu ni dalam konteks politik, kononnya PATI membawa kemenangan kepada sesetengah parti politik ketika PRU, saya yakin isu ni hanya mengelirukan masyarakat Sabah dan saya juga melihat isu besar bukanlah isu PRU tetapi isu sebenar ialah apa yang saya nyatakan di atas, ekonomi, sosial dan kemakmuran negeri Sabah. Namun jika benar wujud konspirasi2 tertentu, RCI perlu murnikannya, siasat siapa sahaja demi kebenaran. Walauapapun isu dan tanggapannya, saya juga menharapkan agar RCI ini mampu menyelesaikan masalah yang membelengu rakyat Sabah sejak sekian lama. Harapan anak muda Sabah kpd RCI ini, Jawatankuasa dibentuk segera, ahli jawatankuasa benar2 layak dan mempunyai pengalaman luas ttg isu PATI di Sabah, percepatkan keputusan dan tindakan, jadikan Sabah sebuah negeri damai tanpa PATI, xda org asing jual rokok di tepi jalan, menjaja ikan, mengemis di jalanan. Saya optimis, byk perkara dan isu mampu diselesaikan dgn tindakan berkesan drp RCI ini kelak.

Tuesday, October 25, 2011

S.K. Ulu Lubai Limbang Sarawak - Idol Sekolah2 Pedalaman dan Elit

Saya berpeluang berkunjung ke S.K. Ulu Lubai, sekolah berprestasi tinggi, sekolah yang terletak di tengah2 belantara yang mempunyai budaya sekolah unggul dan bertaraf dunia. S.K. Ulu Lubai telah menempelak tanggapan ramai pihak bahawa sekolah luar bandar tidak dan tidak akan berjaya. Banyak pihak terutamanya sekolah pedalaman bergelut utk keluar drp prestasi sekolah yang amat tidak cemerlang, nah! S.K. Ulu Lubai contoh terbaik utk diikuti. Apa yang membuatkan S.K. Ulu Lubai cemerlang? mari kita susuri bersama.

S.K. Ulu Lubai terletak jauh di pedalaman. Dihubungkan dengan jalan balak yang hanya boleh dilalui oleh kereta pacuan 4 roda enjin berkuasa tinggi dan pemandu yg mempunyai kemahiran memandu yang baik, jalannya yg berbukit dan licin terutamanya waktu hujan. walaupun terletak jauh, namun atas kecemerlangannya, begitu ramai orang datang melawat utk melihat sendiri bagaimana budaya sekolah yg diamalkan mereka.

Apa yg saya kagum dgn SK Ulu Lubai (SKUL) ada beberapa perkara. PERTAMA pencapaian akademik (UPSR) 100% sejak beberapa tahun dan menjadi sekolah rendah nombor 1 di Malaysia dr segi pencapaian akademik. KEDUA pelajar2nya bertutur dalam bahasa Inggeris sesama mereka bahkan sesama keluarga mereka (rata2 mereka tinggal di Rumah Panjang berdekatan sekolah). Bayangkan suatu ketika rata2 pelajar yg tidak mampu bertutur dlm bahasa Malaysia, kini bukan sahaja mampu bertutur BM dengan baik, malah juga mampu bertutur bahasa Inggeris dengan baik. Tidak hairanlah keputusan bahasa Inggeris mencatatkan 100% sejak mereka mengamalkan budaya English Language In School(ELIS). Ketika mula2 memperkenalkan ELIS, pelajar2 sgt kekok, apatidaknya, BM pun masih tersangkut2. Tapi berkat kesungguhan semua pihak, dengan strategi yg sgt berkesan, bermula dgn bercakap BI sepatah dan sambung dgn BM, akhirnya pelajar2nya kini tidak akan melayan jika ada pelawat yg berkomunikasi dlm BM dengan mereka, mereka sgt mesra jika pelawat bertutur BI dengan mereka. Mungkin lain bunyinya tapi budaya mereka akan membuatkan kita berfikir utk berfikir dan bertindak spt mereka. KETIGA kepimpinan murid2 yg diterapkan amat saya cemburui. Murid2 seawal usia 12 tahun ke bawah mampu menguruskan bermacam2 perkara, bangun pagi dan pergi ke sekolah seawal 5.30am, membersihkan kawasan sekolah termasuk bilik darjah dan tandas. Menguruskan perhimpunan sendiri dan bermacam2 majlis murid2 aturkan, dr segi pengacaraan hingga persembahan, keupayaan mereka memimpin sgt mengagumkan, murid2 ini selalunya balik ke rumah pada jam 11pm. Memang budaya yg holistik. bukan setakat itu saja KEEMPAT walaupun kemudahan sukan yg sgt daif, SK Ulu Lubai mampu melahirkan atlit bertaraf negeri bahkan kebangsaan. Tempat lompat jauh yg terletak di antara bangunan kelas dan beberapa peralatan sukan yg ketinggalan tidak memberi hlgn kpd murid2nya utk cemerlang dlm sukan. Sungguh mengagumkan.

Bagaimana mereka melakukannya? semua ini tidak datang bergolek, ia memerlukan kesungguhan dan pengorbanan drp pihak Guru Besar, guru2, murid2 dan para ibubapa mereka yg sgt memberi kerjasama padu kpd sekolah. Cara pihak sekolah bertungkus lumus utk menjadikan murid2 pandai membaca dan mengira hingga menjadikan SK Ulu Lubai sekolah no. 1 di Malaysia dan mendapat anugerah hingga ke peringkat antarabangsa (UNESCO). Siapa sangka sekolah di belantara memecah tradisi menjadi sekolah unggul bertaraf antarabangsa hasil kerja yg luar biasa dan kesabaran serta kesungguhan mereka. Idea unik dan berkualiti drp Guru Besar sgt membantu SK Ulu Lubai, dengan memperkenalkan beberapa pendekatan khusus utk membantu murid pandai membaca (bacaan/bunyi mengikut suku kata) dan menghafal sifir (bacaan sifir) membuatkan pelajar faham dan hasilnya mereka cemerlang dlm pelajaran. Dlm sudut kepimpinan juga mereka mendahului sekolah yg lain. Guru2 hanya melihat shj, murid2 yg melakukan semua kerja. Mereka menguasai bukan shj bidang akademik tp juga sukan, akhlak, kepimpinan dan lainnya, inilah rahsia SK Ulu Lubai menjadi Sekolah belantara bertaraf DUNIA.

Friday, April 8, 2011

PRN Sarawak ke-10 milik kerajaan semasa

Demam pilihanraya negeri (PRN) Sarawak kali ke-10 semakin membara dan rancak. Proses penamaan calon menampakkan proses demokrasi yang matang dan subur serta mencatat sejarah dengan bilangan calon teramai dengan kesemua 71 kerusi ada pertandingan ditambah dengan bilangan calon bebas sebanyak 41 orang. BN, PKR, SNAP, DAP, PCM, PAS dan calon-calon bebas akan bertanding merebut 71 kerusi DUN Sarawak.

Politik Persaudaraan
Apa yang paling menarik dilihat pada PRN Sarawak ke-10 bahkan sebelum-sebelum ini, calon-calon yang bertembung di satu-satu kerusi adalah daripada kalangan mereka yang ada hubungan kekeluargaan. Sepupu vs sepupu, anak vs ibu, saudara vs saudara. Perkara ini sebenarnya telah wujud sejak sekian lama di Sarawak. Ini menampakkan politik persaudaraan wujud di Sarawak. Dengan suasana proses penamaan calon dan kempen berlangsung penuh ceria dan aman, politik persaudaraan ini akan member kebaikan total kepada semua calon. Pertembungan persaudaraan yang berlaku di banyak kerusi DUN Sarawak kali ini akan menyaksikan apa juga yang terjadi sebelum, semasa dan selepas PRN nanti, hubungan politik akan terus baik dan ikhlas.

Demokrasi Segar
Ramai calon muda yang ditampilkan pada PRN Sarawak kali ini. Paling menarik perhatian, calon muda berusia 24 tahun yang bertanding atas tiket bebas. Beberapa calon muda juga tampil dalam usia 20-an, 30-an dan 40-an yang terdiri daripada pelbagai latar belakang yang jelas menampakkan demokrasi segar dan subur di Malaysia, sesiapa sahaja yang ingin bertanding boleh melakukannya tanpa sekatan.

Apa yang terpenting dalam semua pilihanraya ialah siapa akan menang? Bagaimana caranya untuk menang?

Calon Tempatan Pilihan Pengundi
Trend pengundi di Sarawak menampakkan kecenderungan memilih calon tempatan yang sering ditemui dan mesra rakyat. Seorang calon itu juga harus memiliki peribadi yang baik dan akhlak yang unggul.
Individu Menjadi Pilihan bukannya Parti
Sejak tsunami politik 2008, pengundi sekarang lebih cenderung memilih individu/calon berbanding parti. Jika parti meletakkan calon yang baik, pasti akan menang.

Kekuatan Parti-Parti Dalam PRN Sarawak ke-10
Tidak sampai separuh daripada 71 kerusi melibatkan 1 vs 1. Rundingan parti-parti lawan yang gagal menyaksikan pertembungan 3 penjuru dibanyak kawasan malah juga 4 hingga 6 penjuru. Sudah pasti pecahan undi akan lebih ketara. Jika diamati, BN menonjolkan calon-calon yang lebih menampakkan ketokohan. Gandingan muka baru dan lama sememangnya akan menyaksikan mereka sekali lagi mampu menguasai kerajaan. Dipihak lawan pula, walaupun DAP sebelum ini lebih menonjol dengan penguasaan tertinggi berbanding dengan lainnya, namun mereka meletakkan calon hanya di 15 kerusi. PKR tampak ingin menjadi ketua kepada parti lawan dengan meletakkan 49 calon, PAS 5, manakala SNAP 26, PCM 5 dan bebas 41 calon. Kekuatan parti dan calon tampak dimiliki oleh BN dan parti lawan juga mampu mencipta kejutan dibebarapa kerusi khususnya kawasan majority kaum Cina. Walaupun BN tampak akan sekali lagi memerintah, namun mereka perlu melihat kepada masa hadapan. Parti lawan semestinya akan memperbaiki segala kesilapan dan juga akan tampil para pemimpin dikalangan mereka yang menampakkan ketokohan untuk memimpin Sarawak suatu hari nanti. BN ternyata tidak harus selesa dengan factor persaudaraan yang dimiliki mereka. Mereka harus kerja kuat dan terus memperbaiki parti dan ahli parti kearah yang lebih baik. Ahli parti sendiri harus dididik dengan konsep yang baik, akhlak yang unggul, budi yang luhur. Ilmu agama harus didekati dan diaplikasi, buang segala factor negative. Harus kuasai segala bidang, agama, akademik, kepimpinan dan pemerintahan. InsyaAllah, BN akan dapat memerintah sampai bila-bila. Parti lawan juga harus melihat kepada kelompangan. Perkara paling jelas ialah mereka tidak mampu menyatukan parti-parti lawan menjadi satu. SNAP dan PCM tidak dibawa berbincang dengan baik. Penting juga untuk mereka mencari pemimpin yang jelas ketokohannya agar para pengundi tidak khuatir untuk memilih mereka.

Sunday, February 13, 2011

Kemenangan Rakyat dan Pengajaran Mesir

Tuntutan rakyat Mesir supaya Presiden Mubarak berundur akhirnya menjadi realiti. Seluruh rakyat Mesir meraikannya. Semua Bandar utama Mesir yang mulanya riuh rendah dengan suara lantang menentang kerajaan Mubarak kini bertukar sorakan kemenangan. Walaupun dengan konsisten hanya akan meletakkan jawatan selepas September 2011, namun dengan kuasa rakyat akhirnya Mubarak senyap-senyap meninggalkan Mesir dan mengumumkan peletakan jawatannya selepas 3 dekad menerajui Mesir.

Apa yang berlaku di Mesir sebenarnya bertitik tolak dengan kebangkitan rakyat di Negara-negara seperti Thailand, Ivory Cost dan akhirnya dikuatkan dengan kelantangan kuasa rakyat di Tunisi yang kini melarat hingga ke Italy,Perancis, Jordan, Haiti, Bahrain, Algeria dan sebagainya.

Sememangnya kuasa rakyatlah yang layak menentukan siapa pemimpin yang sepatutnya menerajui Negara. Berdasarkan demokrasi, pilihanraya menentukan pemimpin dan pemerintah. Tidak boleh disangkal setiap Negara di dunia akan mengalami proses pergolakan dalaman. Demonstrasi, rusuhan, perhimpunan jalanan menjadi trend kini untuk menyatakan sesuatu. Namun wujud juga sekumpulan yang mengamalkan cara aman, mesyuarat untuk menyatakan signal kepada pemerintah.

Namun persoalannya, cara manakah yang berkesan? Demonstrasi atau mesyuarah? Apa yang pasti demonstrasi tampak lebih berkesan mendapatkan hak atau lebih dari itu. Cara mesyuarah tidak menampakkan hasil yang konkrit.

Pergolakan besar yang berlaku kini sangat dipengaruhi oleh perubahan persekitaran dan politik semasa. Bermula dengan tumbangnya Takhsin yang hingga kini sering sahaja wujud rusuhan berantai daripada kumpulan merah dan kuning yang sering bertukar tempat menguasai jalan di Bangkok. Bilangan nyawa melayang sangat banyak dan kerugian sangat besar hinggakan sampai sekarang masyarakat dunia khuatir pergi ke Thailand kerana ketidakstabilan politik ditambah keadaan yang tidak menentu di selatan Negara tersebut serta pertikaian dengan Kemboja. Begitu juga halnya dengan Negara yang mengalami pergolakan. Haiti misalnya, sudahlah baru sahaja mengalami bencana alam yang dasyat, pergolakan sangat menghimpit mereka. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

Di mesir, pergolakan yang mengambil masa 18 hari telah mengorbankan lebih 300 nyawa dan menyebabkan kerugian jutaan malahan billion dolar amerika. Namun kepuasan dan kegembiraan nyata mengatasi segalanya. Walaupun yang pasti, belum tentu rakyat Mesir akan menerima pemerintah baru yang diinginkan mereka. Mungkin sahaja protes tersebut juga aka nada kesinambungannya.

Pada pengamatan kita, situasi ini berbeza-beza. Ada yang berulang dan ada yang berlangsung sempurna. Sekali lagi di Thailand, protes berlarutan hingga kini hingga menimbulkan ketegangan. Kini baju merah pula hendak menampakkan pengaruh mereka. Sudah tentu kerajaan Abhisit tidak senang duduk. Ada juga pergolakan yang berlangsung sempurna. Nepal misalnya, protes rakyat Berjaya memedamkan terus kisah silam yang perit.

Kini, protes sudah melarat dan berjangkit terutamanya di Asia Barat dan Tanah Arab. Negara mana menjadi mangsa selepas ini? Bahrain, Algeria, Jordan, atau mungkin Iran juga mengalami revolusi yang sama. Atau mungkin akan melarat hingga ke Asia Tenggara?

Persoalannya adakah perkara yang sama seharusnya berlaku di Malaysia? Adakah protes rakyat kecilan-kecilan yang berlaku di Malaysia akan bertukar dalam skala besar? Relevankah perkara tersebut terjadi di Malaysia? Apa yang pasti kerajaan harus berlaku adil dan terus menunjukkan komitmen kepada rakyat yang member mandat kepada mereka. Juga tidak mustahil apa yang berlaku di Mesir akan berlaku di Malaysia Negara yang kita cintai. Kepada pemerintah, keadilan, kesaksamaan dan ketelusan rakyat tuntut. Kepada rakyat, jadikan peristiwa di Mesir sebagai pengajaran dan bersikap rasionallah dalam melakukan sesuatu perkara lebih-lebih lagi perkara yang melibatkan kedaulatan dan keamanan Negara.

Tuesday, January 11, 2011

Pembangunan dan Kesejahteraan Papar , Tindakan Segera Perlu!

Daerah Papar yang terletak berdekatan dengan Bandaraya Kota Kinabalu dilihat jauh ketinggalan dari sudut pembangunan fizikal mahupun bukan fizikal. Jika diikutkan logiknya, pembangunan di dearah ini perlu selari dengan kepesatan Bandaraya KK, namun apa yang dapat dilihat, pembangunan dan kepesatan jauh ketinggalan. Jika dibandingkan dengan daerah berhampiran seperti Putatan, Papar sangat dahagakan pembangunan segera. Tidak dapat dinafikan kepesatan Putatan sangat cepat. Dengan berdirinya bangunan pencakar langit begitu mengagumkan. Dilihat dari sudut lain seperti pendidikan, ekonomi, kesihatan dan sebagainya juga sangat perlu dicontohi.

Apa yang dilihat di Papar, banyak pembangunan lambat siap, terbantut dan terbengkalai. Pertamanya pembangunan pendidikan di daerah Papar. Beberapa rancangan pembinaan Sekolah-Sekolah di Papar sedikit mengecewakan. Sekolah Menengah Kebangsaan Beringis yang diwar-warkan hanya tinggal nama hanya disebabkan isu terpencil. Sekolah Menengah Kebangsaan Pengalat yang dilihat sudah didirikan beberapa ‘tiang’ juga lambat pembangunannya. Setahu saya, sejak sekian lama seperti belum ada tambahan ‘tiang’ di tapak pembinaan Sekolah tersebut sedangkan penduduk sekitar sangat memerlukan Sekolah Menengah tersebut. Ini kerana, hanya terdapat 3 buah sekolah yang terdapat di sekitar utara daerah Papar iaitu SMK Kinarut, SMKA Tun Mustapa dan MRSM KK. SMKA Tun Mustapa merupakan sekolah berasrama penuh yang sudah pasti menjadi rebutan pelajar seluruh Sabah dan mengecilkan peluang pelajar tidak cemerlang ,melanjutkan pelajaran di sekolah tersebut. Apatah lagi MRSM yang hanya mengambil pelajar yang cemerlang sahaja. Apa jadi dengan pelajar kurang Berjaya, mereka terpaksa berkumpul di SMK Kinarut yang begitu padat pelajarnya dan sedikit ke Sekolah berdekatan daerah Papar. Mungkin di sekitar daerah Papar tidak begitu merasainya kerana terdapat banyak sekolah menengah di sana seperti SMK Majakir, SMK Takis, SMK Benoni, SMK St Mery, SMK St Joseph dan sebagainya namun bilangan sekolah menengah ini belum cukup menampung bilangan pelajar yang semakin ramai di daerah Papar. Kesannya amat besar kepada perkembangan pendidikan itu sendiri. Bayangkan sebuah sekolah yang padat dengan pelajar, sudah pasti pihak sekolah terpaksa menempatkan bilangan pelajar yang ramai di sebuah kelas. Ini akan menjejaskan system pengajaran dan pembelajaran di kelas. Guru tidak mempu memberikan perhatian terbaik disebabkan bilangan pelajar yang ramai, apatah lagi pelajar yang terpaksa bertarung dengan suasana bising yang mungkin berlaku di kelas tersebut. Berdasarkan kajian, sememangnya perkara ini menyebabkan prestasi pelajar di Sabah belum menampakkan kejayaan. Pihak berkenaan perlu melihat perkara ini dengan serius untuk memertabatkan pendidikan di Papar khasnya dan di Sabah amnya.

Begitu juga dengan soal kesihatan. Kita sedia maklum terdapat sebuah hospital di daerah Papar. Namun apa yang mungkin boleh dipertikaikan, tahap kecekapannya kurang berkualiti. Sebagai contoh, pada bulan Ramadhan lalu, ayah saya ditahan di Hospital Papar. Apa yang mengecewakan, sistemnya yang kurang berkualiti, dengan bilangan Doktor yang sedikit yang hanya mengharapkan kepada Jururawat telah menyebabkan penyakit ayah saya semakin tidak baik. Ayah saya yang kurang selesa di sana terpaksa kami pindahkan ke sebuah hospital swasta. Apa yang berlaku, ayah saya dijangkiti Hipetisis dan berlebihan ubat Paracetamol yang dipercayai kesannya diperolehi di Hospital Papar. Selepas itu, oleh kerana perbelanjaan yang tinggi, ayah saya terpaksa kami pindahkan ke Hospital Queen Elizeberth. Di sana barulah ayah saya sihat dan pihak Hospital mendakwa, pihak Hospital Papar mungkin menyebabkan penyakit ayah saya bertambah teruk. Alhamdulillah ayah saya sihat selepas mendapat rawatan. Apa yang perlu kita lihat, kekurangan Doktor di daerah Papar di wad sangat perlu diubah dan mengikut sepertimana system yang digunapakai di Hospital Queen Elizeberth kerana kesihatan adalah penting kepada kita semua. Begitu juga dengan kewujudan beberapa klinik kesihatan seperti di Kinarut, sistemnya jauh lebih buruk. Saya sering mendapatkan rawatan di sana dan mendapati ramai orang pulang hampa tanpa menunggu giliran juga kerana factor kekurangan tenaga pegawai perubatan. Pihak berwajib sekali lagi dituntut untuk mengubah keadaan ini. Kebetulan Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia merupakan ahli Parlimen Papar, beliau harus memberi keutamaan kepada perkara ini. Satu lagi perkara yang perlu ada di Papar dalam soal kesihatan, pihak berwajib perlu menyediakan Klinik 1Malaysia seperti mana yang wujud di tempat-tempat lain.

Soal lainnya seperti peluang pekerjaan, soal keusahawanan dan lain-lain juga perlu difikirkan bersama. Mungkin disebabkan kurangnya pembangunan, juga kurangnya peluang pekerjaan di daerah ini. Apatah lagi soal pembangunan belia, kita sangat dahagakannya. Ayuh para belia Papar, kita mesti jadi peneraju kepada kejayaan daerah kita yang tercinta ini. Persatuan Anak Muda Papar (PAMP) yang sedang rancak dirancang dan diatur akan menjadi platform kepada kita untuk bersama-sama berganding bahu.
Hidup Papar! Hidup PAMP!

Tuesday, December 14, 2010

Pendidikan di Sabah

(kertas kerja ini saya bentangkan dihadapan Y.A.B Timbalan Perdana Menteri merangkap menteri pelajaran pada Jun 2009. Turut hadir beberapa menteri cabinet, Ketua Pengarah Pelajaran, Ketua Polis Negara, beberapa CEO Syarikat, NGO dan para pimpinan mahasiswa kebangsaan)

PEMERKASAAN MUTU DAN KUALITI PENDIDIKAN SEKOLAH-SEKOLAH LUAR BANDAR, NEGERI SABAH


ABSTRAK


Kertas kerja ini bertujuan membincangkan cabaran yang dihadapi dan langkah-langkah ke arah pemerkasaan mutu dan kualiti pendidikan sekolah-sekolah luar bandar di negeri Sabah. Penentuan kategori luar bandar dibuat berdasarkan kedudukan geografi dan kawasan pembangunan atau perbandaran Negeri Sabah yang mana ia terbahagi kepada empat kategori iaitu Pulau, Pesisir laut dan sungai, Pergunungan dan Pedalaman Dalam. Dapatan kajian menunjukkan, sehingga Januari 2008 terdapat 1,271 buah sekolah di negeri Sabah. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,002 buah daripadanya merupakan sekolah luar bandar masing-masing 882 sekolah rendah dan 120 sekolah menengah. Sejumlah 497 buah sekolah dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM). Berdasarkan penyelidikan dan tinjauan Pusat Kajian Pendidikan Luar Bandar (PKPLB), terdapat beberapa cabaran yang dihadapi oleh sekolah-sekolah luar Bandar yang merangkumi aspek profesionalisme guru dan pengurusan sekolah, penempatan guru terlatih, infrastruktur dan kemudahan asas sekolah, dan tahap literasi dan kemiskinan dalam kalangan murid luar bandar juga dilihat sebagai faktor penyumbang permasalahan pendidikan di luar bandar. Diharapkan perbincangan yang dijalankan ini dapat memberikan manfaat kepada semua pihak dalam usaha memperkasakan mutu dan kualiti pendidikan sekolah-sekolah luar bandar, Negeri Sabah.


1.0 PENDAHULUAN

Falsafah Pendidikan Negara telah menggariskan bahawa pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi jasmani, emosi, dan rohani berlandaskan kepercayaan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Sistem pendidikan yang berkualiti dilihat mampu meningkatkan taraf hidup dan kualiti masyarakat serta membentuk modal insan minda kelas pertama yang boleh bersaing di persada antarabangsa.

Berdasarkan strategi perlaksanaan yang ke tujuh dalam Dasar Pendidikan Negara, kerajaan berhasrat untuk mendemokrasikan pendidikan dari segi peluang dan mutu dengan mengagihkan peruntukan secara adil dan memberi perhatian khas kepada kumpulan yang kurang bernasib baik, kawasan luar bandar atau pedalaman. Sehubungan dengan itu, kertas kerja ini akan membincangkan tiga kata kunci utama iaitu realiti, cabaran dan langkah pemerkasaan dengan memberi fokus kepada pendidikan sekolah luar bandar di Sabah. Kawasan- kawasan luar Bandar di Sabah dibahagikan kepada empat ketegori iaitu Pulau, Pesisir laut dan sungai, Pergunungan, Pedalaman Dalam. Penentuan kategori luar bandar dibuat berdasarkan kedudukan geografi dan kawasan pembangunan atau perbandaran negeri Sabah berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Sabah (JPNS) bagi tahun 2007.

Sehingga Januari 2008 terdapat sebanyak 1,271 buah sekolah di negeri Sabah. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,002 buah daripadanya merupakan sekolah luar bandar masing-masing 882 sekolah rendah dan 120 sekolah menengah. Sejumlah 497 buah sekolah dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM). Diperingkat sekolah rendah, terdapat 11,274 kelas beroperasi menampung seramai 290,927 orang murid manakala, diperingkat menengah seramai 193,539 orang pelajar ditempatkan di 5,837 buah kelas. Seramai 21,864 orang guru dan 2,970 orang kakitangan sokongan bertugas di sekolah rendah seluruh Sabah. Di peringkat sekolah menengah, operasinya dijayakan oleh seramai 12,869 guru dan 2,190 kakitangan bukan akademik. Berdasarkan perangkaan tersebut, dapat disimpulkan bahawa nisbah guru kepada murid di Sabah ialah 1:13 diperingkat sekolah rendah dan 1:15 di peringkat sekolah menengah (KPM, 2008).

2.0 ISU DAN PERMASALAHAN

2.1. PROFESIONALISME GURU DAN PENGURUSAN SEKOLAH

Berdasarkan maklumat daripada Pusat Kajian Pendidikan Luar Bandar (PKPLB) terhadap 12 sekolah rendah luar bandar (2 buah sekolah di kawasan pulau, sebuah di kawasan pesisir, sebuah di kawasan pergunungan, 7 buah sekolah di kawasan pedalaman dalam dan sebuah sekolah terpinggir) 100% guru besar sekolah terbabit hanya memiliki kelulusan akademik peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan majoritinya dilantik berdasarkan pengalaman mengajar antara 5 hingga 24 tahun dengan pengalaman pentadbiran antara 2 hingga 17 tahun. Bilangan guru yang berkhidmat di sekolah tersebut ialah antara 4 hingga 28 orang guru. Jumlah tersebut dianggap sudah mencukupi bagi menampung beban tugas pengajaran guru di sekolah terbabit. Walau bagaimanapun, aspek kompetensi guru di sekolah luar bandar masih menjadi isu pokok memandangkan daripada seramai 183 orang guru yang bertugas di 12 sekolah terabit, hanya 17% guru memiliki ijazah sarjana muda, 30% guru lulusan diploma dan 13% orang guru lulusan STPM manakala selebihnya iaitu 40% orang guru hanya memiliki kelulusan SPM atau lebih rendah. Selain itu, peratusan guru yang mengajar di luar bidang atau kemampuan juga masih tinggi iaitu antara 32% hingga 91%.
Dari segi kakitangan sokongan, 66.6% sekolah memiliki seorang kerani manakala selebihnya memiliki dua orang kerani. Lokasi sekolah yang jauh, berisiko tinggi, ketiadaan alat perhubungan seperti telefon dan faks serta ketidaksampaian penghantaran surat terus ke sekolah menyebabkan sebilangan besar kerani sekolah terpaksa bertugas di pejabat pelajaran daerah atau gabungan terdekat bagi memudahkan pengurusan berkaitan penyampaian maklumat dan pentadbiran termasuk gaji kakitangan. Kaedah tersebut merupakan langkah penyelesaian terbaik bagi mengelakkan sekolah di kawasan luar bandar terpinggir dari sebarang maklumat seperti pekeliling, aktiviti dan arahan yang dikeluarkan oleh pihak atasan. Pada masa sama, langkah tersebut juga menimbulkan pelbagai masalah termasuk aduan beberapa guru besar tentang kelewatan maklumat dan kegagalan kerani untuk melaporkan diri apabila diperlukan contohnya semasa mesyuarat dan aktiviti yang dilaksanakan di premis sekolah luar bandar.

2.2 INFRASTRUKTUR DAN KEMUDAHAN ASAS SEKOLAH

Secara keseluruhan, Sabah masih ketinggalan dalam aspek pendidikan khususnya di kawasan luar bandar. Daripada sejumlah 1,064 sekolah rendah di negeri Sabah, 497 buah masing-masing 465 Sekolah Kebangsaan, 30 Sekolah Jenis Kebangsaan dan 2 Sekolah Kebangsaan khas merupakan Sekolah Kurang Murid (SKM). Usaha membangunkan pendidikan Sabah khususnya di kawasan luar bandar memerlukan peruntukan sebanyak RM83 bilion. Walau bagaimanapun, di bawah Rancangan Malaysia Ke Sembilan, hanya RM3.43 bilion telah diluluskan bagi Kementerian Pelajaran Malaysia untuk melaksanakan 3,904 projek. Walaupun perkembangan semasa di sekolah luar bandar amat menggalakkan, keperluan semasa sistem pendidikan kebangsaan menyebabkan masih terdapat jurang ketara di antara sekolah bandar dan luar bandar. Berdasarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) masih banyak cabaran yang perlu diatasi. Tinjauan awal di sekolah berkenaan jelas membuktikan keperluan mendesak dari segi pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas sekolah.

Dapatan kajian menunjukkan masih terdapat sekolah yang tidak dilengkapi kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air bersih. Sejumlah 91.7% sekolah tidak dilengkapi bekalan elektrik 24 jam dan tiada asrama pelajar. Sebanyak 6 buah sekolah menggunakan generator manakala, 4 buah sekolah menggunakan solar hibrid manakala sebuah sekolah tidak memiliki bekalan elektrik. Bekalan air bersih di sekolah terlibat agak memuaskan dari segi peratusannya, tetapi sumber bekalan masih diragui memandangkan masih terdapat 3 buah sekolah yang bergantung sepenuhnya kepada tadahan tangki manakala 2 buah sekolah memperoleh bekalan air graviti yang diusahakan oleh penduduk tempatan.

Masalah penyampaian maklumat masih sukar diatasi kerana 83.3% sekolah tidak mempunyai mesin faksimili 75 % tiada telefon. Isu rumah guru meskipun agak rendah masih dipersoal dari segi penyelenggaraan dan kualiti bahan binaan dengan rumah guru di 4 buah sekolah memerlukan penyelenggaraan segera. Penyediaan kemudahan kantin sekolah juga masih di tahap sederhana. Hanya 6 buah sekolah memiliki kantin sekolah tetapi empat darinya dalam keadaan uzur atau diusahakan secara tidak sah. Masalah ketiadaan pondok keselamatan (41.7%) masih perlu tindakan segera bagi meningkatkan tahap keselamatan sekolah sekali gus mewujudkan iklim pengajaran dan pembelajaran yang lebih kondusif.

Pembinaan lebih banyak blok kelas juga agak mendesak. Pengenalan pelbagai mata pelajaran baru bagi memperluas literasi komputer, pengajaran dan pembelajaran berbantu komputer dan memupuk insan celik IT dan komputer, masih sukar untuk direalisasikan oleh sekolah luar bandar. Daripada 12 buah sekolah yang dilawati PKPLB, 66.7% sekolah tidak memiliki makmal komputer dan makmal sains malah, struktur dan kelengkapan bilik sains di 2 buah sekolah amat uzur dan tidak boleh digunakan. Pemantauan terhadap penggunaan alat bantu mengajar (ABM) khususnya peralatan elektrik perlu dipergiat. Tinjauan mendapati ada sekolah yang tidak menggunakan ABM tersebut walaupun telah dibekalkan dua tahun sebelum tinjauan atas alasan ketiadaan guru mahir ICT dan sebagainya. Kebanyakkan peralatan tersebut hanya disimpan distor peralatan sekolah. Senario ini jelas menjadi satu pembaziran besar wang negara dan merupakan salah satu penyebab keciciran murid luar bandar dari segi pendidikan Sains dan ICT.

2.3 PENEMPATAN GURU TERLATIH

Mengikut laporan perangkaan dalam EMIS sehingga 31 Oktober 2007 negeri Sabah mempunyai seramai 21499 guru yang sedang bertugas di 1064 buah sekolah rendah, manakala seramai 12311 guru sedang bertugas di 205 buah sekolah menengah negeri Sabah. Daripada kedua-dua jumlah tersebut seramai 1165 guru adalah Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang mana sebahagian besarnya tertumpu di sekolah rendah.
Daripada jumlah 1165 tersebut 33.13% adalah GSTT bukan siswazah dan keadaan ini juga banyak tertumpu di sekolah rendah. Selain keadaan di atas, pihak JPN Sabah masih menghadapi kesukaran untuk menempatkan guru-guru terlatih dan berpengalaman terutamanya bagi mata pelajaran kritikal seperti Bahasa Inggeris di kawasan luar bandar dan pedalaman. Faktor utama penyebab kepada permasalahan ini ialah ketiadaan rumah guru atau rumah guru yang daif selain daripada keadaan infrastruktur lain seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik yang juga agak daif atau tiada langsung.
Beberapa isu utama dikenal pasti selain yang telah dilaporkan di atas adalah seperti berikut :
i) Isu berkaitan agihan nisbah guru kepada pelajar.
Bilangan pelajar negeri Sabah keseluruhannya adalah seramai 484437 orang dengan sebahagian besarnya tertumpu di sekolah rendah iaitu seramai 289822 orang murid (sumber EMIS seperti 31 Oktober 2007); berbanding dengan penempatan guru di sekolah ini hanya seramai 21499 orang sahaja.
ii) Bekalan guru setempat tidak mencukupi.
Keadaan ini berlaku disebabkan setiap tahun sekurang-kurangnya 1200 permohonan pertukaran guru antara negeri dari Sabah ke semenanjung berlaku. Impak daripada keadaan ini ialah wujudnya masalah dimana JPN Sabah akan sentiasa kekurangan guru yang layak untuk mengisi jawatan naik pangkat, sebagai contoh ke DG44. Turnover rates yang tinggi ini juga menyebabkan JPN Sabah akan sentiasa kekurangan guru-guru yang berpengalaman.
iii). Penempatan guru baru terlatih (GSST) dan memenuhi opsyen
Bilangan guru baru terlatih (GSST) yang ditempatkan ke negeri Sabah oleh KPM kurang memenuhi keperluan JPN dari segi opsyen. Wujud ketidakselarasan (mismatch) antara bilangan opsyen yang diperlukan dengan yang dibekalkan oleh pihak KPM.
iv) Kekurangan guru terlatih di SJKC Cina
Keadaan penempatan guru terlatih berbahasa Cina di SJKC Sabah agak kekurangan menyebabkan pihak sekolah ini meletakkan sehingga 50 murid dalam sesetengah kelas. Ini pula membawa kepada persekitaran bilik darjah yang sesak dan tidak selesa. Keadaan yang sama berlaku di sekolah menengah di mana setakat ini terdapat 24 kekurangan guru Bahasa Cina. Keadaan menjadi bertambah kritikal dengan ketiadaan pengambilan baru guru Bahasa Cina oleh pihak kementerian.

2.4 KADAR LITERASI DAN KEMISKINAN MURID

The World Education Report (1993) menyenaraikan Malaysia sebagai salah satu negara yang rendah kadar celik huruf dalam kalangan rakyatnya (78.4%) berbanding negara Asia Tenggara lain seperti Singapura (100%), Indonesia (81.6%), Thailand (93%) dan Filipina (89.7%). Pada tahun 1996, UNESCO melaporkan rakyat Malaysia yang berumur 10 tahun ke atas adalah celik huruf namun, secara purata setiap individu hanya membaca 2 buah buku dalam setahun. Kadar celik huruf pada tahun sama dalam kalangan penduduk luar bandar di Sabah dan Sarawak dilaporkan masih rendah pada kadar 79%. Celik huruf penting untuk membasmi kemiskinan, mengurangkan kematian kanak-kanak, menghalang pertumbuhan populasi, mencapai kesaksamaan jantina dan memastikan pembangunan lestari, keamanan dan keharmonian. Tumpuan kepada penambahbaikan pendidikan daripada segi capaian, ekuiti dan kualiti, khasnya bagi golongan kanak-kanak yang terpinggir di Malaysia perlu terus diperkasa. Wakil UNICEF ke Malaysia, Youssouf Oomar semasa berucap sempena Hari Literasi Antarabangsa 2007 berkata "Kanak-kanak yang boleh membaca dan menulis boleh diajar. Kanak-kanak yang boleh diajar boleh diperkasa untuk menuntut hak mereka, mengubah kehidupan mereka, memajukan masyarakat mereka dan mempengaruhi takdir mereka (Halimah Badioze Zaman, 1995)”.

Sabah masih kekal negeri termiskin di Malaysia dan majoriti penduduk miskinnya tinggal di kawasan luar bandar. Justeru, pendidikan dilihat mampu menjadi “senjata” dalam usaha kerajaan menghapuskan kemiskinan tegar menjelang 2010. Di seluruh negara, akibat kemiskinan, kekurangan infrastruktur dan sikap masyarakat yang tidak mementingkan pendidikan khususnya dalam kalangan penduduk luar bandar, secara purata 83,000 orang murid di seluruh negara dikhuatiri tercicir dari sistem pendidikan. Antara usaha untuk mengurangkan jumlah keciciran tersebut, RM185.47 juta di bawah Tabung Amanah Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP) telah diluluskan di bawah RMK-9 untuk negeri Sabah (RMK-9, 2006). Di bawah skim KWAMP, setiap murid yang layak diberikan bantuan berjumlah antara RM150 hingga RM350. Ini bermakna, dianggarkan masih terdapat 600 ribu murid miskin di negeri Sabah.

3.0 CADANGAN PENYELESAIAN

Harapan dan masa depan pendidikan murid sekolah luar bandar adalah bergantung kepada banyak perkara yang sukar diselesaikan sekiranya tidak dipantau oleh pihak yang bertanggungjawab secara sistematik dan komprehensif. Sebagai langkah ke arah pemerkasaan mutu dan kualiti pendidikan luar bandar terdapat beberapa saranan dan syor kepada kementerian dan pihak yang terbabit. Antara cadangan pemerkasaan adalah seperti berikut:

3.1 INFRASTRUKTUR DAN KEMUDAHAN ASAS

Peruntukan RMK-9 yang melibatkan berbilion ringgit untuk keperluan pendidikan luar bandar perlu diagihkan secara adil dan dapat dilihat kesan pembangunan infrastruktur sekolah luar bandar secara menyeluruh. Begitu juga dengan Koridor Pembangunan Sabah adalah diharapkan dapat dimanfaatkan untuk pembangunan pendidikan di luar bandar negeri Sabah, bukan hanya memfokus kepada aspek ekonomi. Masalah kemudahan asas ini dilihat sebagai masalah utama yang perlu diselesaikan bagi merapatkan jurang pendidikan di kawasan bandar dan luar bandar. Ini kerana, masih terdapat ramai guru yang komited cenderung untuk berkhidmat di kawasan bandar kerana mempunyai kemudahan asas yang lengkap dan selesa. Di Sabah masih terdapat sekolah yang guru dan pelajarnya terpaksa berjalan kaki lebih dari dua jam untuk sampai ke kawasan sekolah kerana di kawasan terbabit para pelajar dan guru kerana kemudahan jalan yang daif.

3.2 PROFESIONALISME GURU DAN PENGURUSAN SEKOLAH

Bagi tujuan merealisasikan teras kelima PIPP iaitu usaha memartabatkan profession keguruan pihak kementerian perlu menyusun langkah yang komprehensif dan sistematik. Guru perlu mempunyai sikap dan penampilan diri seorang pendidik yang berwibawa. Pemantauan dan bimbingan berterusan perlu dilaksanakan secara sistematik dan berterusan dari pihak yang bertanggungjawab, sama ada oleh pihak kementerian, kerajaan negeri serta badan bertanggungjawab di peringkat daerah. Pihak KPM harus menyelaraskan pengambilan bakal guru antara JPN dengan BPG serta dengan IPTA/IPTS, agar dapat memenuhi keperluan sebenar JPN dari segi keperluan opsyen. Pengurusan penghantaran Surat Tawaran Perlantikan guru baru perlu lebih selaras dan cekap. Dicadangkan agar surat tersebut diedarkan kepada guru-guru baru semasa taklimat penempatan di sekolah baru. Penganjuran bengkel dan kursus dalam perkhidmatan serta bayaran insentif yang bertujuan untuk meningkatkan minat guru berkhidmat di kawasan luar bandar tidak akan membawa sebarang impak positif tanpa pemantauan, bimbingan dan penilaian komprehensif. Jika ini berlanjutan, misi untuk melahirkan modal insan kelas pertama menerusi pendidikan sekolah bakal menjadi sia-sia.

3.3. PROGRAM INTEGRASI ANTARA PIMPINAN PELAJAR

Program integrasi antara pimpinan-pimpinan pelajar Intitutusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta dilihat sebagi salah satu program yang dapat membantu merapatkan jurang pendidikan di kawasan bandar dan luar bandar. Para pimpinan pelajar perlu bekerjasama mengadakan program bakti siswa, khidmat masyarakat dan seumpamanya dan lebih menekankan aspek akademik dan motivasi di kawasan luar bandar. Program berbentuk pengajaran dari pelajar IPTA/S mungkin akan memberikan impak yang lebih berkesan memandangkan pelajar IPTA sebagai abang dan kakak dapat memberikan motivasi kepada adik-adik di sekolah tersebut. Namun usaha ini perlulah dilakukan secara berterusan dan konsisten supaya lebih berkesan.

3.4 PERKEMBANGAN KOGNITIF, LITERASI DAN STATUS PEMAKANAN

Isu pendididkan seperti keciciran, kemiskinan, buta huruf, dan keperluan makanan berkhasiat serta seimbang dalam kalangan murid sekolah perlu diberi perhatian serius seperti masalah sosial yang lain. Guru perlu memainkan peranan dalam membantu masalah buta huruf, dan keperluan makanan seimbang untuk membantu perkembangan kognitif dan fizikal yang sihat. Program KIA2M dan Rancangan Makanan Tambahan tidak akan berjaya sekiranya guru dan pentadbir tidak memberi kerjasama, perhatian dan pemantauan dalam melaksanakan program tersebut. Usaha membangunkan pendidikan luar bandar merupakan tanggungjawab bersama bermula dari latihan perguruan. Pihak IPG atau IPTA seharusnya menyediakan guru yang berkompetensi dan berdedikasi dengan komitmen yang tinggi untuk melayakkan mereka bertugas di sekolah luar bandar dan mendapat insentif bulanan yang telah ditentukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

4.0 PENUTUP

Secara umumnya, walaupun pelbagai pihak telah berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan pelbagai aktiviti dan program pendidikan, namun masih banyak yang perlu diperbaiki dan dimantapkan supaya sistem dan institusi pendidikan khususnya pendidikan di luar bandar dapat membangunkan modal insan yang memiliki daya saing yang tinggi dan berwibawa. Pendidikan di sekolah luar bandar Sabah secara umumnya telah mengorak langkah ke arah pembangunan. Namun, secara realitinya sekolah di pedalaman, pulau, pesisir dan pergunungan masih ketinggalan sama ada dari segi akademik, infrastruktur, kuantiti, kualiti guru serta kualiti pendidikan guru. Oleh itu, semua pihak harus berganding bahu demi memastikan masalah jurang pendidikan pelajar kawasan bandar dan luar bandar dapat diatasi dengan langkah-langkah yang efisyen dan berkesan.