Sunday, November 30, 2008

Mahasiswa harapan masa depan Negara

Tidak dapat disangkal lagi, mahasiswa merupakan aset yang paling penting kepada pembangunan negara. Golongan mahasiswa memiliki segalanya. Intelektual, karisma, pengaruh, semua ini menjadikan mahasiswa itu sebagai cerminan kepada masa depan negara. Negara memerlukan bakat kepimpinan yang berkualiti daripada warganya terutama sekali golongan muda bergelar mahasiswa. Warga mahasiswa sepatutnya sedar akan hakikat ini. 20 – 30 tahun akan datang negara ini akan dijenterakan oleh mahasiswa kini. Keupayaan mahasiswa hari ini menampakkan pemerintahan negara masa akan datang.

Ayuhlah rakan-rakan mahasiswa, bangkitlah menyumbang kepada negara. Bermula hari ini, bukan esok, tidak pula lusa, apa lagi tulat. Fikirkan apa yang akan terjadi kepada negara tahun-tahun akan datang. Jangan lagi kita asyik menunggu dan membiarkan sesuatu lalu di hadapan mata kita begitu sahaja. Selesaikan ia dahulu sebelum terjadi. Jangan pula kita menunggu orang lain merubah kita, gerakkan langkah ke arah matlamat yang realistik. Jangan lagi kita menganggap perjuangan mahasiswa sebagai sia-sia. Perjuangan kita sebenarnya ialah perjuangan hakiki yang menjadi halaman awal kepada pembangunan negara yang lebih maju.

Rakan-rakan mahasiswa sekalian, masalah sosial yang membelungi mahasiswa kini perlu dirawat seawalnya. Saya yakin, masalah ini belum lagi mampu meninggalkan kesan negatif mendalam kepada mahasiswa. Tingkatkanlah keimanan, halangilah nafsu membuas yang hanya akan merugikan diri dan warga keseluruhannya. Kita patut meninggalkan segala bentuk perkara yang mendatangkan impak tidak baik. Cukuplah sudah kita melihat berleluasanya pasangan sejoli bermesraan di khalayak ramai tanpa rasa segan sedikit pun dan cukuplah sudah kita mendengar kes sana kes sini yang akhirnya hanya akan memburukkan nama UMS dan mahasiswanya. Jadikan detik ini sebagai permulaan untuk kita perbaiki kelemahan. Pertuturan kita perlu sopan, pergaulan kita perlukan keterbatasan, pemikiran kita perlunya kematangan dan proaktif dan cara pemakaian kita perlu menunjukkan seorang mahasiswa yang berwawasan bukannya berlandaskan peredaran zaman.

Akhirnya, kita sebagai mahasiswa perlu berani mencuba demi kepentingan dan kebaikan kita semua. Didiklah, pimpinlah dan motivasikanlah diri kita menjadi insan yang memiliki pendirian, insan yang mempunyai kecerdikan dan insan yang ada keistimewaan. Fikirkanlah demi masa depan yang bermanfaat kepada generasi kita akan datang. Sumbanglah sesuatu bermula sekarang. Ingat rakan mahasiswa sekalian, kita tidak boleh lari daripada realiti yang kita akan menerajui negara pada masa akan datang.
PEMUDA MASA KINI, GAMBARAN NEGARA MASA AKAN DATANG. Sama-sama kita doakan agar kita mampu mewarisi negara ini dengan baik.

1 comment:

Anonymous said...

Salam abang Azrul..
Sokong apa yang dikatakn tuy kita(mahasiswa) pewaris kepada kepimpinan masa hadapan,kerana kita lh pemuda yang akn membentuk masa hadapan. Perjuangan kita bukan pada masa kini tapi utk masa hadapan juga kerana apa yang kita perjuangkan pada hari ini akan membentuk pada masa hadapan.. Perjuangan mahasiswa pembentuk adalah perjuangan generasi masa akan datang..kerana kita adalah cermin pada masa hadapan spt yang abang Azrul katakan PEMUDA MASA KINI, GAMBARAN NEGARA MASA AKAN DATANG. Moga ALLAH makbulkan doa kita..

Drpd Zan.