Friday, December 26, 2008

Pendirian MPP 2008/2009 mengenai hiburan di kampus tercinta, UMS

Assalamualaikum...
Terpanggil saya untuk berkongsi kepada seluruh mahasiswa mengenai pendirian MPP 2008/2009 mengenai hiburan di kampus. Berikut ialah garis panduan yang telah kami sepakati bersama (MPP 2008/2009) dan akan dibentangkan kepada pihak pentadbiran dalam masa terdekat ini. Harapan saya, rakan-rakan mahasiswa dapat memberikan respon dan cadangan:

CADANGAN GARIS PANDUAN HIBURAN DAN PERSEMBAHAN

Secara dasarnya, Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2008/ 2009 menggalakkan sebarang bentuk persembahan yang berkaitan dengan pelajar Universiti.

Walaubagaimanapun, sekiranya mana-mana pihak ingin mengadakan persembahan di dalam sesuatu program atau aktiviti, garis panduan berikut perlu diambil perhatian:

1. Tarian

i. Meminimumkan sesuatu persembahan tarian yang melibatkan sentuhan melibatkan gender
ii. Pakaian yang digunakan semasa persembahan mestilah sopan, tidak seksi, tidak sendat, tidak menampakkan bentuk badan bagi perempuan dan sopan dan tidak memakai seluar pendek bagi lelaki kecuali pakaian tradisional yang relevan
iii. Persembahan mestilah menampakkan ciri-ciri kreatif dan matang sebagai lambang mahasiswa yang unggul dan berintelektual tinggi

2. Nyanyian

i. Boleh melibatkan duet (berpasangan) tetapi tidak bersentuhan
ii. Jika melibatkan tarian, garis panduan tarian perlu diikuti
iii. Isi nyanyian hendaklah tidak kasar maksudnya dan tidak berbentuk pemujaan
iv. Pakaian yang digunakan semasa persembahan mestilah sopan, tidak seksi, tidak sendat, tidak menampakkan bentuk badan bagi perempuan dan sopan dan tidak memakai seluar pendek bagi lelaki kecuali pakaian tradisional yang relevan
v. Persembahan mestilah menampakkan ciri-ciri kreatif dan matang sebagai lambang mahasiswa yang unggul dan berintelektual tinggi

3. Konsert

i. Konsert ditukarkan kepada konsep Orkestra yang lebih menampakkan ciri-ciri profesional
ii. Sebarang konsert yang ingin diadakan yang bukan di bawah PMUMS perlu dimaklumkan terlebih dahulu kepada pihak PMUMS untuk mendapat respon pelajar
iii. Pihak PMUMS berhak memulau sebarang konsert/aktiviti/program yang tidak selari dengan dasar PMUMS dan tidak dimaklumkan kepada PMUMS
iv. Seperti juga perkara (1) dan (2), pihak penganjur perlu mengikuti garis panduan tersebut


4. Battle of the band


i. Penganjuran battle of the band perlu menghormati tatasusila mahasiswa dengan tidak membenarkan peserta dalam battle of the band melakukan sesuatu yang di luar sikap seorang mahasiswa seperti menjerit yang keterlaluan, melakukan aksi kurang sopan seperti membuka baju.

ii. Penganjuran Battle of the Band diminimumkan



Walaubagaimanapun, pihak PMUMS amat mengalu-alukan sebarang persembahan yang bercorakkan kebudayaan yang mendatangkan manfaat kepada mahasiswa baik dari sudut tarian, nyanyian dan sebagainya. Pihak PMUMS ingin mengembangkan dan menerapkan lagi kebudayaan di kalangan warga kampus.

Sekiranya mana-mana pihak tidak mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan, pihak PMUMS berhak untuk memulau penganjuran sesuatu aktiviti tersebut. Pihak PMUMS akan meneliti sebarang keputusan yang ingin dibuat berkenaan sesuatu persembahan demi menjaga hubungan baik dengan semua pihak. Kerjasama dari semua pihak amat diharapkan dalam merencana dasar PMUMS demi memartabatkan mahasiswa UMS di arena global.

1 comment:

fiziebiz said...

saya setuju.. tetapi hiburan memang tidak dapat dielakkan. Dari mula saya masuk ke ums memang tak pernah sunyi dgan hiburan.. hiburan tak salah yg salah ialah cara penganjuran sesuatu aktiviti itu. pengawalan sangat penting.