Wednesday, December 17, 2008

Pengajaran & Pembelajaran Sains & Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) perlukan penelitian menyeluruh.

Saya tertarik dengan hasil yang diperolehi daripada Persidangan Meja Bulat PPSMI yang merumuskan 7 pilihan untuk dipertimbangkan kerajaan mengenai masa depan PPSMI. 7 pilihan yang diberikan mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Pihak kerajaan perlu membuat keputusan yang tepat berkenaan hal ini yang sebenarnya amat penting bagi memantapkan sistem pendidikan negara pada masa akan datang. Kerajaan perlu mengenepikan faktor politik dengan melihat perkara ini secara natural demi kebaikan semua. Jika dilihat kepada senario yang berlaku di sekolah-sekolah bandar dan luar bandar sekarang, kita akan mendapati terdapat perbezaan besar mengenai tahap penguasaan Bahasa Inggeris. Sudah sememangnya penguasaan Bahasa Inggeris dikalangan murid-murid sekolah di bandar adalah baik berbanding dengan luar bandar. Kita juga mengetahui subjek Sains dan Matematik bukanlah subjek kesukaan sebilangan besar murid. Sudah pasti, apabila dijumlahkan bilangan murid yang lemah matapelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris, angkanya adalah besar. Kebanyakan murid pun, jika Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Melayu, mereka masih sukar untuk menguasainya.
Persoalan yang timbul mengenai PPSMI ini ialah adakah murid-murid akan menguasai kedua-dua subjek Sains dan Matematik yang diajar dalam Bahasa Inggeris atau murid-murid hanya sekadar menumpang untuk belajar Bahasa Inggeris dalam kedua-dua subjek ini. Inilah sebenarnya implikasi yang timbul berkenaan PPSMI. Kesan dan hasil pengajaran bagi subjek Sains dan Matematik tidak tertumpu kerana murid-murid akan cuba memfokuskan terhadap penguasaan Bahasa Inggeris terlebih dahulu. Ini akan mendatangkan kesan tidak baik dalam jangka masa panjang kepada sistem pendidikan negara. Kita lihat sahaja murid-murid di luar bandar yang mana tahap penguasaan subjek Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik mereka adalah lemah. Jika subjek ini diajar bersama, sudah tentulah golongan murid seperti ini akan jauh ketinggalan. Walaubagaimanapun, kita tidak boleh menolak secara total kepentingan Bahasa Inggeris pada zaman ini. Penguasaan terhadapnya amat penting terutamanya dalam sektor ekonomi dan perdagangan. Namun, jangan pula kepentingan Bahasa Inggeris mengatasi kepentingan yang lain yang lebih penting lagi.
Sebagai cadangan, subjek Sains dan Matematik perlu diajar dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Ibunda di sekolah rendah dan dua alternatif pilihan di sekolah menengah (tingkatan 1-5) iaitu menggunakan dwibahasa dalam pengajaran Sains dan Matematik ATAU terpulang kepada sekolah untuk menentukannya(bergantung kepada keupayaan keseluruhan murid) DAN mewajibkan PPSMI di peringkat pra universiti. Ini dapat mewujudkan kelangsungan pembelajaran bagi subjek Sains dan Matematik dengan mempertingkatkan penguasaan terhadap kedua-dua subjek ini dan dapat diselarikan dengan kepentingan dan penguasaan Bahasa Inggeris tanpa meminggirkan Bahasa Melayu.

4 comments:

Hilal Azmi said...

Jadi??? Boleh saya tau apa resolusi yang cuba diketengahkan saudara Presiden???

Unknown said...

Salam. Isu PPSMI ini, mau tidak mau, akan menyentuh dalam lingkup Politik juga.

Tapi yang lebih penting, sejarahnya atau kronologi isu ini.

Mungkin rujukan di bawah sedikit bermanfaat dalam menetapkan apa pendirian masing2.

http://www.google.com.my/custom?domains=www.harakahdaily.net&q=PPSMI&sitesearch=www.harakahdaily.net&client=pub-*****&forid=1&ie=ISO-8859-1&oe=ISO-8859-1&safe=active&cof=GALT%3A%23008000%3BGL%3A1%3BDIV%3A%23336699%3BVLC%3A663399%3BAH%3Acenter%3BBGC%3AFFFFFF%3BLBGC%3AFFFFFF%3BALC%3A0000FF%3BLC%3A0000FF%3BT%3A000000%3BGFNT%3A0000FF%3BGIMP%3A0000FF%3BLH%3A45%3BLW%3A254%3BL%3A%2Fimages%2Ftop_search.jpg%3BS%3Ahttp%3A%2F%2F%3BFORID%3A1&hl=en

Oups, panjanglah pula. Hi2.

Pendirianku, mansuhkan PPSMI. Guna BM dalam semua institut pendidikan. BI jadi pilihan. Termasuk diperingkat Universiti. U U luar Negara menggunakan bahasa tempatan sebagai bahasa pengantara. Masuk sana, kena ada persediaan lulus ujian bahasa mereka. Mereka cemerlang juga. Di Malaysia?

Isi borang LI pun dalam BI. Berurusan dengan orang Malaysia tapi medium bahasanya, terasa macam di Amerika atau di United Kingdom pula.

Pelik...

Anonymous said...

Orang-orang Inggeris pernah dijajah oleh kuasa asing. Pada ketika itu mereka menggunakan bahasa Latin sebagai bahasa ilmu. Orang-orang Inggeris meninggalkan bahasa Latin kerana ia bahasa penjajah dan ia tidak dapat membantu memperkasakan orang-orang Inggeris. Orang-orang Inggeris mula maju selepas mereka menggunakan bahasa mereka sendiri sebagai bahasa ilmu. Di Malaysia agak pelik sedikit kerana ramai yang suka mengambil langkah mengundur ke belakang. Orang Melayu meninggalkan bahasa Melayu dalam mengajar sains dan matematik supaya kedua-dua subjek itu diajar dalam bahasa Inggeris. Ada yang mengeluarkan hujah dangkal di mana PPSMI perlu kerana banyak sumber ilmu dalam bahasa Inggeris. Ini termasuklah buku-buku, jurnal-jurnal dan sebagainya. Idea sebegini amat ganjil kerana ia tidak menyentuh langsung tentang menterjemah buku-buku, artikel-artikel jurnal dan bahan-bahan lain yang berbahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu. Ada orang Melayu yang mempunyai kelebihan mahir dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu di samping sains dan matematik. Mereka inilah yang perlu dipertanggungjawabkan untuk kerja-kerja menterjemah. Dimanakah pula galakan kepada cerdik pandai Melayu untuk menulis lebih banyak bahan ilmu dalam bahasa Melayu?

Anonymous said...

PPSMI adalah satu hasrat murni kerajaan yang bertujuan untuk membantu masyarakat malaysia supaya menjadi lebih berpengetahuan dan terdedah kepada istilah-istilah terbaru dalam bidang sains dan matematik. Kegagalannya adalah kerana ia terlalu drastik untuk dilaksanakan memandangkan tahap penguasaan bahasa inggeris dalam kalangan pelajar Malaysia masih di tahap sederhana terutamanya pelajar di kawasan luar bandar.
Kegagalan PPSMI menyebabkan orang ramai muncul dengan pelbagai gagasan dan isu. Antaranya adalah seperti;
• Mengapa tidak gunakan istilah sains dalam bahasa melayu dan pergiatkan lagi usaha menterjemah bahasa asing ke dalam bahasa melayu – masalahnya, untuk menterjemah, kita perlu terlebih dahulu tahu maksud perkataan tersebut. Kita x mungkin akan dapat menterjemah tanpa tahu apa maksud istilah tersebut. Generasi mana yang akan memulakan kegiatan menterjemah? Mungkin juga generasi yang sudah terdidik dengan PPSMI.
• Pengenalan bahasa inggeris akan mengancam bahasa ibunda – Untuk mempertahankan bahasa ibunda, ia perlu dimulakan dari institusi asas dalam masyarakat iaitu keluarga itu sendiri. Tekankan nilai dan budaya warisan pada anak-anak dan tanamkan jati diri dalam diri anak-anak supaya tidak mudah terhakis nilai budaya ibunda mereka sendiri. Dalam usaha menimba ilmu, seharusnya tidak wujud perasaan takut pada ilmu kerana ia hanya akan menyebabkan kita jadi dangkal dalam segala aspek.Kalaulah PPSMI akan mengancam bahasa ibunda, bagaimana pula dengan Kursus Pendidikan dengan TESL. Bukankah ia mengajar seseorang untuk bercakap dalam bahasa yang bukan bahasa ibundanya?? Sepatutnya itu lebih merisaukan kita??
Satu-satunya masalah yang saya lihat dalam pelaksanaan PPSMI adalah TIMING... atau waktu ia dilaksanakan. Sepatutnya, pemantapan bahasa inggeris dilakukan terlebih dahulu sebelum PPSMI kerana kebanyakan pelajar yang gagal dalam PPSMI disebabkan mereka TIDAK FAHAM apa yang diajar terutamanya pelajar dari luar bandar.Perancangan yang betul-betul teliti perlu dilaksanakan. Pendekatan yang berbeza perlu digunakan kepada pelajar dari luar bandar.Malah bukan setakat pelajar, guru juga perlu menjalani pemantapan bahasa inggeris kerana terdapat juga guru yang tidak fasih berbahasa inggeris. Guru juga perlu mantapkan jati diri dan kesedaran sivik kerana apa yang ditonjolkan oleh guru biasanya akan ditiru oleh pelajar mereka.
kadang-kadang kita perlu jadi terlalu rendah untuk naik keatas.