Monday, January 5, 2009

Perbezaan politik perlukan toleransi yang tinggi

Kita tidak dapat nafikan wujudnya perbezaan fahaman politik di mana-mana negara di dunia. Di Malaysia, kita tidak terlepas daripada menghadapi senario perbezaan politik yang ketara yang kini semakin lebih menonjol terutamanya selepas Pilihanraya Umum Ke-12. Parti-parti seperti UMNO, MCA, MIC dan lain-lain yang mewakili Barisan Nasional(BN) yang sekian lama memerintah negara, kini berdepan sebuah ikatan pembangkang yang semakin berpengaruh yang bergelar Pakatan Rakyat yang diwakili PKR, PAS dan DAP. Ini merupakan sesuatu lumrah dalam kehidupan. Satu puak yang sama akan saling bersaing untuk lebih menonjol. Begitulah politik.

Situasi kita di Malaysia, senario politik mengatasi segalanya. Bagi saya, dulu, kini dan selamanya, politik kita akan kekal seperti ini. Politik yang berasaskan semangat perkauman. Walaupun dinaungi oleh GABUNGAN dalam sebuah bahtera besar, namun semangat ini amat sukar untuk hilang. Mahu tidak mahu, masing-masing perlu memperjuangkan hak masing-masing. Walaupun mungkin terpaksa menyelit dicelah yang kecil. Keadaan ini amat sukar dinilai. Yang baik kadang-kadang menjadi kurang baik. Yang kurang baik kadang-kadang menjadi baik. Sungguh kuat pengaruh politik hinggakan mampu mencipta plot hidup sedemikian

Sejauh mana profesionalisme politik di negara kita?

Tidak lama lagi, Pilihanraya kecil Kuala Terengganu akan berlangsung. Kita sekali lagi akan melihat perkara sama yang berlaku seperti di Permatang Pauh. 'Orang kita' sanggup mengatakan itu dan ini demi mencapai sesuatu yang diidamkan. Saya tidak melihat perbezaan politik akan membawa kepada keadaan sebegini dengan tuduh sana-sini, bilang itu dan ini yang tidak tahu kebenaran dan kesahihannya. Mengapa sesama kita perlu bergolak dalam situasi seperti ini? Seperti yang saya katakan di awal tadi, saya tidak pertikaikan wujudnya perbezaan fahaman politik tetapi kita pertikaikan mengapa kerana politik kita tidak boleh bertegur. Kita tidak boleh solat berjemaah bersama. Kita tidak boleh makan duduk bersama. Kita tidak boleh tidur sebilik bersama. Keadaan ini sebenarnya amat merisaukan kita. Kita daripada golongan yang sama tetapi banyak perkara yang kita tidak mahu sama.

Saya melihat dalam berdepan fahaman politik yang berbeza, sikap toleransi yang tinggi perlu dititikberatkan. Toleransi yang bagaimana? Semestinya sokongan antara satu sama lain. Nasihat membina untuk membetulkan keadaan dan bukannya asyik mengatakan TIDAK,& NO tetapi tidak memberikan alternatif kepada penambahbaikan. Tidak salah untuk kita menyokong antara satu sama lain asalkan sesuatu perkara itu tidak lari dari prinsip kita. Perjuangan politik yang hakiki sebenarnya ialah dengan pendekatan halus yang menampakkan ciri-ciri kematangan dalam berpolitik. Tidak kira kanan atau kiri, kedua-duanya patut bekerjasama membangunkan negara. Jangan asyik bertelaga. Rakyat melihat apa yang pemimpin buat. Rakyat menilai apa sumbangan ahli politik kepada kesentosaan mereka. Rakyat akan terjemahkan rasa mereka melalui pilihanraya.

1 comment:

Anonymous said...

Salam wasilah abg Pres,
Seperti yang dikatakan oleh abg fahaman politik yang berbeza memerlukan toleransi yang tinggi.Seandainya kita ingin memajukan negara kita seharusnya mengetepikan perbezaan persefahaman politik demi perpaduan bukan membezakan antara kita sebagai rakyat Malaysia dan asalkan sesuatu itu tidak bertentangan dengan prinsip kita.
Wasalam Zan..