Tuesday, March 17, 2009

Mahasiswa Menjana Keunggulan Ummah ( 20 Februari 2009M / 24 Safar 1430H – Jumaat )

اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ لَهُ مَا فِى السَّمَوَاتِ وَمَا فِى الأَرْضِ وَلَهُ الْحَمْدُ فِى الآخِرَةِ وَهُوَ الْحَكِيْمُ الْخَبِيْرُ. أَشْهَدُ أَنْ لآ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ! اِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.

Sidang Jumaat Yang Berbahagia,
Marilah sama-sama kita meningkatkan usaha untuk lebih bertakwa kepada Allah SWT kerana sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling tinggi ketaqwaannya. Bertaqwalah dengan ikhlas dengan menepati kehendak-Nya, semoga kita peroleh keberkatan hidup di dunia dan di akhirat.

Mahasiswa sememangnya dipandang tinggi oleh masyarakat keseluruhannya. Mahasiswa akan dijadikan rol-model dalam setiap tindak tanduknya. Mahasiswa akan dinilai daripada segala aspek dan ruang lingkup kehidupan. Tidak dinafikan golongan mahasiswalah yang akan menjadi penyumbang terbesar kepada kejayaan negara pada hari ini bahkan pada masa akan datang. Mimbar mengajak sidang Jumaat sekalian menghayati esei khutbah yang bertajuk “Mahasiswa Menjana Keunggulan Ummah”.

Menurut Profesor Dokter Yusof Al-Qardhawi, seorang sarjana dan pemikir Islam yang tersohor pada masa kini berkata: “Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah daripada kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita pada masa hadapan menjadi sebuah negara yang aman makmur, tetapi jika keadaan adalah sebaliknya, maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku. Berdasarkan pernyataan tersebut, kita terjemahkan belia sebagai mahasiswa dalam konteks suasana kampus. Seorang lagi pemikir dan penyair terkenal dari Mesir, Ahmad Syauqi pernah bermadah yang bermaksud:

“Sesungguhnya sesuatu bangsa itu kuat dan hebat kerana akhlaknya, jika rosak akhlak itu maka bangsa itu akan lenyap dan hilang.”

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian,
Sesungguhnya tanggungjawab besar mahasiswa pada hari ini ialah untuk menjana pembangunan ummah, negara dan Agama. Peranan mahasiswa hari ini bukan tertumpu kepada membina kerjaya di samping melakukan aktiviti-aktiviti untuk memenuhi masa lapang sahaja tetapi sepatutnya turut menyumbang kearah membangun modal insan supaya menjadi satu bangsa yang dihormati dan disegani dipersada dunia. Ianya boleh diterjemahkan dengan penglibatan mahasiswa didalam aktiviti-aktiviti berbentuk akademik dan kemahasiswaan yang berkualiti yang dilihat mampu menjana pemikiran mantap dikalangan mahasiswa.

Dalam usaha meningkatkan intergriti dan kehormatan Islam serta umatnya, maka mahasiswa haruslah bersiap sedia untuk menjadi penggerak utama dalam memacu ummah dan memimpin tamadun dunia selaras dengan tuntutan Islam yang menjadikan umat Islam sebagai umat terbaik yang diciptakan oleh Allah SWT.

Sidang Jumaat Yang Dihormati Sekalian,
Peranan dan sumbangan generasi muda Islam yang membina tamadun Islam memang hebat. Dalam sejarah perkembangan Islam, sejak ia mula bertapak di Mekah sehingga berkembang ke Madinah, golongan muda seperti Saidina Ali Karamallah Wajhah, Saidina Osman Ibni Affan, Abdul Rahman bin Auf, Ibni Zubair, Ibni Abbas dan ramai lagi para sahabat yang menjadi pelopor kepada suatu kebangkitan dan menjadi penggerak kepada arus perdana perubahan masyarakat. Mereka selaku sahabat Rasulullah SAW sentiasa berjuang dan berjihad dalam menegakkan ajaran Allah di muka bumi ini.

Sejarah juga pernah menyaksikan ketangkasan Usamah bin Ziad yang ketika itu berusia lapan belas tahun memimpin satu bala tentera untuk menyerang kerajaan Rom. begitu juga dengan kehebatan Muhammad al-Fateh membuka Kota Istanbul (Konstantinopal) ketika usia beliau 21 tahun.

Peranan golongan muda juga telah disebut di dalam al-Quran di mana kisah Ashabul Kahfi dijadikan contoh sebagai golongan muda yang bersikap berani mempertahankan akidah daripada seorang raja yang zalim. Firman Allah SWT di dalam surah al-Kahfi ayat 13 hingga 14:


Maksudnya: “Kami ceritakan kepadamu (Wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain daripada-Nya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.”

Berdasarkan ayat tadi, mahasiswa perlu mencontohi akhlak, prinsip dan kredibiliti yang dimiliki oleh generasi muda Islam yang lalu didalam menjana keunggulan diri dan ummah keseluruhannya.


Sidang Jumaat Yang Dikasihani Allah Sekalian,
Dalam arus kemodenan dan kemajuan dunia global pada masa ini, mahasiswa menghadapi cabaran yang sangat hebat. Mahasiswa bukan sahaja terdedah kepada masalah penyalahgunaan dadah yang semakin meruncing, tetapi mahasiswa juga semakin diresapi dengan budaya Hedonisme iaitu suka berfoya-foya dan berhibur dengan keterlaluan, terjebak dengan amalan seks bebas, ketagih rokok, berjudi, meminum arak, dan terdedah kepada bahan-bahan lucah serta banyak lagi masalah sosial yang cukup membimbangkan.

Persoalan besar timbul ialah apakah golongan mahasiswa yang mengamalkan gaya hidup tidak sihat, mampu untuk memikul amanah mengurus, mentadbir Agama dan dapat mempertahankan serta menjamin kedaulatan Negara? justeru itu marilah kita terutama ibu bapa dan golongan belia yang bergelar mahasiswa sekalian sama-sama berganding bahu dan bekerjasama untuk membina anak bangsa kita dengan acuan dan cara hidup sihat yang berteraskan ajaran Islam yang suci ini. Ini selaras dengan Firman Allah SWT di dalam surah at-Tahrim ayat 6:

Maksudnya: “Wahai orang-orang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka.”

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian,
Di malaysia, kita mempunyai ramai belia yang bergelar mahasiswa yang amat diyakini mempunyai pelbagai kebolehan dan kepakaran yang baik. Oleh yang demikian mimbar pada hari ini mengajak para mahasiswa Muslim supaya bangkit menjadi penyeru kepada kebaikan iaitu menjadikan gaya hidup sihat yang berteraskan Islam sebagai satu cara hidup. Kita juga perlu mencegah, menghalang dan menghindarkan diri daripada melakukan kemungkaran yang bertentangan dengan syariat Islam.

Dalam usaha mencapai matlamat mahasiswa unggul sebagai cermin masa hadapan negara, maka kita perlu meletakkan diri kita sebagai pencetus, penggerak, penjana dan pembina tamadun Islam yang unggul, dihormati dan disegani oleh masyarakat dunia. Sekiranya mahasiswa mengambil inisiatif untuk melakukan perubahan kearah kebaikan maka akan lahirlah generasi cemerlang dan negara terbilang yang akan menaikkan martabat Agama dan kedaulatan negara di tahap yang tertinggi dan terbaik.

(Surah Ali-Imran ayat : 104)

Bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِيْ وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّيْ وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ, أَقُولُ قَوْلِي هذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ، وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.

No comments: